ARKIB : 13/05/1998
Asal nama Bukit Nanas
MENARA Kuala Lumpur... mercu
tanda pembangunan di kawasan Bukit Nanas.
Perang di Kuala Lumpur meletus
antara Raja Mahadi yang disokong oleh Raja Asal, Sutan Puasa dan orang Cina
yang dipimpin oleh Chong-Chong dengan Tengku Kudin yang bersekutu dengan Sultan
Abdul Samad, iaitu Sultan Selangor yang bersekutu dengan Yap Ah Loy, Kapitan
Cina Kuala Lumpur pada 1871-75.
Pada akhir 1871, Sultan Puasa,
iaitu ketua masyarakat orang Melayu keturunan Mendahiling mengumpul orangnya di
Tanjung Dua Belas (Hulu Langat).
Di situ pasukan Sutan Puasa
bersatu dengan pasukan orang Mendahiling dari Hulu Slim yang dipimpin oleh Raja
Berumun atau dikenali juga Datuk Imam Perang Jabarungun di Tanjung Dua Belas.
Mereka berkumpul untuk
menyerang Kuala Lumpur yang dikuasai oleh Kapitan Yap Ah Loy yang disokong oleh
Tengku Kudin dan Sultan Abdul Samad.
Pengikut Sutan Puasa yang
bersatu dengan pengikut Raja Berumun tidak sempat menyerang Kuala Lumpur kerana
dengan tiba-tiba pasukan mereka diserang oleh pasukan Yap Ah Loy seramai 200
orang dan dibantu oleh orang Melayu daripada pasukan Kapitan Syers yang
berjumlah kira-kira 100 orang.
Sutan Puasa sempat melepaskan
diri ke Klang dan menubuhkan satu lagi pasukan. Namun tidak lama kemudian,
Sutan Puasa dapat ditangkap oleh pasukan Inggeris yang dipimpin oleh Residen
Davidson, Residen British di Selangor. Lalu Sutan Puasa dipenjarakan di
Selangor.
Bukit Nanas yang ketika itu
belum lagi dikenali dengan nama itu masih menjadi pusat pertahanan Raja Asal,
iaitu sekutu Sutan Puasa. Raja Asal membina kubu pertahanan di Bukit Nanas
dengan menanam pokok nanas di sekeliling kubu tersebut. Tujuannya supaya
musuhnya sukar menembusi kubunya yang dikeliling oleh pokok nanas. Pokok nanas
itu boleh menjadi penghalang kepada musuh yang berkaki ayam.
Akhirnya kubu Raja Asal dapat
juga ditembusi oleh pasukan Yap Ah Loy yang disokong oleh Tengku Kudin dan
dibantu oleh Inggeris yang telah berkuasa di Selangor.
Raja Asal sempat berundur ke
Hulu Slim. Tetapi isterinya, Wan Putih, adik kepada Bendahara Tun Mutahir
Pahang, menyerah diri. Beliau kemudiannya dibebaskan.
Bukit tempat kubu terakhir Raja
Asal yang ditanam dengan pokok nanas itu akhirnya dikenali Bukit Nanas,
mengambil sempena pokok nanas yang ditanam di sekeliling kubu.
Raja Asal yang dianggap ketua
oleh masyarakat Melayu keturunan Mendahiling akhirnya berpindah ke Changkat
Piatu di Kinta, Perak. Pada masa Inggeris mencari Datuk Maharaja Lela dan Datuk
Sagor, kerana terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch pada 1875, Raja Asal
diminta oleh Inggeris untuk menolong mencari pahlawan Melayu Perak itu.
Waktu itu Raja Asal tidak
berjaya menangkap penentang Inggeris itu. Tetapi kerana sangat menghargai
jasanya, Inggeris melantik anak angkat yang juga anak saudaranya bernama Raja
Bilah, menjadi Penghulu Mukim Belanja yang berpusat di Pekan Papar pada
1882-1909.
Pada 1877, Raja Asal meninggal
dunia dan dimakamkan di atas sebuah bukit di Changkat Piatu dekat Batu Gajah.
Saya pernah melawat makamnya
pada 1977, iaitu ketika sedang menyiapkan buku yang bertajuk Tempat-tempat
Bersejarah di Negeri Perak.
Menurut Allahyarham Haji Waad
juga, sekutu Raja Asal, iaitu Syed Mashur, berkubur di Hulu Kelang.
Beliau juga dikalahkan oleh
angkatan perang Inggeris dengan sekutu angkatan perang Yap Ah Loy dan Tengku
Kudin. Syed Mashur lari ke Perak dan terlibat pula menolong Inggeris mencari
pahlawan Melayu yang membunuh Birch.
Syed Mashur akhirnya dilantik
oleh kerajaan Selangor yang dikuasai oleh Inggeris menjadi Penghulu di Daerah
Kerling.
Pada 1975 saya mengunjungi
makam Syed Mashur yang terletak di Kerling. Saudara mara Syed Mashur masih
ramai tinggal di Kerling hingga sekarang. Sultan Puasa selepas keluar dari
penjara di Kelang, terus menetap di Sungai Mulia, Gombak.
Di situ, beliau memiliki sebuah
rumah dan sebuah tasik kecil yang dikenali Tobek Sutan Puasa. Letak tasik itu
betul-betul di belakang Masjid Sungai Mulia. Tobek Sutan Puasa masih ada hingga
ke hari ini.
Haji Waad telah dilantik
menjadi Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu pada 1970, menggantikan Tan Sri
Ahmad Perang. pada masa saya tinggal di rumahnya, iaitu dari 1962, saya
berkenalan dengan keluarga Ahmad Perang dan keluarga Datuk Abdul Razak, iaitu
ketua Akauntan Keretapi Tanah Melayu.
Abdul Razak, setelah bersara
melibatkan diri dalam perniagaan. Beliau menduduki sebuah rumah besar berbentuk
Minangkabau berdekatan Taman Merbuk dan Tugu Negara.
Saya mendapat tahu bahawa Abdul
Razak telah meninggal dunia pada tahun 80-an. Isteri allahyarham, yang saya
panggil Kak Ani (Datin Noraini), berasal daripada keluarga Dato' Jaaffar
Mambak. Saya mengenalinya semasa tinggal di Jalan Syer. Rumahnya tidak jauh
dari rumah Allahyarham Haji Waad Jamaludin.
Haji Waad berpindah ke Jalan
Keramat Hujung selepas bersara sebagai Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu
pada 1970-an. Tapak rumah di Keramat Hujung itu saya yang berusaha menyuruh Hj.
Waad membelinya daripada Melan Abdullah yang waktu itu bertugas sebagai
wartawan di Utusan Melayu. Beliau meninggal dunia pada 1986 ketika usianya
mencecah 80 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Oleh: N.A. HALIM
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4JO0PbWXD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan