ARKIB : 02/04/1998
Pengalaman bertempur dengan 400
pengganas komunis di Gubir
Tetapi bayangkan jika anda
bersama 60 rakan tentera bertempur dan berbalas tembakan dengan 400 musuh dalam
hutan, tentunya suatu pengalaman yang sukar dilupakan.
Inilah yang dialami oleh Kapten
Sudirman Ahmad, 49, ketika bertugas dalam Rejimen Gerak Khas (RGK) atau komando
sekitar tahun 1970-an.
Pengalaman menggempur kem
pengganas komunis di sebuah perkampungan kecil di sempadan Malaysia-Thailand,
24 tahun lalu, masih segar dalam ingatan Sudirman.
Ketika itu, beliau berusia 23
tahun, dan tidak dapat melupakan detik-detik cemas bersama anggota-anggotanya
yang terpaksa bertarung dengan maut untuk menghapuskan musuh negara.
Sudirman yang mengetuai
skuadron bersama 60 anggota komando, diarahkan ke Gubir untuk menyerang kem
komunis yang terbesar di kawasan sempadan, yang dipercayai dihuni 400 pengganas
komunis.
Oleh kerana perkampungan
tersebut dikawal ketat oleh pihak pengganas serta dipercayai dipasang dengan
3,600 jerangkap samar, kesemua anggota pasukannya dihantar untuk menyerang kem
tersebut menggunakan helikopter pada waktu malam.
Menurut beliau, segala-galanya
berjalan lancar sehingga kedatangan mereka disedari pihak pengganas dan
bermulalah pertempuran di antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, pertempuran hampir
setengah jam antara kedua-dua belah pihak telah mengorbankan 11 anggotanya.
''Bayangkanlah kekuatan anggota
kami hanya 60 orang dan pengganas ketika itu menyerang dengan kekuatan 400
anggota.
''Namun kami tetap bertahan
walaupun 11 dari kami telah terkorban,'' katanya mengingati detik-detik cemas
ketika operasi di Gubir pada tahun 1974.
Bagaimanapun katanya, 22
pengganas berjaya ditewaskan dan ini menyemarakkan lagi semangat mereka untuk
terus bertempur sehingga enam hari enam malam bagi melumpuhkan kekuatan
pengganas, walaupun tidak mendapat sebarang bantuan pada waktu itu.
Hari seterusnya kata beliau,
sebuah helikopter bersama 11 anggota tentera termasuk dua orang anggota komando
menyerang dari udara tetapi malangnya kesemua mereka terkorban kerana
helikopter tersebut meletup akibat serangan balas dari pengganas.
Selepas peristiwa itu katanya,
mereka diarahkan berundur seketika setelah kawasan pertempuran dimusnahkan
dengan tembakan meriam daripada pasukan bantuan dari luar kem.
''Kami terpaksa maju ke hadapan
walaupun diarah berundur kerana tiada tempat yang selamat dan hampir kesemua
kawasan dipasang jerangkap samar,'' katanya.
Beliau sendiri tercedera akibat
terkena tembakan dan hampir terkena jerangkap samar tetapi nasib masih
menyebelahinya dan beliau terselamat.
Akhirnya kata beliau, mereka
sampai ke kawasan bukit dan berlindung di atas kawasan itu sementara menunggu
bantuan datang.
Pada sebelah malam katanya,
sebuah helikopter datang untuk mengeluarkan mereka dari kem tersebut dengan
melakukan 14 penerbangan ulang-alik.
Tetapi katanya, 15 orang
anggotanya terpaksa bertahan di atas bukit kerana pihak pengganas telah
mengetahui kedatangan bantuan udara itu dan mereka terpaksa menghentikan
penerbangan kerana kawasan bukit telah dikepung.
Kesemua 15 anggotanya terpaksa
berundur dan melarikan diri menuju hutan dan sesat selama dua hari di situ.
''Sepanjang dua hari itu, mereka telah bertembung dan bertempur dengan
pengganas beberapa kali, sebelum diberi bantuan keluar dari hutan berkenaan,''
katanya menamatkan cerita.
Kini, walaupun telah bersara
beliau masih aktif dengan menganggotai Kelab Bekas Komando dan menjalankan
pelbagai aktiviti bermanfaat di samping mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan
seperjuangan.
Oleh: AZIAN ABD AZIZ
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4Fqdm63qY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan