ARKIB : 22/05/1998
Suharto letak jawatan --
Habibie Presiden baru minta sokongan rakyat
BACHARUDDIN Jusuf Habibie
mengangkat sumpah sebagai Presiden baru Republik Indonesia dalam satu upacara
di Istana Presiden, di Jakarta semalam. Upacara itu dijalankan sebaik sahaja
Suharto, 76, yang memegang tampuk Presiden selama 32 tahun mengumumkan
peletakan jawatannya. - Reuters.
JAKARTA 21 Mei - Suharto
akhirnya mengalah dan hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai
Presiden Republik Indonesia selepas menerima tekanan dan desakan kuat daripada
rakyatnya untuk berundur.
Sebagai mengisi kekosongan
kepimpinan negara, Suharto, 76, melantik Naib Presiden, Prof. Bacharuddin Jusuf
(B.J.) Habibie sebagai penggantinya berkuat kuasa serta-merta.
Namun, para pelajar, yang
meraikan peletakan jawatan Suharto, tidak menerima pelantikan Habibie kerana
menyifatkan Presiden yang baru itu sebagai ''anak didikan'' Suharto.
Mereka terus menuntut pemilihan
umum tetap diadakan secepat mungkin.
Pada masa yang sama, pemimpin
Islam, Amien Rais, yang menjadi pengkritik utama Suharto, mahukan bekas
Presiden itu dibicarakan atas semua kesalahan, termasuk korupsi, kolusi (suku
sakat) dan nepotisme (KKN), yang dilakukan semasa 32 tahun pemerintahan autokratiknya.
Habibie, dalam ucapan sulungnya
sebagai Presiden Indonesia yang disiarkan secara langsung melalui televisyen
malam ini menyeru rakyat agar memberikan sokongan kepadanya.
Menurutnya, ia adalah sebagai
membantu beliau melaksanakan satu tanggungjawab besar setelah mengambilalih
tanggungjawab daripada seorang pemimpin veteran.
''Dengan penuh rasa rendah
diri, saya sedar tanggungjawab yang dipikul adalah amat berat.
''Oleh itu bagi memastikan
tanggungjawab ini boleh dilaksanakan dengan jayanya, saya memerlukan sokongan
daripada semua lapisan masyarakat,'' jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau juga
berjanji akan meneruskan reformasi, termasuk melaksanakan semua syarat yang
telah dipersetujui dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelamatkan
kegawatan ekonomi yang melanda Indonesia.
Beliau turut memberikan jaminan
untuk melaksanakan aspirasi rakyat dengan melakukan reformasi dalam semua
sektor.
Katanya, kerajaan beliau akan
menghormati semua komitmen yang telah dipersetujui oleh kerajaan yang lalu
''terutamanya yang membabitkan pelaksanaan program reformasi ekonomi,''
jelasnya lagi.
Sementara itu, dalam pengumuman
selama lima minit, Suharto, menjelaskan keputusan pengundurannya terpaksa
diambil berdasarkan kepada perkembangan terkini yang terjadi di negara ini
terutama aspirasi rakyat yang semakin kuat untuk melaksanakan segera reformasi
dalam segala bidang kehidupan.
Suharto sebelum ini berusaha
meyakinkan rakyat bahawa reformasi itu akan turut diperjuangkan oleh kerajaan
melalui pembentukan Jawatankuasa Reformasi dan pembentukan ''Kabinet
Reformasi''.
Namun, katanya, tawaran
kerajaan itu sehingga hari ini tidak mendapat tanggapan yang positif daripada
rakyat sehinggakan jika pun Jawatankuasa Reformasi dibentuk dan rombakan
kabinet dibuat, ia tidak akan memberikan apa-apa erti.
''Atas dasar pemahaman saya
terhadap aspirasi (rakyat) tersebut dan terdorong oleh keyakinan bahawa
reformasi perlu dilaksanakan secara tertib, damai dan berperlembagaan demi
memelihara persatuan dan kesatuan bangsa serta kelangsungan pembangunan
nasional, saya telah menyatakan rencana mengenai pembentukan Jawatankuasa
Reformasi dan mengubah susunan Kabinet Pembangunan Ketujuh.
''Namun, kenyataan hingga hari
ini menunjukkan, jawatankuasa tersebut tidak dapat wujud kerana tidak adanya
tanggapan yang memadai terhadap rencana pembentukannya,'' ujar beliau dalam
pengumuman peletakan jawatan yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Maka, ''dengan memperhati
perkembangan itu, saya berpendapat, sangat sulit bagi saya untuk menjalankan
tugas pemerintahan negara.
''Oleh itu, dengan memperhati
ketentuan Fasal 8, Undang-Undang Dasar (UDD) 1945 (perlembagaan) dan mendengar
pandangan pimpinan DPR, saya memutuskan untuk berhenti dari jawatan saya
sebagai Presiden Republik Indonesia berkuat kuasa apabila saya membacakan
penyataan ini, pada hari ini, 21 Mei, 1998,'' tegas Suharto yang kelihatan
tenang.
Beliau turut berkata, mulai
hari ini juga, Kabinet Pembangunan Ketujuh dibubarkan dan Habibie dijangka
mengumumkan barisan kabinet baru dalam masa terdekat.
Suharto, mengumumkan keputusan
peletakan jawatannya di Ruang Kredential, Istana Merdeka di sini pada pukul 9
pagi (10 pagi waktu Malaysia) dengan disaksikan oleh pimpinan Dewan Perwakilan
Rakyat (DPR), wakil parti dalam DPR, para menteri kabinet dan pegawai-pegawai
tinggi tentera.
Antara yang hadir ialah Speaker
Parlimen, Harmoko dan wakil-wakil parti dalam Parlimen yang terdiri daripada
Syarwan Hamid (dari Angkatan Bersenjata Republik Indonesia, ABRI), Abdul Ghafur
(Parti Golongan Karyawan, Golkar), Ismail Hasan Metareum (Parti Persatuan
Pembangunan, PPP) dan Fatimah Achmad (Parti Demokrasi Indonesia, PDI).
Berlandaskan kepada Fasal 8 UDD
45, beliau mengatakan, naibnya iaitu Habibie akan meneruskan ''sisa waktu''
jawatan Presiden Mandataris (Pemegang Mandat) untuk tempoh 1998 hingga 2003.
Fasal 8, UDD 45 memperuntuk,
apabila Presiden meninggal dunia, berhenti atau tidak dapat melakukan kewajipan
dalam tempoh jawatannya, beliau akan digantikan oleh Naib Presiden sehingga
berakhir tempoh jawatannya.
Suharto menjelaskan, proses
angkat sumpah Habibie sebagai Presiden yang baru terpaksa dilakukan segera bagi
mengelakkan kejadian tidak diingini pada waktu ''kekosongan'' dalam pucuk
pimpinan negara.
''Atas bantuan dan dukungan
rakyat selama saya memimpin negara dan bangsa Indonesia ini, saya ucapkan
terima kasih dan meminta maaf bila ada kesalahan dan kekurangan semoga bangsa
Indonesia tetap jaya dengan Pancasila dan UDD 45,'' katanya lagi.
Sejurus setelah mengakhiri
penyataannya itu, Habibie terus mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim
Mahkamah Agung.
''Demi Allah, saya akan
memenuhi kewajipan selaku Presiden Republik Indonesia dengan sebaik-baiknya dan
seadil-adilnya serta berpegang teguh undang-undang dasar dan menjalankan segala
undang-undang dan peraturan dengan selurus-lurusnya dan berbakti kepada nusa
dan negara,'' kata Habibie dalam sumpah jawatannya itu.
Proses angkat sumpah Habibie dan
pengunduran diri Suharto berjalan secara luar biasa kerana upacara itu
sepatutnya dilakukan di DPR.
Pelaksanaan angkat sumpah itu
terpaksa dilakukan secara tergesa-gesa kerana pada waktu yang sama, bangunan
DPR masih diduduki oleh ribuan mahasiswa yang menuntut reformasi menyeluruh.
Pada perkembangan yang sama,
Menteri Pertahanan, Jen. Wiranto menegaskan, Angkatan Bersenjata Republik
Indonesia (ABRI) menyambut baik pengunduran Suharto dan akan memberikan
dukungan kepada Presiden baru, Habibie.
''Seluruh rakyat diminta agar
dapat menerima dengan baik peletakan jawatan Suharto dan menerima Habibie
sebagai Presiden baru.
''Untuk menghadapi sebarang
kemungkinan, ABRI akan tetap bersatu untuk memastikan situasi di dalam negara
terkendali demi kepentingan bangsa dan negara,'' tegas Wiranto yang juga
Panglima ABRI.
Wiranto juga meminta rakyat
supaya mengelakkan melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kekacauan di dalam
negara, yang akhirnya akan merugikan bangsa sendiri. - Utusan.
Daripada: MARZUKI YUSOFF
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4JTD2Rjp5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan