Khamis, 21 Julai 2016

UPACARA MELAFAZ IKRAR BAHASA KEBANGSAAN DI STADIUM MERDEKA KUALA LUMPUR 21 Julai 1961

Perjuangan menegakkan penggunaan Bahasa Kebangsaan, mula memuncak sekitar tahun 1960-an, perjuangan diasaskan dan diketuai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pelbagai program dan aktiviti dijalankan bagi menggalakan dan memperluaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan di kalangan masyarakat pelbagai keturunan di negara yang merdeka ini. Pada hari ini 21 Julai 1961, bertempat di Stadium Merdeka telah diadakan upacara melafaz ikrar Bahasa Kebangsaan. Upacara tersebut yang berlangsung pada pukul 5.15 petang telah dihadiri oleh 20,000 orang. Berucap di Majlis tersebut Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman menegaskan pihak kerajaan dengan tegasnya akan menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan sepenuhnya apabila tiba masa yang dijanjikan. Selain daripada itu beliau menegaskan adalah menjadi tanggungjawab dan kewajiban tiap-tiap seorang daripada warganegara persekutuan untuk menggunakan Bahasa Melayu pada setiap masa supaya dapat kita meningkatkan bahasa ini kepada satu tempat yang tinggi dan mulia. Serentak itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pusat Bulan Bahasa, Tuan Syed Nasir dalam ucapannya dengan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang meluas kita dapat merdekakan diri daripada perasaan berpecah belah, sikap tidak endah, sikap mementingkan diri serta sikap rendah diri kerana pengaruh bahasa penjajah. Jelas kepada kita, usaha-usaha yang dijalankan sejak daripada awal Kemerdekaan negara, telah membuka ruang yang luas kepada Bahasa Kebangsaan berkembang di kalangan penduduk negara ini.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/hids

Tiada ulasan:

Catat Ulasan