ARKIB : 22/04/1998
Masjid berkenaan yang
merakamkan detik sejarah penuh suka dan duka masih wujud hingga ke hari ini di
Kampung Masjid, Pulau Tawar. Usianya hampir 200 tahun.
Saya dan seorang rakan
berkereta ke Kampung Pulau Tawar, kira-kira 30 minit dari bandar Jerantut.
Ketika sampai di kampung itu, suasana kehidupan tradisional masyarakat Melayu
yang bermastautin di pesisiran Sungai Pahang masih tebal. Malah degup sejarah
serta nostalgia abad ke-18 dan 19 seolah-olah baru sahaja berlalu.
Seorang penduduk Kampung
Masjid, Pulau Tawar, Ismail Bilal Taib, 75, menerima kunjungan kami dan sudi
membawa menjengah masjid yang tertua di Pahang itu.
Masjid lama itu terletak
berdekatan tebing Sungai Pahang yang jernih airnya, seolah-olah mahu
memberitahu kami rentetan peristiwa yang terpalit di bumi Pulau Tawar pada abad
yang lampau.
Kewujudan masjid lama di situ
berkaitan sejarah kepahlawanan Melayu Tok Gajah, Mat Kilau, dan pengikutnya
kerana di situlah tercetusnya kebangkitan semangat nasionalisme menentang
penjajah Inggeris di Pahang.
Namun begitu masjid lama itu
lebih sinonim berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu serta syiar Islam
bermula dari kurun ke-18 hingga awal tahun 1970-an.
Perkembangan institusi
pengajian pondok di Pulau Tawar berhubung rapat dengan masjid lama itu. Di
situlah markas tempat berkumpulnya tokoh ulama terkenal yang berasal dari
Sumatera seperti Allahyarham-Allahyarham Imam Malim, Imam Ahmad, Imam Haji Abd
Rahim, Imam Daud dan Imam Yahya.
Menurut Ismail, masjid lama itu
berperanan menyebarkan dakwah Islamiah. Malahan banyak pelajar dari seluruh
Jerantut, Kelantan dan Terengganu datang belajar di situ pada kurun ke-18.
Menurut keterangan orang-orang
tua, tapak asal pembinaan masjid lama itu dilakukan oleh Imam Perang Rasu (Tok
Gajah), Mat Kilau serta orang-orang Melayu Pulau Tawar pada awal tahun 1880-an.
Masjid lama itu kemudiannya
dibangunkan dengan wajah baru pada tahun 1923 tetap mengekalkan perspektif seni
bina tradisional yang menggunakan kayu dan pelupuh dari hutan tempatan.
Dalam buku Sejarah Pahang ada
menceritakan pembesar British, Hugh Clifford, pernah mendarat di tebing
berdekatan masjid itu untuk mengadakan perundingan dengan Mat Kilau dan Tok
Gajah serta penduduk Pulau Tawar supaya jangan mencampuri urusan pentadbiran
Inggeris di Pahang.
Setelah mengalami kerosakan
teruk diancam banjir besar tahun berikutnya, masjid lama itu mengalami sekali
lagi perubahan dengan binaan simen di bahagian bawah serta lantainya supaya
kelihatan lebih teguh.
Walaupun berhadapan dengan arus
putaran masa, kubah dan mimbar masjid berkenaan masih lagi dalam bentuk binaan
asal iaitu mempunyai ciri-ciri pengaruh seni bina Minangkabau.
Yang lebih unik, sehingga ke
hari ini, sebatang tongkat yang dibuat daripada kayu teras berusia hampir sama
dengan pembinaan masjid asal masih tersimpan rapi dan digunakan oleh khatib
sewaktu membaca khutbah.
Ismail memberitahu, sebuah
beduk kayu yang juga berusia hampir dua abad hilang dari masjid berkenaan
dipercayai dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab beberapa tahun lepas.
Di masjid lama Pulau Tawar
itulah berlaku sejarah pengistiharan diri Pahlawan Melayu Pahang Mat Kilau pada
26 Disember 1969 setelah menghilangkan diri buat sekian lama.
Ismail berkata, sebelum
mengisytiharkan dirinya pada hari Jumaat, Mat Kilau pernah beberapa kali
singgah di masjid itu menyamar sebagai peniaga dan orang luar.
Kini tinggallah masjid lama
tersebut digigit sepi malah diselimuti dengan semak samun setelah penduduk di
situ menggunakan masjid baru.
Namun masjid lama itu sering
didatangi oleh ahli sejarawan tempatan, siswa universiti, pelajar sekolah serta
orang perseorangan untuk merakamkan sejarah dan melihat seni bina di luar dan
dalamnya.
Walau bagaimanapun, menurut
penduduk di situ, masjid lama tersebut sering diziarahi oleh sekumpulan orang
luar yang tidak dikenali dengan menjalankan kegiatan sembahyang dan meratib
sepanjang malam.
Kami juga sekejap di makam Mat
Kilau berdekatan masjid itu untuk mensedekahkan Fatihah sambil menghayati
perjuangan suci yang tetap utuh di sanubari bangsa Melayu.
Oleh: HARIS FADILAH AHMAD
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4JBSdWHWj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan