ARKIB : 26/02/1998
KENYATAAN Pengarah Eksekutif
Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Tun Daim Zainuddin semalam bahawa bukan
bumiputera boleh membeli saham syarikat bumiputera yang bermasalah sudah tentu
memeranjatkan banyak orang. Sebenarnya Daim pernah menyentuh soal itu dalam
satu wawancara dengan sebuah majalah berita serantau sebelum ini.
Kenyataan Daim disahkan semalam
oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
Tindakan itu sudah pasti
membangkitkan kontroversi kerana maknanya cukup besar kepada negara dan orang
Melayu. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia segera membuat reaksi ekoran kenyataan
itu dan berpendapat langkah itu tidak bijak dan perlu dikaji semula.
Orang Melayu dan ahli
perniagaan Melayu berhak menjadi risau dengan kenyataan itu. Mereka akan
membaca bahawa tongkat sakti kerajaan yang telah menolong ahli perniagaan
Melayu sewaktu Dasar Ekonomi Baru (DEB) bermula akan ditarik balik. Sebaliknya kerajaan
akan membenarkan orang-orang korporat bukan Bumiputera mengambil alih pegangan
saham usahawan bumiputera yang bermasalah itu - satu tindakan yang akan
ditafsirkan menanggalkan apa juga kejayaan penyertaan orang Melayu dalam sektor
korporat yang telah diinstitusi oleh DEB.
Memanglah dengan membenarkan
penguasaan bukan bumi itu, kerajaan akan terdedah kepada dakwaan bahawa ia
tidak lagi sensitif dalam menjaga kepentingan Melayu dalam bisnes. Malah
pimpinan negara akan dituduh mengkhianati kepentingan sektor korporat Melayu
yang selama ini telah dipayunginya. Malah lebih buruk lagi kerajaan akan
dituduh menghalalkan apa sahaja cara demi menyelesaikan masalah semasa.
Kita percaya sekalipun kerajaan
tidak boleh mengamalkan dasar menyelamat orang-orang korporat Melayu itu, namun
kepentingan jangka panjang kepentingan Melayu akan dilakukan menggunakan
pelbagai strategi baru yang lebih berkesan. Tentu kerajaan tidak tergamak
melihat pencapaian membanggakan DEB itu musnah begitu saja.
Orang Melayu pastilah berasa
lega kerana jaminan Perdana Menteri ialah hal itu hanya untuk sementara waktu.
Lagi pula dalam menghadapi masalah sebesar itu, tentulah lebih baik sesebuah
syarikat itu diselamatkan oleh orang yang lebih mampu dari dibiarkan hancur.
Kenyataannya ialah dalam hidup,
ada kalanya kita perlu mengambil sikap yang pragmatik. Jika diberi pilihan,
kita yakin dan percaya kerajaan tentulah akan membantu mereka yang bermasalah.
Tetapi kedudukan ekonomi negara yang genting pada waktu ini, tidak membenarkan
kerajaan berbuat demikian. Daripada membiarkan syarikat-syarikat itu jatuh ke
dalam genggaman orang asing, tentulah lebih baik ia dibeli oleh warga Malaysia
sendiri.
Sekurang-kurangnya syarikat itu
masih milik kita. Segala keuntungan kekal di negara ini dan tidak mengalir
keluar.
Sudah tentu bukan dengan cara
pintu belakang, seperti memiliknegarakan dan kemudian menyerahkan kepada
Melayu. Tetapi sebaliknya berasaskan matrik pasaran waktu itu. Cara ini akan
menjadikan usahawan Melayu itu lebih dihormati.
Lagi pula ahli perniagaan
Melayu sudah diperingatkan bahawa DEB tidak boleh kekal. Lambat laun naungannya
akan ditarik kembali. Sepatutnya ahli perniagaan Melayu sudah bersedia
menghadapi waktu hujan seperti sekarang. Terlalu lama dilindungi akan hanya
menjadikan seseorang lemak dan berpuas hati.
Kenyataan hari ini memang
pahit. Tetapi mungkin ada hikmahnya ubat yang pahit itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4Fbe6RjvL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan