Daripada tinggalan sejarah ke riadah
SELAMI sejarah Kesultanan Selangor di Muzium Insitu
Jugra.
PEMANDANGAN menghijau sekitar Jugra yang boleh dilihat
dari atas Bukit Jugra.
MUZIUM Insitu Jugra tawar pelbagai tinggalan sejarah yang
menakjubkan.
ISTANA Alaeddin atau Istana Bandar punya seni bina unik
yang tersendiri.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa sebaik tiba
cukup mendamaikan. Pemandangan landskap menghijau, sungai dan Selat Melaka luas
terbentang bagaikan memberi ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Matahari yang terik ketika itu bagai memancarkan sinaran
penuh dramatik sekali gus menjadikan pemandangan disajikan cukup memukau.
Itulah yang dirasai saat berpeluang meluangkan sedikit
masa beristirahat dan menikmati keindahan alam semula jadi di atas Bukit Jugra,
antara destinasi pelancongan cukup memukau dan juga popular dengan aktiviti
paragliding.
Kesempatan ke Jugra baru-baru ini nyata memberikan
sesuatu kelainan dan sesuai untuk anda yang sedang mencari destinasi menarik
untuk dikunjungi tatkala cuti.
Jugra yang terletak di daerah Kuala Langat, Selangor
mempunyai tarikan pelancongan yang cukup mengujakan dan menarik untuk
diterokai.
Daripada tinggalan sejarah, agropelancongan dan aktiviti
lasak, masih banyak lagi yang boleh diterokai saat berada di situ.
Destinasi yang disenaraikan di bawah antara lokasi
menarik yang dikunjungi penulis dan mesti dilawati.
Bukit Jugra
Terletak di ketinggian 146 meter dari paras laut, Bukit
Jugra menawarkan suasana cukup mendamaikan. Berada di atas puncak Jugra ini,
pemandangan mempesona adalah santapan wajib buat pengunjung.
Ketenangan jiwa dapat dirasai dengan pemandangan indah
sungai yang mengalir, Pulau Carey yang menghijau, Selat Melaka yang terbentang
luas, perkampungan nelayan tradisional dan sekitar Jugra menawarkan pemandangan
menghijau.
Angin sepoi-sepoi bahasa yang menyapa juga cukup
mendamaikan sekali gus menjadikan Bukit Jugra ini salah satu lokasi aktiviti
meluncur angin, paragliding yang popular dan terbaik di Asia.
Selain itu, di atas Bukit Jugra ini menempatkan Rumah Api
yang dibina sejak tahun 1976.
Menghadap Selat Melaka, Rumah Api ini memainkan peranan
penting sebagai rujukan geografi untuk nakhoda kapal di lautan.
Selain rumah api, di atas Bukit Jugra ini juga terdapat
Balai Cerap yang sering digunakan secara rasmi untuk melihat anak bulan
terutama menjelang Ramadan dan Syawal.
Muzium Insitu Jugra
Asalnya, bangunan ini adalah runtuhan bangunan lama yang
pernah dijadikan balai polis daerah atau lebih dikenali sebagai ‘rumah pasung.’
Balai polis atau rumah pasung dan penjara yang dibina
sejak zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad sekitar 1878 oleh pegawai polis
British, Kaptan Harry Charles Syers.
Ketika itu Jugra berfungsi sebagai pusat pemerintahan dan
pentadbiran Kesultanan Melayu Selangor.
Bangunan dua tingkat ini juga berperanan sebagai rumah
pasung hingga pentadbiran Selangor berpindah ke Klang pada tahun 1882.
Rumah pasung ini membuktikan masyarakat pada zaman
pemerintahan Sultan Abdul Samad hidup di bawah pentadbiran kerajaan yang
mempunyai undang-undang sebagai satu sistem keadilan.
Namun, selepas kerja ekskavasi dan pemuliharaan siap
dijalankan, bangunan ini dijadikan muzium yang dikenali sebagai Muzium Insitu
Jugra.
Segala hal berkaitan khazanah warisan termasuk struktur
binaan penjara, mahkamah mini, sebuah perigi lama di samping kesan tapak cari
gali dan hasil jumpaan melalui kerja ekskavasi arkeologi yang dijalankan juga
dipamerkan di muzium ini.
Makam Diraja Almarhum Sultan Abdul Samad
Sebagaimana pusara bagi orang kebanyakan, yang sentiasa
dikunjungi kaum kerabat, begitu juga makam sultan ini yang sentiasa dikunjungi
terutama kerabat diraja dan rakyat jelata.
Makam yang terletak di atas Bukit Jugra itu, sentiasa
dijaga dengan rapi dan terus terpelihara.
Makam Diraja Jugra ini adalah sebahagian daripada bukit
Jugra yang dipilih sebagai kawasan pemakaman keluarga Diraja Selangor pada
tahun 1886. Kawasan ini juga dikenali sebagai Kompleks Makam Diraja dan secara
keseluruhannya, kawasan pemakaman ini berpagar.
Di kawasan seluas lebih kurang 2.023 hektar ini, terdapat
sebuah binaan batu yang besar dan di dalamnya terdapat makam Sultan Abdul Samad
Ibni Almarhum Tengku Abdullah yang mangkat pada Februari 1898, memerintah dari
tahun 1859 hingga 1898.
Makam lain di bahagian luar kompleks termasuk Makam
Almarhum Tengku Muda Musa, Makam Almarhum Tunku Alfah Almarhum Sultan Abdul
Samad, Makam Almarhum Tunku Jaafar, Makam Tunku Yaakob, Almarhum Tunku Maharum,
Almarhum Raja Berkat, Makam Almarhum Tengku Muteh Ibni Sultan Abdul Samad.
Masjid Bandar
Walaupun tidak berpeluang mengunjunginya baru-baru ini,
Masjid Bandar juga antara tarikan pelancongan di Jugra.
Masjid ini dibina kira-kira 200 meter dari Istana Temasya
pada dekad pertama abad ke-20 (tahun 1905). Dari segi reka bentuk masjid ini
menerima pengaruh seni bina daripada kerajaan Deli, Medan, Indonesia.
Tiang seri, seni ukir dinding dan mimbarnya yang unik
dari jenis kayu tahan lama serta bermutu tinggi. Mimbar yang terdapat di dalam
Masjid Sultan Alaeddin Suleiman Syah sering digunakan baginda ketika
berkhutbah.
Istana Alaeddin atau Istana Bandar
Istana Alaeddin juga dikenali dengan nama Istana Bandar
dibina Sultan Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan
Selangor kelima pada tahun 1905.
Sultan Alaeddin mereka bentuk bangunan ini sendiri
mengikut seni bina Islam dari India dan Timur Tengah serta membiayai kos
pembinaannya.
Terdapat juga pengaruh seni bina Cina pada Istana ini
kerana tukang Cina juga turut membina istana ini.
Istana ini mempunyai landskap menarik dengan kolam yang
terletak di bahagian tengah tengah istana. Sultan Alaeddin bersemayam di istana
ini selama kira-kira 33 tahun sehingga baginda mangkat pada tahun 1938.
Di istana ini juga pada tahun 1926 diputerakan Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, sultan
ketujuh memerintah Negeri Selangor.
Selepas kemerdekaan, istana ini ditinggalkan berikutan
pemindahan pusat pentadbiran ke Kuala Lumpur. Istana ini kemudian dijadikan
sebagai pusat kraf tangan daerah dan selepas itu dijadikan pusat tahfiz
al-Quran.
Istana Alaeddin diwartakan sebagai monumen lama dan
Tapaktanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 24 Julai
1980.
Istana ini juga dikenali sebagai Istana 40 Bilik kerana
di dalamnya terdapat 40 bilik. Istana dua tingkat ini dibina di atas tanah
seluas lebih kurang 5.225 hektar. Bahagian tengah terdapat dua tingkat
mengandungi 4 bilik iaitu bilik peraduan, bilik menghadap, bilik tetamu diraja
dan persemayaman baginda.
Ladang Teh Boh, Sri Cheeding
Terkeluar sedikit dari kawasan Jugra, Ladang Teh Sri
Cheeding ini antara yang menarik untuk dilawati. Dibuka pada tahun 1927 dengan
keluasan lebih kurang 84.98 hektar. Ladang teh ini juga dikenali sebagai BOH
Plantations dan terkenal dengan ladang teh tanah rendah.
Di sini, anda pastinya terpegun melihat ladang teh tanah
rendah yang sememangnya sukar dijumpai. Mana tidaknya, kebanyakan ladang teh
yang kita lihat dan ketahui terletak di kawasan tinggi dan bersuhu rendah.
Namun, mempunyai suhu sederhana, teh di sini tidak sama
dengan ladang teh lain apabila ia di tanam di tanah tinggi dan memerlukan suhu
rendah atau pun sejuk.
Menariknya, teh di ladang ini ditanam di bawah pokok
kelapa sawit secara berselang-seli dan ia tanaman teh seumpamanya yang pertama di
dunia.
Di ladang ini juga menempatkan kilang yang beroperasi
untuk memproses dan membungkus teh. Ia sememangnya cukup mengujakan kerana
pengunjung pastinya terpegun melihat bagaimana proses pembungkusan teh ini
dilakukan.
Kilang ini juga menerima bekalan daun teh dari ladang teh
di Cameron Highlands untuk pembungkusan.
Oleh itu, ladang ini mempunyai daya tarikan yang
tersendiri terutama bagi mereka yang ingin melihat teh tanah rendah dan juga
bagi mengetahui cara teh diproses serta dibungkus.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September
2016 @ 12:46 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan