ARKIB : 25/06/1998
Dunia pendidikan negara cipta
sejarah
KUALA LUMPUR 24 Jun - Sebanyak
12 siswazah cacat penglihatan terpilih untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan
Ijazah (KPLI) dan tawaran itu merupakan pertama kali seumpamanya dalam sejarah
pendidikan di negara ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata, langkah yang mula dilaksanakan mulai tahun ini adalah
sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang kurang upaya.
''Adalah wajar golongan yang
cacat penglihatan dan pendengaran tetapi cemerlang dalam pendidikan tidak
disisihkan dari arus perdana perkembangan pendidikan di tanah air kita,''
katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan
kementeriannya di sini, hari ini.
Menurut Najib, daripada 12 yang
terpilih, tujuh orang mengambil pengkhususan Bahasa Melayu di Institut Bahasa
Melayu Malaysia (IBMM), tiga orang dalam pengkhususan Sejarah dan masing-masing
seorang dalam pengkhususan Ekonomi Asas dan Bahasa Inggeris di maktab perguruan
yang lain.
Katanya, sebanyak dua orang
lagi terpilih mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Diploma dalam bidang Pengajian
Islam dan Bahasa Arab manakala seorang dalam bidang pengajian Matematik.
Bagi kursus Diploma Perguruan
Malaysia yang akan memulakan sesi pengajian awal bulan depan, Najib berkata,
seramai 32 orang calon cacat penglihatan dan pendengaran telah ditawar
mengikuti kursus tersebut.
Jelas beliau, 16 daripadanya
akan mengikuti kursus Pendidikan Khas Masalah Penglihatan di Maktab Ilmu Khas,
dua orang bagi kursus Pendidikan Khas Masalah Pendengaran manakala 10 orang
lagi mengambil pengkhususan Pengajian Melayu dan Kajian Tempatan di IBMM.
Selebihnya, menurut beliau akan
mengikuti pengkhususan Matematik, Bahasa Inggeris dan Kajian Tempatan.
''Saya percaya peluang yang
diberi bukan saja akan mendorong mereka untuk lebih gigih malah akan dapat
membuktikan kepada masyarakat umum bahawa mereka ini mampu melaksanakan
tanggungjawab sebagai pendidik.
''Malah selama ini telah
terbukti ada yang berjaya dalam kerjaya ini walaupun bilangannya tidak ramai,''
ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya
mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Sekolah Bestari, Najib berkata,
segala persiapan adalah seperti yang dijadualkan untuk membolehkan sekolah
tersebut memulakan sesinya awal tahun depan.
Katanya, buat masa ini
kerja-kerja fizikal seperti pengubahsuaian bangunan sekolah, pendawaian dan
pelaksanaan program latihan guru-guru serta kakitangan sekolah yang berkenaan
sedang dijalankan.
Menurut Najib, pelaksanaan
empat buah sekolah yang menjadi model Sekolah Bestari dan dibuat di bawah dasar
penswastaan sehingga kini mengikut jadual dan dijangka siap untuk pengambilan
sesi Januari akan datang.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4K05NEhb8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan