Almarhum Tunku Abdul Rahman
Putra, Perdana Menteri yang pertama dan Bapa Kemerdekaan telah pergi
meninggalkan kita pada 6 Disember 1990. Pemergian negarawan ulung ini amat
dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sejarah perjuangan Almarhum Tunku Abdul
Rahman dari sebelum dan selepas Merdeka adalah merupakan sebahagian daripada
sejarah perjuangan bangsa Malaysia. Jasanya kepada negara akan tetap dikenang
sampai bila-bila. Sebagai mengenang dan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau
terhadap negara tercinta ini, satu projek Memorial Tunku Abdul Rahman Putra
telah dilancarkan pada hari ini 7 Julai 1992 oleh YAB. Dato’ Seri Dr. Mahathir
Mohamad, Perdana Menteri Malaysia. Memorial ini akan menjadi simbol sumbangan
Perdana Menteri Pertama negara ini terhadap kemerdekaan dan keharmonian kaum di
Malaysia. Sebuah Memorial akan dibuka sebelah tapak Bangunan Residensi yang
menjadi kediaman rasmi Almarhum Tunku semasa memegang teraju pemerintahan
negara. Bangunan Residensi akan digabungkan dengan satu lagi bangunan tambahan
yang direka bentuk khas bagi memuatkan sama bahan memorabilia milik Almarhum
Tunku Abdul Rahman. Bagi menjayakan projek Memorial Tunku Abdul Rahman ini juga
sebuah Jawatankuasa Tetap Memorial Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Ketua
Setiausaha Negara telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini telah juga melancarkan
Tabung Amanah Tunku pada 10 Oktober 1991 bagi membiayai pembinaan Memorial yang
pada mulanya dijangka dibuka pada tahun 1994. Sumbangan dan derma telah datang
mencurah-curah daripada syarikat-syarikat swasta dan orang-orang awam dari
seluruh negara. Sehingga 31 Disember 1992 sumbangan yang diterima ialah
sebanyak RM 12,827,32.00. Pemilihan Bangunan Residensi sebagai tarikan utama
memorial ialah kerana rumah ini telah menyaksikan banyak peristiwa sejarah
negara sama ada dari segi keputusan-keputusan penting dan perbincangan.
Pembinaan Memorial ini hanyalah sebagai simbol yang menggambarkan jasa Almarhum
Tunku kepada tanah air tercinta ini, tetapi sumbangan terbesar dan kenangan
abadi terhadap beliau ialah perpaduan kaum di negara ini wujud hasil dari usaha
beliau. Perpaduan kaum ini jugalah yang telah menyakinkan pihak British
memberikan kemerdekaan kepada negara kita pada 31 Ogos 1957 dan membuka jalan
kepada Malaysia menjadi negara merdeka dan berdaulat di mata dunia.
SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids
Tiada ulasan:
Catat Ulasan