Ahad, 11 September 2016

Nigeria aibkan Sepanyol

 
BENTES... Mutiu Adejopu dari Nigeria (8) melakukan rempuhan keras terhadap pemain Sepanyol, Miguel Nadal untuk merampas bola pada perlawanan Kumpulan D Piala Dunia di Nantes, Perancis semalam. Nigeria menang 3-2. - Gambar Reuters.

NANTES - Penjaga gol veteran Sepanyol, Andoni Zubizarreta memusnahkan harapan pasukannya untuk memulakan kempen Piala Dunia dengan cemerlang apabila pasukan itu tewas 3-2 kepada Nigeria dalam perlawanan Kumpulan D di sini malam tadi.

Zubizarreta, 36, yang mencatat cap ke-124, melakukan satu kesilapan besar pada minit ke-73 apabila dia menolak bola tendangan Garba Lawal memasuki jaringnya sendiri dan dia sekali lagi tewas lima minit kemudian oleh rembatan kencang Sunday Oliseh dari luar kawasan gol.

Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan bertafakur seketika sebagai menghormati kematian Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia 1998 Fernand Sastre yang meninggal dunia lewat pagi semalam.

Sepanyol bertindak garang sebaik babak bermula dengan penyerang muda berusia 20 tahun Raul Gonzalez nyaris-nyaris membuka jaringan awal hanya 10 saat babak bermula.

Dia melakukan rembatan kencang mendapat bola tampanan kurang kemas hasil tandukan ketua pasukan Uche Okechukwu.

Fernando Hierro meletakkan Sepanyol mendahului Nigeria 1-0 menerusi sepakan percuma yang melencung masuk melalui celah-celah benteng pertahanan lawan pada minit ke-21.

Kedudukan Sepanyol tidak mampu bertahan lama apabila Nigeria bangkit pada minit ke-24 mereka memperoleh sepakan sudut dari sebelah kiri.

Sepakan yang diambil oleh Garba melencung tepat ke arah Mutiu Adepoju melonjak diri mengatasi pemain pertahanan, Hierro dan Kiko menanduk masuk.

Alberto Ferrer yang baru menyertai Chelsea cuba untuk mengeluarkan bola namun tandukannya terus sahaja menerjah ke gawang sendiri.

Sepanyol kembali mendahului 2-1 menerusi penyerang merbahaya Raul pada minit ke-47. Dia mendapat ruang selesa tanpa dibayangi pertahanan Nigeria menerusi hantaran jauh Hierro dia melakukan sepakan volley dengan kaki kiri dari jarak enam meter menggegar jaring.

Nigeria menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-73 apabila Garba Lawal yang melepasi kawalan benteng pertahanan Sepanyol melepaskan rembatan lemah. Zubizarreta merebahkan badan menepis sepakan dengan tangan kanan tetapi bola terus bergolek masuk. Nigeria menjadikan kedudukan 3-2 menerusi Sunday Oliseh dengan rembatan kencang separuh volley dari jarak 25 meter menggegar jaring sebelah kanan pada minit ke-79.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JvmwWmgX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan