Sabtu, 3 September 2016

Artifak manusia prasejarah 3,000 tahun ditemui

ARKIB : 25/04/1998
JERANTUT 24 April - Sepasukan arkeologis tempatan menjumpai artifak manusia prasejarah berusia lebih 3,000 tahun dalam projek ekskavasi (cari gali) di Gua Angin, Kota Gelanggi, 40 kilometer dari sini semalam.

Artifak itu terdiri daripada tembikar, peralatan berburu, pertanian, pengebumian, senjata, perhiasan, makanan dan beberapa kesan budaya prasejarah yang didakwa berusia sehingga 4,000 tahun.

Pasukan itu itu adalah dari Jabatan Antikuiti Muzium Negara dan Penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia diketuai oleh Pegawai Antikuiti Muzium Negara, Zulkifli Jaafar mengadakan cari gali di Gua Angin dan Kota Tongkat bermula Mac lalu bagi membuktikan manusia prasejarah 'Hoabinhian', 'Neolitik' hinggalah zaman logam mendiami Kota Gelanggi sejak beribu tahun lampau.

Antara peralatan yang ditemui ialah tembikar yang masih sempurna, manakala turut dijumpai ialah serpihan batu, tanah liat (poetry), manik, siput laut, kapak, tulang rahang, beliung untuk kegiatan pertanian, alat berburu, perhiasan dan perniagaan.

Timbalan Ketua Pengarah Muzium Negara, Adi Taha berkata, penemuan artifak itu membuktikan manusia Hoabinhian, Neolitik hinggalah ke zaman logam sudah membina kehidupan di kawasan itu sejak zaman lampau.

''Penemuan artifak di Gua Angin membuktikan manusia prasejarah mengalami perubahan hidup iaitu daripada kegiatan memburu kepada mahir bercucuk tanam, memasak dan mempunyai kepercayaan serta budaya membina peradaban,'' katanya kepada Utusan ketika meninjau projek ekskavasi di gua tersebut, semalam.

Jelasnya, penemuan awal itu memberi petanda kawasan Kota Gelanggi di Pahang masih banyak menyimpan artifak prasejarah yang tersembunyi di rangkaian 12 gua di situ malah perlu dipulihara untuk pembangunan pelancongan berasaskan bidang arkeologi dan sejarah (arkeo tourism).

Adi berkata, tahun lepas menerusi projek cari gali yang sama, pasukan arkeologis Muzium Negara dan Universiti Malaya menggemparkan disiplin arkeologi tanah air dengan menjumpai tengkorak manusia zaman prasejarah dipercayai berusia 4,000 tahun di Gua Kota Tongkat.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_07.htm#ixzz4JC5ppOjX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan