12 Julai 2016 12:12 AM
PENJAGA gol Perancis, Hugo Lloris dan Moussa Sissokho ditenangkan oleh pemain simpanan Eliaquim Mangala selepas perlawanan di mana mereka kalah 0-1 kepada Portugal semalam. REUTERS
PARIS 11 Julai - Dua kali Cristiano Ronaldo menitiskan air mata ketika perlawanan akhir Euro 2016. Tangisan pertama disebabkan penyerang Portugal itu terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, kedua ketika menyaksikan rakan sepasukannya melakar sejarah apabila menewaskan Perancis untuk muncul juara.
Apabila dia mengalami kecederaan lutut pada pertengahan babak pertama di Stade de France, insiden itu kelihatan akan menjadi permulaan kepada igauan buruk Pemain Terbaik Dunia tiga kali itu.
Bagaimanapun penyerang gantian, Eder menceriakan kem Portugal apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada masa tambahan untuk menewaskan tuan rumah 1-0 sekali gus menjulang trofi juara kejohanan utama buat kali pertama.
“Hari ini saya berasa sedih dan gembira. Apa yang saya boleh katakan adalah ini merupakan salah satu detik terindah dalam hidup saya. Saya menangis,” kata Ronaldo ketika meraikan kemenangan bersama rakan sepasukannya.
Semasa ketiadaan Ronaldo, penyerang Lille, Eder muncul wira pasukan dan bintang Real Madrid itu menegaskan dia dapat merasakan sesuatu yang baik bakal berlaku kepada Portugal.
“Saya merasakan dia bakal menyelesaikan masalah pada masa tambahan. Saya bukannya ahli sihir atau boleh melihat masa depan namun saya sentiasa mengikut gerak hati,” kata Ronaldo lagi.
Ronaldo menerima asakan keras daripada pemain tengah Perancis, Dimitri Payet pada minit kelapan permainan. Dia dilihat terbaring di atas padang sambil mengerang kesakitan dan kemudian dibawa keluar untuk menjalani rawatan sebelum menyambung semula perlawanan.
Selang beberapa minit, Ronaldo sekali lagi keluar padang untuk membalut kakinya. Bagaimanapun pada minit ke-24 dia meminta dikeluarkan kerana tidak lagi mampu menahan kesakitan.
Dia menanggalkan lilitan kapten dan kemudian menangis sewaktu diusung keluar padang untuk digantikan dengan Ricardo Quaresma.
Penyerang berusia 31 tahun itu sebelum ini terlepas peluang untuk menjulang trofi kejohanan selepas tewas 1-0 kepada Greece dalam final Euro 2004 di laman sendiri dan kekalahan tersebut memberi kesan mendalam kepadanya.
Sebelum perlawanan bermula, Ronaldo pernah berkata bahawa dia mahu menitiskan air mata kegembiraan, bagaimanapun tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaannya selepas ramalannya itu menjadi kenyataan.
Dalam pada itu, walaupun telah melakukan kekasaran namun Payet terlepas daripada dikenakan sebarang tindakan oleh pengadil Mark Clattenburg, sesuatu yang mengecewakan jurulatih Portugal, Fernando Santos.
“Saya fikir pengadil sepatutnya memberikan kad. Saya menghormati keputusan pengadil, saya fikir mereka tidak berat sebelah dan jujur namun saya fikir dia patut memberikan sesuatu malah dia tidak meniup wisel menandakan telah berlaku kesalahan,” kata Santos.
Ronaldo akhirnya mendapat satu pingat kejohanan besar untuk diletakkan bersama-sama koleksi pelbagai anugerah pencapaiannya yang dimenangi bersama Real Madrid dan Manchester United - termasuk anugerah Pemain Terbaik Dunia sebanyak tiga kali.
Dia kini berada satu takuk di depan pesaing peribadinya Lionel Messi dari Argentina, yang bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas kalah kepada Chile dalam perlawanan akhir Copa America baru-baru ini.
Ketika 109 minit berlalu, Eder berjaya menewaskan asakan Laurent Koscielny untuk melepaskan sepakan dari luar kotak penalti yang tidak mampu dicapai oleh ketua pasukan dan penjaga gol tuan rumah Hugo Lloris.
Perancis memulakan perlawanan selaku pasukan pilihan selepas mereka menewaskan Jerman 2-0 dalam separuh akhir dan mereka menguasai perlawanan hari ini.
Namun mereka tidak mampu memecahkan benteng Portugal yang menyaksikan Pepe begitu kebal manakala penjaga gol Rui Patricio membuat beberapa penyelamatan dramatik.
Antoine Griezmann menjaringkan kedua-dua gol perlawanan menentang Jerman itu tetapi hari ini dia tidak mampu membolosi pertahanan Portugal.
Dia bagaimanapun berjaya membuat percubaan pada awal permainan tetapi tandukannya ditepis keluar oleh Patricio.
Moussa Sissoko pula melepaskan rembatan yang sedikit tinggi di atas palang manakala pemain gantian Andre-Pierre Gignac menyaksikan percubaannya mengenai tiang. – AFP
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ronaldo-portugal-akhirnya-julang-piala-1.352275#sthash.dFoIA5VH.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan