ARKIB : 13/03/1998
IMAM YUNUS YANG sedang memeberi
ceramah kepada para jemaah di majlis sembahyang sunat Aidilfitri, baru-baru
ini.
HUBUNGAN antara China dan dunia
Arab boleh dikesan seawal sebelum kurun pertama. Menurut rekod-rekod sejarah di
China, Zhang Qian ialah seorang utusan khas Dinasti Han (206 Sebelum Masehi-220
Masehi) yang telah sampai ke negara Arab dengan sebuah karavan. Pada masa itu,
negara Arab dipanggil ''Da Shi'' oleh orang Cina.
Lama kelamaan, hubungan
sedemikian antara China dan Arab, ketika Islam muncul dan berkembang di Arab,
berterusan pantas mencapai satu lagi tahap bersejarah sementara China tiba ke
kemuncak tamadunnya dengan kemajuan dalam bidang ukiran, puisi, kerja logam dan
kesusasteraan yang subur berkembang dalam zaman pemerintahan Dinasti Tang
(618-908 Masihi).
Disebabkan ketiadaan bukti,
tidak ada tarikh tepat yang dapat dinyatakan bila agama Islam tiba di China
sungguhpun ada spekulasi bahawa Islam sampai ke China semasa zaman Rasulullah
(613, 614 Masihi).
Bagaimanapun, satu rekod rasmi
yang paling dipercayai ialah Buku Dinasti Tang Lama yang menceritakan bahawa
utusan yang dihantar oleh Khalifah Usman (zaman Khalifah 644-656) membuat
lawatan rasmi terhadap Tang GaoZu (raja Dinasti Tang).
Semenjak itu, persahabatan
antara China dan negara-negara Islam dikembangkan oleh para utusan semasa
lawatan-lawatan berkala.
Satu kejadian semasa Dinasti
Tang - Pemberontakan An Si - menjadi satu kejayaan besar dalam sejarah
meluaskan perkembangan Islam. Pada tahun 755 Masihi, kumpulan pemberontak An Si
menawan banyak bandar besar di China. Tang Xuan Zun (raja) dipaksa bersara dan
melarikan diri ke wilayah Sichuan. Anak lelakinya dilantik sebagai raja baru
(Tang Xuzun) dan tidak lama selepas itu, raja baru berkenaan memohon tentera
berkuda yang kuat dari negara-negara Islam yang berjiran dengannnya di Asia
Tengah untuk campur tangan tentera.
Akhirnya, tentera Kerajaan
China yang bersekutu dengan tentera berkuda Islam, menghancurkan pemberontakan
itu dan Tang Xuzun (Raja Baru) kembali ke ibu negara, Xian. Dengan itu, raja
tersebut amat menghargai bantuan orang Islam, dan daripada kembali ke negara
masing-masing, dia membenarkan tentera Islam tinggal di sebuah daerah (Fang) di
ibu negara itu dan perkahwinan campur dengan wanita China juga dibenarkan.
Dinasti Tang (618-908) dan
Dinasti Song (960-1279) merupakan tempoh aman dan kreatif. Hubungan dagang
antara Arab dan China semakin kuat. Bukti perdagangan ini dengan pedagang Arab
dan Parsi di bandar-bandar besar boleh ditemui dalam buku-buku kesusasteraan
dan sejarah mengenai zaman itu.
Pedagang-pedagang Arab membina
sebuah masjid di Guang Zhou di selatan China dan beberapa buah masjid lain
dibina oleh kerajaan. Sebahagian nama masjid itu diberikan oleh maharaja yang
memerintah China pada masa itu. Masjid yang namanya diberi oleh maharaja
mempunyai signifikasi besar kepada minoriti Islam, kerana pengiktirafan dan
penghargaan sedemikian daripada pihak berkuasa tertinggi sesungguhnya merupakan
sesuatu yang luar biasa.
Semasa Dinasti Yuan
(1279-1368), China diperintah oleh kerajaan Mongol dengan Kublai Khan menduduki
takhtanya di Beijing pada 1293. Kerajaan Yuan melaksanakan satu dasar yang
memihak kepada penduduk etnik Islam. Orang Islam menikmati status sosiopolitik
yang tinggi semasa dinasti ini kerana mereka termasuk dalam kategori minoriti
bersama dengan orang Mongol.
Sebaliknya, pada tahun 1253
selepas menawan Baghdad, orang Mongol menjadikan askar Arab dan Parsi sebagai
askar kerahan mereka dan menghantar askar-askar itu ke China. Askar Arab dan
Parsi ini kemudiannya kekal menetap di beberapa tempat di China dan berkahwin
dengan penduduk di situ. Seorang Islam terkenal yang berkhidmat sebagai pegawai
berpangkat tinggi ialah Saidian Chi Zansi Al Din, seorang jeneral di wilayah
Yunan di China.
Satu pepatah Cina ''Hui Hui
(orang Islam) berada di merata-rata negara China semasa Dinasti Yuan'' mungkin
boleh dijadikan gambaran terbaik mengenai penyebaran orang Islam dalam tempoh
itu.
Pada 1368, orang Mongol
disingkirkan ekoran penubuhan Dinasti Ming (1368-1644). Bagaimanapun, orang
Islam terus aktif dalam bidang sosiopolitik. Pelayar Islam teragung, Zhen He
juga hidup dalam zaman ini.
Penganut Islam veteran
khususnya Jeneral Chang Yu Chun dan Hu Da Hei mendedikasi sebahagian besar
hidup mereka untuk mewujudkan Empayar Ming.
Sehubungan itu, pada awal
pembentukan Empayar Ming (1368), rajanya begitu menghargai pencapaian orang
Islam dan kepercayaan mereka. Sebagai tanda penghargaan, beberapa buah masjid
telah dibina oleh pihak berkuasa Ming. Malah Maharaja Ming sendiri telah
menulis pengenalan mengenai Islam dalam artikel terkenal 100 perkataan yang
digunakan untuk memuji Nabi yang disebar luas di kalangan orang Islam.
Dalam pada itu, hubungan
perdagangan antara China dan dunia Arab semakin teguh ekoran para pedagang yang
berulang alik menggunakan Jalan Sutera. Banyak juga pedagang Arab yang membuka
kedai-kedai mereka di bandar-bandar besar di China. Kegiatan mereka ini digambarkan
dalam buku-buku kesusasteraan pada zaman itu. China berkembang semula dalam
tempoh 272 tahun pemerintahan Dinasti Ming.
Kejayaan orang Islam mencapai
kemuncaknya selepas tujuh pelayaran Zhen He.
Zhen He (1371-1435) juga
dikenali sebagai Ma Sanbao (nama biasa orang Cina Muslim) dan dilahirkan dalam
sebuah keluarga Islam yang terpelajar. Datuk dan bapanya telah menunaikan haji
sewaktu dia masih kecil.
Pada 1405, Maharaja Ming
memulakan pelayaran antarabangsa untuk meningkatkan hubungan dengan negara-negara
lain selepas Dinasti Ming telah sampai ke kemuncak kemakmuran komersial di
sekitar China. Maharaja Ming memilih menteri kanannya, Zhen He untuk memenuhi
cita-citanya.
Zhen He mengetuai armada
terbesar di dunia pada ketika itu bersama Imam Ha San, para doktor dan kelasi
(berjumlah 2,700 orang) yang belayar ke Asia Tenggara dan negara-negara Arab
untuk lawatan muhibah.
Pada 1430, dia sekali lagi
belayar dan tiba ke Laut Merah, mengunjungi Afrika Utara dan rombongannya yang
terdiri daripada tujuh orang pegawai Islam turut menunaikan haji dan membawa
lakaran rumah suci Kaabah di Mekah pulang ke China.
Pelayaran Zhen He sebanyak
tujuh kali ke tenggara Pasifik telah mengukuhkan hubungan antara China dan
negara-negara di Asia Tenggara, Afrika Utara dan Arab. Hasil pelayaran Zhen He,
lebih 30 orang raja, sultan dan utusan khas telah berkunjung ke China. Zhen He
meninggalkan banyak pengaruh sejarah dan namanya masih dikenang di
negara-negara Asia Tenggara dan di negara China sehingga ke hari ini.
Dari Dinasti Ming (1368-1644)
sehingga ke tempoh awal Dinasti Qing (1644-1911), pemikiran Islam berkembang
bersama-sama jumlah penduduk Islam yang semakin bertambah.
Empat ahli falsafah terkemuka.
Wang Daixing (1584-1670),
beliau membangunkan teori menegakkan Islam berbanding kebudayaan Cina. Dia
begitu arif dalam pengetahuan klasik Cina dan dia menggunakannya untuk
menerapkan nilai-nilai Islam selari dengan persekitaran Cina. Pemikirannya
mempunyai gambaran pengaruh yang besar di kalangan masyarakat Islam sepanjang
zaman.
Buku karyanya yang terkenal
ialah Penjelasan Benar Mengenai Agama Sebenar (Islam) dan Pengajian Tinggi Qing
Zhen (Islam)'.
Yusuf Ma Zhu (1640-1711),beliau
dilahirkan di wilayah Yunan. Karyanya yang penting ialah Arah Islam yang
bersangkut dengan sejarah, falsafah dan undang-undang Islam serta menekankan
kefahaman Islam secara mengenali sifat-sifat Pencipta - Allah sebagai sumber
asas semua pengetahuan.
Beliau juga membayangkan bahawa
pelaksanaan prinsip Islam adalah satu langkah penting untuk mengubati penyakit
sosial dan mengekalkan keadilan dan kemakmuran dalam masyarakat.
Liu Zhi (1665-1745),
cendekiawan terkenal ini dilahirkan di Nanjing dan pengetahuan mendalamnya
tentang Islam mendapat sanjungan tinggi di kalangan masyarat Islam dan juga
bukan Islam China.
Karya akademiknya yang penting
ialah Tian Fang Jian Li (Etika dalam Islam), satu-satunya buku karya Cina
Muslim yang telah dihimpunkan dalam ensiklopedia yang paling dipercayai dan
diluluskan kerajaan, Si Ku Quan Shu, semasa pemerintahan Dinasti Qing. Ini boleh
dianggap satu pengiktirafan para cendekiawan tradisi Cina atas kejayaannya yang
mengagumkan dalam memahami sifat manusia dari perspektif Islam.
Yusuf Ma Dexin (1794-1874),
Beliau pula terkenal kerana kefasihan dan pengetahuannya dalam kedua-dua bahasa
Arab dan Parsi serta pengetahuan mendalamnya mengenai Islam. Beliau
menterjemahkan kitab suci al-Quran. Beliau juga menulis banyak buku Islam dalam
bahasa Arab dan Parsi.
Pada 1841, beliau menunaikan
haji dan tinggal di negara Arab selama lapan tahun. Malangnya, pada usia 80
tahun, beliau dibunuh oleh rejim Qing kerana penglibatannya dengan
pemberontakan orang Islam Yunnan (1862-1872) di China.
Karya akademiknya yang
terkemuka ialah Kitab Ajaran Suci yang merupakan sebahagian terjemahan awal
al-Quran, Nawahu dan Saierfu yang merupakan buku teks tata bahasa Arab,
Gambaran Sejagat Huan Yu Shu Yao yang mengandungi pengetahuan mengenai kalendar
Islam dan kandungan lain.
* Yusuf Lin Baojun ialah
warganegara China beragama Islam berasal dari Lan Zhou, Gansu, China. Beliau
kini menuntut di Universiti Islam Antarabangasa, Kuala Lumpur.
Oleh: YUSUF LIN BAOJUN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4Fhl64PB5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan