ARKIB : 04/06/1998
TIGA kepingan fosil gigi gajah
mamoth yang ditemui di Kampung Kok Kelang, Chuping, Perlis baru-baru ini.
CHUPING (Perlis) 3 Jun - Tiga
kepingan fosil gigi gajah mamoth, spesies gajah tertua di dunia pada zaman
glasier kira-kira sejuta tahun dahulu, ditemui di Kampung Kok Kelang, di sini
baru-baru ini.
Kurator Muzium Lembah Bujang,
Drs. Mohd. Supian Sabtu berkata, fosil itu ditemui secara tidak sengaja oleh
beberapa penduduk kampung berkenaan ketika membersihkan tanah untuk mendirikan
rumah.
Setakat ini, katanya, fosil itu
telah disahkan sebagai fosil gajah mamoth, iaitu spesies gajah tertua di dunia
atau badak yang berkemungkinan hidup pada zaman glasier kira-kira sejuta tahun
dahulu.
''Pada dasarnya, penemuan fosil
yang tidak ternilai ini disahkan oleh Pensyarah Bahagian Geologi, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Dr. Shafie Leman yang terlibat dalam projek menjejak
tulang dinasour di negara ini,'' katanya kepada Utusan ketika ditemui di sini.
Menurut Drs. Mohd. Supian,
fosil itu mengandungi 90 peratus fosfat manakala bakinya kalsium dan klorin.
''Penemuan fosil ini yang
disahkan daripada jenis mamalia yang hidup dengan memakan daun-daun merupakan
yang pertama seumpamanya di negara ini,'' katanya.
Dalam pada itu, Kurator Muzium
Negara, Amran Abdullah berkata, penemuan fosil gajah mamoth mungkin menguatkan
teori bahawa negara ini pernah menjadi laluan gajah yang bermula dari India.
''Fakta ini diperkuatkan lagi
dengan kewujudan hutan tropika tertua di dunia di Taman Negara yang mempunyai
flora dan fauna yang amat sesuai sebagai makanan untuk haiwan monosors (haiwan
jenis mamalia),'' katanya.
Fosil merupakan tinggalan
haiwan atau tumbuhan-tumbuhan dalam kerak bumi yang wujud pada zaman geologi.
Dalam istilah arkeologi, fosil adalah haiwan atau tumbuh-tumbuhan yang telah
berubah bentuk fizik yang meluas.
Tinggalan fosil dapat memberi
maklumat yang mengagumkan kerana di dalamnya terdapat kesan hidupan terawet
yang pernah wujud pada masa lalu. Fosil daripada batuan yang berbeza-beza usia
dalam lingkungan beratus-ratus tahun dapat digunakan bagi membina suatu
gambaran atau rekod fosil bagaimana perubahan hidupan bumi berlaku.
Fosil paling awal ditemui di
dalam batuan daripada jenis hidupan yang berbentuk tompokan, ialah kira-kira
3,000 juta tahun lalu.
Menurut Amran, dengan penemuan
fosil gajah mamoth di Kampung Kok Kelang itu, ia turut menguatkan teori bahawa
batu marmar yang wujud di Langkawi adalah batu tertua berusia 300 juta tahun
dahulu, seperti yang direkodkan dalam Geological Survey Research.
''Penemuan fosil ini akan
membuka lembaran baru dalam penyelidikan zaman lampau dan terpulang kepada para
saintis dan ahli geologi untuk berusaha lebih gigih membongkar kedudukan dan
kewujudan haiwan di zaman lampau,'' katanya.
Menurutnya, Muzium Negara yang
merancang mengadakan pameran fosil akhir tahun ini mungkin menggunakan hasil
penemuan fosil itu sebagai daya tarikan pengunjung.
Oleh: YUSMAN YUNUS
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4Js8BHDKy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan