ARKIB : 03/06/1998
Gunung Keriang Lagenda puteri
disumpah
GUNUNG Keriang yang lebih
dikenali dengan nama lain 'Mount Caves' adalah satu artifak pra-sejarah silam
yang mengandungi pelbagai misteri dan khazanah berharga di dalamnya. Ia
terletak lebih kurang lapan kilometer dari pusat bandar Alor Setar, ibu negeri
Kedah.
Gunung Keriang juga dikenali
sebagai Bukit Gajah bagi masyarakat Cina. Dengan ketinggiannya yang melebihi
714 kaki, bukit itu dikelilingi oleh pemandangan sawah padi yang menghijau
subur.
Asal usul Gunung Keriang ini
diambil bersempena dengan cerita mitos yang terjadi sebelum ini. Menurut
pendapat orang-orang tua dahulu, gunung ini berasal daripada sebuah kapal yang
membawa pengantin diraja iaitu seorang puteri. Akibat keengganan puteri
tersebut berkahwin dengan gedembai lalu disumpah menjadi batu.
Dipercayai dalam sebuah gua di
sini terdapat serpihan pinggan yang amat banyak, dipercayai kepunyaan tuan
puteri.
Menurut penduduk, kawasan ini
dahulunya adalah laut. Kawasan ini sekarang telah mengalami proses semulajadi
dengan izin dan kudrat Allah SWT.
Bukti yang menunjukkan Gunung
Keriang berasal daripada sebuah kapal adalah bersumberkan kepada penemuan tali
panjang sebesar lengan yang dipercayai tali sebuah kapal. Tali ini bersambung
pada sauhnya yang ikut terkena sumpahan sang gedembai itu.
Terdapat juga batu yang
berbentuk serombong kapal yang berlubang atau berongga di tengahnya. Terdapat
juga batu-batu yang menyerupai manusia, kelihatan berpakaian seperti pengantin
Cina bersanggul lintang. Dipercayai itulah puteri yang terkena sumpahan.
Ada yang mengatakan bahawa
gunung ini berasal daripada sebuah pulau yang mengandungi banyak pokok keriang,
lalu diberi nama 'Gunung Keriang'.
Tanda-tanda yang menunjukkan
gunung ini berasal daripada sebuah pulau berdasarkan kepada terdapatnya
kulit-kulit kerang dan kepah di sekitar gunung ini.
Dari segi geografinya, Gunung
Keriang terdiri daripada rangkaian bukit-bukit yang terdapat di daerah Kota
Setar, Yan dan Kubang Pasu. Antaranya termasuklah Bukit Kodiang, Bukit Choras
dan Pulau Kerengga.
Dengan khazanah dari perutnya
yang bernilai maka tidak hairanlah kiranya penduduk di sini menjadikan
batu-batu di gunung ini sebagai punca rezeki mereka seharian, selain bersawah
padi.
Batu-batu dari gunung ini
dijadikan sebagai baja untuk penanaman padi sawah. Batu kristal yang lebih
dikenali sebagai 'batu bunga' oleh setiap penduduk di sini amat berharga bagi
mereka.
Selain itu, penduduk di sini
juga turut mencari tahi kelawar untuk dijadikan baja tanaman dan sawah padi.
Yang pastinya, Gunung Keriang
adalah lagenda silam berbentuk mitos yang terus terpelihara khazanahnya agar
tidak luput dari ingatan masyarakat kini dan selamanya.
Dengan hasrat itulah maka pihak
kerajaan Negeri Kedah Darul Aman telah mewartakan Gunung Keriang sebagai
kawasan pelancongan negara.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4Js6FCroN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan