ARKIB : 02/04/1998
AWAS... kamera laser digital,
'ditembak' ke arah kenderaan dan gambar dirakam jika dipandu melebihi had
kelajuan yang ditetapkan.
Bagi Unit Peronda Lebuh raya
khasnya, biarpun tidak mengawal kesesakan lalu lintas di bandar, tugas mereka
tetap mencabar. Berbekalkan kamera laser digital perangkap laju, mereka
menjalankan tugas merakam gelagat pemandu-pemandu kenderaan yang melanggar
peraturan had laju yang ditetapkan.
Penggunaan alat ini bertujuan
merakam kesalahan melalui gambar dalam usaha mengurangkan jumlah kemalangan
jalan raya yang kebanyakannya disebabkan kecuaian pemandu terutama akibat
memandu terlalu laju.
Kamera jenis ini mula digunakan
oleh Polis Trafik pada tahun 1995 dan sehingga sekarang, polis memiliki 44 alat
berkenaan yang mampu berfungsi dalam pelbagai keadaan cuaca.
Selain itu, ia juga memaparkan
gambar kenderaan terbabit lengkap dengan catatan masa, tarikh, kelajuan, tempat
dan had laju lebuh raya yang ditetapkan.
Di sepanjang 57 kilometer
bermula dari Lebuh Raya Sungai Besi ke Seremban, Unit Peronda Lebuh Raya KL -
Seremban dengan 14 anggota, dan dibahagikan kepada tiga unit iaitu Unit 31, 32
dan 33 memikul tugas ini secara bergilir-gilir 24 jam.
Komandernya, Ketua Inspektor
Ismail Munajat berkata, tugas utama mereka ialah menguatkuasakan tindakan ke
atas kesalahan lalu lintas yang dilakukan di atas lebuh raya atau selepas plaza
tol.
Katanya, penguatkuasaan itu
termasuk menjalankan operasi had laju, membuat rondaan di sepanjang lebuh raya
dan juga membuat operasi berjadual seperti operasi cermin gelap, operasi
motosikal dan mengesan kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan.
''Kita juga terlibat mengawal
pergerakan lalu lintas terutama apabila berlaku kesesakan yang disebabkan
kemalangan jalan raya,'' katanya dalam pertemuan dengan Utusan baru-baru ini.
Tugas anggota trafik peronda
lebuhraya bermula seawal pukul 6 pagi dan kebiasaannya tiba di pejabat
berhampiran Plaza Tol Sungai Besi setengah jam lebih awal.
Sebelum bertugas, taklimat akan
disampaikan untuk memudahkan pelaksanaan semasa di lebuh raya dan mereka juga
akan berdoa memohon kesejahteraan dan keselamatan semasa menjalankan tugas
seharian.
Dengan kekuatan tiga anggota,
setiap unit akan menjalankan tugas mereka, seorang mengendalikan kamera digital
dan dua lagi menjalankan rondaan di sepanjang lokasi mereka.
Biarpun, hanya seorang anggota
polis yang mengendalikan kamera berkenaan, rakaman gambar dan kelajuan yang
tercatat di dalamnya adalah tepat dan tidak perlu diragui.
Sepanjang lapan jam bertugas,
operasi perangkap laju diadakan beberapa kali di beberapa lokasi tertentu yang
telah ditetapkan.
Tugas mengendalikannya pula
dibuat secara bergilir-gilir antara ketiga-tiga anggota unit berkenaan.
Tanggungjawab mereka tidak
berakhir setakat itu sahaja malah mereka juga perlu memproses gambar yang
dirakam setiap hari pada akhir waktu bertugas.
Berdasarkan gambar berkenaan,
saman akan dikeluarkan dan dihantar melalui Ibu Pejabat Polis Daerah yang
berkenaan.
Tanggungjawab ini pula
dilaksanakan dengan patuh tanpa banyak persoalan biarpun mereka terpaksa
mengorbankan masa bersama keluarga tercinta dan anak-anak.
Mana tidaknya, anggota polis
peronda terus-menerus bertugas walaupun pada ketika orang ramai berehat di
hujung minggu ataupun pulang berhari raya di kampung.
Semangat tinggi yang
ditunjukkan oleh anggota polis peronda ini perlu dicontohi oleh semua pihak khususnya
dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.
Oleh itu, para pemandu perlu
bekerjasama dan bersopan-santun di jalan raya untuk keselamatan dan keselesaan
bersama.
Jangan biarkan ungkapan
'kelajuan boleh membunuh' dan 'jangan biarkan keluarga meratapi kepulangan
anda' menimpa anda atau keluarga anda.
Oleh: MOHD. RADZI MOHD. ZIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4Fqb8tOtW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan