ARKIB : 03/03/1998
KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas
Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Zainuddin Maidin, yang lebih
dikenali sebagai Zam, dilantik menjadi Senator mulai 25 Februari lalu bagi
tempoh tiga tahun.
Setiausaha Dewan Negara,
Abdullah Wahab memberitahu, Zam, 58, anak kelahiran Kota Kuala Muda, Kedah akan
mengangkat sumpah pada 9 Mac ini.
Inilah pertama kali dalam
sejarah, seorang wartawan dilantik sebagai Senator, satu penghormatan yang Zam
sifatkan sebagai pengiktirafan terhadap bidang kewartawanan di negara ini.
''Pelantikan saya sebagai
Senator bukan saja sebagai tanda penghormatan negara terhadap diri saya
sendiri, tetapi apa yang lebih bermakna, ia merupakan pengiktirafan negara
kepada seluruh wartawan yang menjadi suara sederhana dalam usaha pembentukan
budaya toleransi dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini,'' kata Zam
ketika ditemubual di pejabatnya hari ini.
Zam menegaskan, sumbangan para
wartawan inilah yang telah banyak menjayakan proses sosialisasi yang membentuk
pemikiran dan sikap rakyat agar bijak memberikan penilaian dan penghargaan
tentang betapa pentingnya keharmonian, perpaduan dan juga kestabilan sesebuah
negara, terutamanya dalam saat-saat genting dan mencabar.
''Sikap inilah juga yang telah
membolehkan kita sampai kepada peringkat yang ada sekarang iaitu untuk
memperkukuhkan budaya toleransi yang kita bina itu.
''Inilah budaya kita yang
paling penting dan lebih penting dari segala-galanya terutama bagi menghadapi
cabaran-cabaran alaf baru yang datang bersama masyarakat maklumat yang tidak
bertebing,'' ujar beliau.
Menurut Zam, kewartawanan
merupakan satu bidang yang mencabar kerana ia banyak mengajar seseorang tentang
keyakinan diri, meluaskan pengetahuan melalui desakan membaca di samping
belajar menyesuaikan diri pada setiap keadaan.
Zam menganggap Utusan Melayu
sebagai sebuah universiti baginya kerana Utusan Melayu telah memberikannya
peluang menjalani proses pembelajaran berterusan sebagai seorang wartawan memandangkan
beliau tidak berpendidikan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk
Seri Anwar Ibrahim semasa melancarkan bukunya yang berjudul Mahathir Di Sebalik
Tabir empat tahun lepas memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad menyifatkan Zam sebagai 'kawan rapatnya, tetapi yang
menyusahkan'.
Anwar menganggap kata-kata
tersebut sebagai satu pujian kerana sebagai penulis, Zam tidak selalunya
bersetuju serta mempertahankan pendirian kerajaan, UMNO atau Perdana Menteri
dan sambil berseloroh, Anwar berkata ''demikian juga sikap Zam terhadap saya''.
Zam memulakan kariernya ketika
usianya baru menjangkau 19 tahun (sekitar akhir tahun 50-an) sebagai pemberita
sambilan di Alor Setar sebelum menjadi wakil Utusan Melayu di Kedah dan Perlis.
Beliau kemudian telah diberikan
kepercayaan menyandang jawatan Ketua Pemberita, Pengarang Berita, wakil Utusan
Melayu pertama di London, dan Pengarang Utusan Malaysia sehinggalah beliau
dilantik menjadi Ketua Pengarang pada 1982.
Zam juga pernah menerima
latihan kewartawanan di Institut Kewartawanan di Berlin pada tahun 1969 selama
tiga bulan dan pada tahun 1981, beliau mendapat fellowship kewartawanan dari
Universiti of Michigan, Amerika Syarikat selama sembilan bulan.
Zam yang mendapat pendidikan di
Maktab Mahmud, Alor Setar bertanggungjawab membawa Kumpulan Utusan menjuarai
penentangan terhadap ekstremisme agama dan ajaran-ajaran karut di negara ini
terutama sekali Al-Arqam sehingga akhirnya pertubuhan itu diharamkan.
Di bawah pimpinannya juga, Utusan
Melayu telah berjaya mengutip derma sebanyak RM4.9 juta untuk Tabung Bosnia
selain berjaya mengutip lebih RM1 juta untuk Pertubuhan Pembebasan Palestin
(PLO) yang disampaikannya sendiri kepada Presiden Palestin, Yasser Arafat di
Wisma Putra di sini beberapa tahun lalu.
Selain itu, dengan kerjasama
Penerbangan Malaysia (MAS), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Utusan
Malaysia, beliau telah menghidupkan kembali sukan sepak takraw sebagai
permainan kebangsaan yang Lakhirnya diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa.
Selain dari buku Mahathir Di
Sebalik Tabir, Zam juga telah mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan
sebuah biografi bergambar mengenai bekas Perdana Mentri, Tun Abdul Razak
bertajuk Tun Abdul Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot yang dilancarkan oleh
Dr. Mahathir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun lepas.
Sebelum itu, buku pertamanya
Yang Pertama dan Terakhir mengandungi sebahagian daripada pengalamannya selama
tiga dekad sebagai wartawan manakala Yang Terbaik Daripada Awang Selamat
merupakan pilihan pojoknya dalam Mingguan Malaysia meliputi bidang sosial,
politik dan agama yang menggambarkan dasar dan sikap Kumpulan Utusan.
Zam kini menjadi Pengerusi
Utusan Publications & Distributors (UP&D) Sdn. Bhd. serta menganggotai lembaga
pengarah Kumpulan Utusan.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz4Fc6H7V98
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan