ARKIB : 14/06/1998
Aksi Perancis cukup bertenaga
MARSEILLE - Perancis memulakan
aksi penuh bertenaga dalam usaha untuk menjadi negara tuan rumah pertama
memenangi Piala Dunia sejak 20 tahun apabila mereka membenam Afrika Selatan 3-0
pada perlawanan pembukaan Kumpulan C, kelmarin.
Christophe Dugarry memecah
kebuntuan pada minit ke-34, lapan minit selepas dia dimasukkan sebagai pemain
gantian.
Kemudian gol sendiri oleh
Pierre Issa pada minit ke-78 dan ledakan terakhir oleh Thierry Henry dua minit
dalam waktu kecederaan yang memberi kemenangan mutlak kepada pasukan tuan rumah
di Velodrome.
''Saya berani mengatakan pintu
masih terbuka luas,'' kata jurulatih Perancis, Aime Jacquet.
Afrika Selatan, yang membuat
kemunculan pertama dalam pusingan akhir Piala Dunia, kurang pengalaman untuk
mengimbangi rentak permainan tuan rumah.
Zinedine Zidane, bintang yang
diharap dapat menyamai legenda Perancis, Michel Platini dengan jersi nombor 10,
mempamerkan aksi memberangsangkan dengan bantuan serangan yang bertubi-tubi dan
menghuru-harakan pertahanan Afrika Selatan.
''Kami telah mempamerkan aksi
bola sepak yang sebenar dengan dua sebab, satu kerana angin kencang yang
menyukarkan permainan dan kedua, kami menewaskan Afrika Selatan yang dianggap
amat baik.
Jurualatih Afrika Selatan dari
Perancis, Philippe Troussier berkata, Perancis memang sebuah pasukan yang baik.
''Pasukan Perancis tersusun
rapi. Itulah perbezaan antara pasukan muda seperti kami dengan mereka,''
katanya.
''Perancis berhak menang tetapi
mungkin bukan 3-0. Tetapi Piala Dunia belum lagi berakhir bagi kami.
''Perlawanan ini sering akan
memberikan bonus dan kini kami berada pada posisi yang kami fikirkan iaitu
menewaskan Arab Saudi dan Denmark.'' Denmark mengalahkan Arab Saudi 1-0 di Lens
sebelum itu.
Dugarry membuktikan ia tidak
menghampakan Perancis, apabila masuk menggantikan Stephane Guivarc'h yang
tercedera di lutut.
Dia memaksa penjaga gol Hans
Vonk bekerja keras menyelamatkan percubaannya tiga minit sebaik bermain,
kemudian mencetuskan keadaan bahaya beberapa kali di depan gawang lawan.
Zidane, yang mempamerkan aksi
bergaya, mendapatkan sepakan sudut di sebelah kiri dan mengambil sepakan itu
dengan tendangan lencong yang cantik dan singgah ke kepala Dugarry yang
melonjak tinggi untuk menanduk masuk.
Dia mendapat peluang
menjaringkan gol sekali lagi lapan minit selepas waktu rehat tetapi usahanya
terhalang kerana .offside dan ketua pasukan Perancis, Didier Deschamps menerima
kad kuning kerana membantah.
Emmanuel Petit, kerana
mengasari lawan dan Zidane kerana membantah pengadil, turut menerima kad
kuning.
Pemain pertahanan Afrika
Selatan, Issa begitu kecewa apabila menjaringkan gol sendiri 12 minit sebelum
tamat perlawanan.
Dugarry melorongkan bola kepada
Youri Djorkaeff dalam kotak penalti, Djorkaeff merembat bola dan Issa cuba
menahan dengan kaki kirinya tetapi bola terterjah ke penjuru gawang.
Issa hampir menjaringkan gol
sendiri kedua apabila dia cuba mengeluarkan bola sepakan Henry dua minit pada
waktu kecederaan selepas penyerang Monaco itu berjaya menewaskan dua pertahanan
dan penjaga gol Vonk.
Bekas juara Piala Negara-Negara
Afrika, Afrika Selatan, dengan Moshoue, Benedict McCarthy dan Phil Masinga yang
beraksi cemerlang pada awal permainan, terpaksa mengalah dengan kehebatan
Perancis.
PERANCIS: Fabien Barthez,
Lilian Thuram, Laurent Blanc, Marcel Desailly, Bixente Lizarazu, Didier
Deschamps, Emmanuel Petit (Alain Boghossian), Zinedine Zidane, Youri Djorkaeff
(David Trezeguet), Stephane Guivarc'h (Christophe Dugarry), Thierry Henry.
AFRIKA SELATAN: Hans Vonk,
Willem Jackson, John Moshoeu, Pierre Issa, Mark Fish, Lucas Radebe, David
Nyathi, Brendan Augustine (Helman Mkhalele), Quinton Fortune, Benedict McCarthy
(Shaun Bartlett), Phil Masinga.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JvoNItg4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan