ARKIB : 15/06/1998
APABILA pasukan Brazil, juara
bertahan Piala Dunia menentang Scotland di Le Stade de France, Paris, Rabu
lalu, sekurang-kurangnya 80 juta manusia di seluruh dunia menonton perlawanan
itu. Jumlah ini sebenarnya kecil mengambil kira apabila pesta ini berakhir pada
12 Julai hadapan, lebih 2.6 juta manusia akan menyaksikannya di 10 stadium
terpilih di Perancis sementara 37 bilion manusia lagi akan menontonnya melalui
TV.
Pesta sukan terbesar di dunia
sudah bermula. Sebanyak 32 pasukan yang terdiri dari 704 orang pemain dari enam
benua akan bertarung selama 33 hari dalam 64 perlawanan untuk menentukan siapa
juara. Bola memang bulat. Tiada siapa yang boleh meramalkan siapa juara kali
ini.
Kali ini Mat Tapai, penganggur
di Kampung Kayu Ara di Kuala Lumpur; Akira Saito, pelajar perakaunan di Tokyo,
Jepun; Andrea Gonzales, pengurus pentadbiran di Madrid, Sepanyol; Tony Adilla,
pencopet di Sao Paolo, Brazil dan Martin Seagrave, pemandu lori di London,
England berkongsi minat dan impian yang sama. Piala Dunia sememangnya melampaui
blok dan ideologi, keyakinan dan fanatisme keagamaan, malah nasionalisme dan
kenegaraan. Juga kecenderungan politik semasa dan perang dingin di antara
negara.
Peminat bola di Iran buat
sementara ini melupakan pendirian negara mengenai ketertiban mengikut tafsiran
sekian banyak Ayatolah. Yugoslavia sedang menyembelih rakyat Kosovo dan
mendapat kutukan dunia. Tetapi pesta boleh menjadikan manusia lebih toleran.
Apabila Iran layak ke Perancis, mereka bersorak seperti juga penggila bola di
Scotland, Croatia dan Jepun.
Rakyat Iran akan mendapat
peluang menundukkan "Syaitan Besar" (Amerika Syarikat) pada 21 Jun
ini. Iran memerlukan kemenangan itu untuk pelbagai tujuan - salah satu daripada
maruah.
Buat sementara Korea Selatan
mahu melupakan ubat pahit IMF. Malah banyak orang di Korea percaya bahawa
sekiranya Korea dapat menumpaskan Mexico di di Stadium de Gerland dekat Lyon,
Sabtu lalu, ia akan memberi petunjuk bahawa pemulihan ekonomi sebenar telah
bermula. Sudah ada cahaya di hujung terowong. Malangnya Korea Selatan tewas
3-1.
Mungkin eksport terpenting
Jepun sehari dua ini ialah Godzilla, biawak raksasa yang mengamuk di New York.
Tetapi Jepun mahu membuktikan bahawa selain Godzilla di filem itu, ia juga
mempunyai pemain yang bertaraf dunia bernama Hidetoshi Nakata. Jepun mahu menunjukkan
apa yang boleh dilakukan oleh Godzilla muda di padang Toulouse.
Jangan ambil mudah Piala Dunia.
Ia nampaknya menjadi gelanggang satu-satunya di mana semua orang setara serta
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Piala Dunia membawakan Tata Dunia
yang tersendiri. Ambil sahaja kuasa ekonomi yang kedua terbesar di dunia,
Jepun. Di Piala Dunia, negara itu sama wibawanya dengan negara paling semiskin
Cameroon. Bulgaria yang baru bebas dari cengkaman komunisme mungkin sama
miskinnya dengan Romania dan Jamaica tetapi di mata dunia, ia kini merupakan
salah satu dari 32 kuasa bola dunia, setaraf dengan England, Perancis dan Arab
Saudi. Amerika Syarikat mungkin negara paling kuat di dunia tetapi dalam bola
sepak, Denmark, Belgium, Romania malah Croatia dan Cameron sebenarnya lebih
perkasa. Piala Dunia juga tidak mengenal agama. Sekurang-kurangnya tiga negara
Islam menjadi wakil umat Islam dunia.
Siapakah orang yang paling
dikenali di dunia hari ini? Leornado De Caprio? Tom Cruise? Mark Damon? Salah.
Jawabnya Ronaldo, Dennis Bergkamp, Alan Shearer, Raul Gonzales. Orang-orang ini
harus membuktikan keupayaan mereka untuk diabadikan sebagai legenda bola sepak
bersama-sama Pele, Cruyff Eusebio, Grzegorz Lato serta kmudiannya Johan Cruyff,
Gerd Muller, Paolo Rossi, Diego Maradona, Roger Milla, Romario dan Roberto
Baggio. Malah penjaga gol juga menjadi sebahagian cerita rakyat Piala Dunia -
nama-nama yang segera diingat ialah Gordon Banks, Dino Zoff, Lev Yashin, Peter
Shilton dan Thomas N'Kono.
Dan Piala Dunia bukan tanpa
kontroversinya. Apabila tuan rumah Uruguay menewaskan Argentina dalam pesta
Piala Dunia yang pertama pada tahun 1930, rasa tidak puas hati membawa pada
putusnya hubungan diplomatik dua negara berjiran itu.
Perlawanan separuh akhir Brazil
dan Czechoslovakia pada tahun 1938 mencatatkan rekod sebagai perlawanan yang
paling ganas dalam sejarah - empat pemain dibuang padang dan 17 mengalami
kecederaan.
Piala Dunia kali ini dianjurkan
oleh Perancis, negara yang terkenal kerana sifat parokial dan pendirian
introvert manusianya. Sebelum lagi Pesta itu bermula, isu tiket sudah
kedengaran. Dan untuk menambah buruk keadaan, inilah masanya juruterbang
syarikat penerbangan nasionalnya serta para pekerja sektor lain mengambil
keputusan untuk mogok.
Selamat datang ke Perancis dan
Piala Dunia 1998. - JOHAN JAAFFAR
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_06.htm#ixzz4JvqgAXei
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan