ARKIB : 15/05/1998
Almarhum minat tentera
ALMARHUM SULTAN TERENGGANU
SULTAN Terengganu, Sultan
Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah,
dilantik dan menduduki takhta kerajaan sebagai Sultan Terengganu pada 20
September 1979 setelah kemangkatan ayahanda baginda.
Ketika itu baginda berusia 49
tahun. Baginda ditabal dan dimahkotakan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan
Negeri Terengganu Darul Iman serta jajahan takluknya pada 21 Mac 1981 ketika
berusia 51 tahun.
Baginda yang merupakan putera
ketiga Sultan Ismail Nasiruddin Shah diputerakan di Istana Paduka di bandar
Kuala Terengganu pada 29 April 1930 dan menerima pendidikan awal di Sekolah
Kebangsaan Ladang, Kuala Terengganu.
Selepas beberapa tahun di
sekolah rendah, baginda berpindah belajar ke Sekolah Inggeris Crown Grammar
juga di bandar Kuala Terengganu.
Sultan Mahmud berangkat ke
England untuk melanjutkan pelajarannya pada Mei 1949. Setahun di London,
baginda kembali ke tanah air untuk menerima perlantikan sebagai Yang Dipertuan
Muda Terengganu.
Pada Ogos 1951, baginda sekali
lagi berangkat ke London untuk mengambil kursus Hal-Ehwal Perikanan di sebuah
kolej di Sussex.
Selain mengikuti kursus di
London, baginda juga bergiat dalam hal-ehwal penuntut Malaya di England,
khasnya di Sussex.
Almarhum pernah menjadi
Pemangku Sultan Terengganu sebanyak tiga kali. Pertama kali baginda dilantik
menjadi Pemangku Sultan Terengganu ialah pada 2 April 1965, ketika ayahanda
baginda berangkat ke luar negara.
Pada 21 September pada tahun
yang sama baginda sekali lagi menyandang jawatan itu apabila ayahanda baginda
dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia keempat.
Pada 21 Mac 1979 ketika
ayahanda baginda berangkat ke luar negara, Sultan Mahmud sekali lagi menjadi Pemangku
Sultan.
Pada 22 Mei 1951 Sultan Mahmud
berkahwin dengan puteri Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj
iaitu Tengku Ampuan Bariah.
Baginda mempunyai empat orang
putera dan tiga puteri iaitu Tengku Farah Quraishiyah Puteri, Tengku Mizan
Zainal Abidin (kini Yang Dipertuan Muda Terengganu), Tengku Norhana Puteri,
Tengku Rahimah Puteri, Tengku Mustaffa Kamel, Tengku Baderulzaman dan Tengku
Badrul Hisham Tengku Baharuddin.
Sultan Mahmud yang turut
meminati bidang ketenteraan, menghadiri latihan di Kem Latihan Askar Melayu
Diraja di Port Dickson Negeri Sembilan pada 4 Jan 1955. Pada Ogos 1956 baginda
dianugerahkan tauliah Diraja dalam pasukan Askar Wataniah sebagai pegawai
sukarela dengan menyandang pangkat Mejar.
Pada 1 Disember 1968 baginda
dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel dalam Pasukan Pertahanan Tempatan (Askar
Wataniah) dan dilantik menjadi Pegawai Pemerintah Pasukan Pertahanan Tempatan
Negeri Terengganu. Baginda dianugerahkan bintang kebesaran Darjah Kerabat Yang
Amat Mulia Darjah Yang Pertama Terengganu (DK) oleh Al Marhum ayahanda baginda.
Baginda berangkat ke Tanah Suci
Mekah untuk mengerjakan Umrah buat pertama kali pada tahun 1981 dan pada tahun
1984 baginda berangkat menunaikan fardu haji. - Bernama.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4JO58hv00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan