Sabtu, 10 September 2016

Permulaan pedas bagi Itali

ARKIB : 12/06/1998
 
GOL PENYAMAAN...Penyerang Chile, Marcelo Salas (dua dari kiri) menyumbat gol sulung pasukannya pada perlawanan Piala Dunia Kumpulan B menentang Itali di Parc Lescure, Bordeaux semalam. Chile dan Itali seri 2-2. - Gambar AFP.

BORDEAUX - Roberto Baggio menyempurnakan sepakan penalti yang kontroversi pada minit ke-85 untuk membantu Itali seri 2-2 dengan Chile, semalam.

Baggio menjaringkan gol selepas pengadil Niger, Lucien Bouchardeau mempersalahkan pemain pertahanan Chile, Ronaldo Fuentes kerana memegang bola menerusi sepakan silang Baggio ketika bola jelas terkena tangan Fuentes tanpa sengaja.

Keseluruhan babak kedua, Chile dilihat akan memenangi perlawanan pertama Piala Dunia sejak 36 tahun selepas dua gol jaringan penyerang yang akan menyarung jersi Lazio, Marcelo Salas pada kedua-dua separuh masa.

Pemain River Plate itu menyumbat gol dua minit pada masa kecederaan akhir babak pertama selepas pertahanan Itali gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hasil sepakan sudut.

Dia menambah gol kedua empat minit selepas waktu rehat, dengan melonjak tinggi pemain lawan, Fabio Cannavaro untuk menanduk masuk melepasi jangkauan Gianluca Pagliuca.

Salas, yang akan menyertai Lazio dengan bayaran perpindahan AS$18 juta musim depan, merupakan ancaman besar kepada pertahanan Itali, terutama apabila bergandingan dengan pemain Inter Milan, Ivan Zamorano.

Salas seharusnya memberikan gol penyamaan Chile pada pertengahan babak pertama manakala Zamorano turut beberapa kali berjaya melepasi pengawalnya, Alessandro Nesta.

Itali mendahului Chile pada minit kesembilan menerusi gandingan penyerang yang belum pernah bergandingan, Baggio dengan Christian Vieri.

Ketua pasukan Paolo Maldini membuat hantaran jauh kepada Baggio dari kawasan pertahanan, Baggio menyambar bola itu dan melorongkannya kepada Vieri.

Penyerang Atletico Madrid itu kemudian meleretkan bola di sebelah kanan tiang gol Chile yang gagal dikuis oleh Nelson Tapia.

Baggio dan Vieri tidak pernah beraksi bersama dalam perlawanan penting sebelum ini.

Sepakan penalti terakhir yang diambil Baggio untuk Itali dalam Piala Dunia ialah sepakan yang gagal disempurnakan pada penentuan sepakan penalti yang memberikan kejuaraan kepada Brazil pada perlawanan akhir 1994.

Jaringan itu hadir selepas Chile menguasai permainan pada awal permainan. Moises Villarroel hampir membuka jaringan dengan rembatan kencang jarak jauh pada minit keenam dan pemain Amerika Selatan itu turut mempamerkan sentuhan berbisa di bahagian tengah.

Chile memperolehi jaringan penyamaan pada masa kecederaan. Fabien Estay membuat sepakan sudut yang ditanduk ke bawah oleh Zamorano. Gandingan penyerangnya Salas merembat dari jarak dekat untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Chile terus menghuru-harakan pasukan Cesare Maldini di sepanjang babak kedua. Fabio Cannavaro dilayangkan kad kuning apda minit ke-32 kerana mengasari Salas. Kedua-dua penyerang itu begitu berbahaya dan gandingan itu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Angelo di Livio menerima kad kuning pada minit ketujuh dan pemain Chile, Nelson Parraguez turut menerima kad yang sama pada minit ke-45 kerana membentes keras pemain lawan.

Salas menambah gol kedua pada minit ke-49 apabila melonjak tinggi melepasi Cannavaro untuk menyambar hantaran silang Clarence Acuna, meletakkan Chile di depan dengan 2-1.

Pagliuca melayangkan badan ke kanan tetapi bola gagal dikuis dan menerjah jaring.

Maldini cuba menyuntik semangat pemainnya dengan membawa masuk Luigi Di Baggio dan Enrico Chiesa pada awal babak kedua.

Bagaimanapun Chile meneruskan asakan berbahaya mereka dengan pemain sayap Francisco Rojas sering menimbulkan huru-hara di sebelah kiri kawasan Itali. - Reuters.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4JuqgOiG9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan