Isnin, 4 Julai 2016

INGGERIS MENYERANG KUALA SELANGOR 4.7.1871

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1871,  pekan  Kuala  Selangor  telah  diserang  dan  dibedil  oleh  angkatan  perang  Inggeris.  Serangan  ini  dilakukan  ekoran  daripada  peristiwa  serangan  lanun  ke  atas  sebuah  tongkang  yang  dimiliki  oleh  seorang  saudagar  dari  Pulau  Pinang  yang  telah  menyebabkan  34  orang  terbunuh.  Berikutan  itu,  Gabenor  Negeri-Negeri  Selat  telah  menghantar  satu  rombongan  dengan  kapal  H.M.S  Rinaldo  dan  Pluto  ke  Kuala  Selangor,  menuntut  kepada  Raja  Muda  Musa  agar  lanun-lanun  yang  melarikan diri  ke  Kuala  Selangor  itu  ditangkap.  Rombongan  angkatan  perang  yang tiba  ke  Kuala  Selangor  telah  bertemu  dengan  Syed  Mashor,  Raja  Mahmud  dan  Raja  Mahadi  dan  telah  berlaku  pertengkaran  serta pergelutan  hingga  menyebabkan  seorang  anggota  tentera  Inggeris  terbunuh  dan  dan  enam  orang  tercedera.  Lanjutan  daripada  itu,  angkatan  perang  Inggeris  telah  menyerang dan  membedil  kota-kota  dan  pekan  Kuala  Selangor.  Serangan  kali  kedua  pada  6 Julai 1871  telah  membinasakan  kubu  dan  membakar  penempatan  di  pekan  Kuala  Selangor.  Sesungguhnya,  pihak  Inggeris  telah  sedia  menanti  peluang  untuk  campur  tangan  di  Selangor.  Peluang  permasalahan  lanun  ini  telah  dijadikan  alasan  untuk  memasuki  Selangor  selepas  negeri  Perak.

SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids

Tiada ulasan:

Catat Ulasan