30 September 2016 5:12
PUTRAJAYA 30 Sept. -
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan pelantikan Profesor
Datuk Dr. Asma Ismail sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)
berkuat kuasa mulai 4 Oktober 2016 sehingga 3 Oktober 2019.
Dr. Asma Ismail
Dr. Asma Ismail
KPT dalam kenyataan hari ini
berkata, dengan pelantikan ini, Dr. Asma merupakan wanita pertama memegang
jawatan tersebut di USM.
Dr. Asma merupakan graduan
daripada University of Nevada, Reno, Amerika Syarikat (AS) dengan kepujian
dalam bidang Biologi.
Beliau telah menerima Ijazah
Sarjana dalam bidang Biologi Mikro dari Indiana University, Bloomington, AS
serta Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Biologi Molekular dan Selular dari
University of Nevada, Reno, USA pada tahun 1986.
Dr. Asma merupakan seorang yang
berpengalaman luas dalam bidang pengajian tinggi. Beliau memulakan kerjayanya
sebagai pensyarah pada tahun 1986 dan telah memegang pelbagai jawatan yang
penting sehingga kini termasuk sebagai Timbalan Naib Canselor USM (Penyelidikan
(amp) Inovasi) dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebelum
dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) pada tahun
2013, yang juga merupakan Ketua Pengarah wanita pertama.
Dr. Asma juga adalah
satu-satunya Naib Canselor yang telah berkhidmat di dua buah Universiti Awam
Negara. Beliau merupakan seorang saintis dan pentadbir yang diiktiraf di
peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Banyak pencapaian yang telah beliau
lakarkan di persada antarabangsa antaranya adalah memfailkan 30 paten yang mana
13 daripadanya telah diiktiraf dan dianugerahkan lebih daripada 162 pencapaian.
Ini termasuk Anugerah National
Young Scientist Award pada tahun 1991, Malaysian Toray Science and Technology
Award pada tahun 2002, National Inventor Award pada tahun 2003, National
Innovation Award, 2006 dan National Academic Award for Product and
Commercialization pada tahun 2007.
Beliau juga dianugerahkan Top
Research Scientist Malaysia pada 2012 oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).
“Kementerian amat yakin dengan
keupayaan Dr. Asma untuk membawa USM ke peringkat yang lebih tinggi agar dapat
terus menyumbang kepada pendidikan dan pembangunan negara.
“Kementerian juga ingin
mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Profesor Datuk Dr.
Omar Osman di atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai Naib Canselor USM
selama lima tahun bermula dari 27 September 2011 hingga 27 September 2016,”
kata kenyataan itu
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/dr-asma-wanita-pertama-naib-canselor-usm-1.388989#sthash.K3fwEyij.dpuf