KUCHING – Angka ‘18’ nampaknya membawa tuah kepada pelari pecut Melaka, Mohd. Khairul Hafiz Jantan.
Mana tidaknya, semalam, atlet berusia 18 tahun itu mencipta kejutan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-18 apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara tersebut iaitu 10.30s yang juga sudah berusia 18 tahun.
Catatan yang dilakukan oleh Khairul pada perlumbaan akhir acara 100m di Stadium Sarawak, Petra Jaya itu juga ada kaitannya dengan angka ‘18’ iaitu 10.18s.
Pencapaian yang dilakukan oleh Khairul itu memusnahkan rekod lama milik bekas atlet Sarawak, Watson Nyambek yang melakukannya pada kejohanan Pra-Sukan Komanwel 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Pada perlumbaan semalam, Khairul yang berlari di lorong ketiga, mengetepikan cabaran dua lagi pencabar terkuatnya, Jonathan Nyepa (Sarawak) dan Badrul Hisyam Abdul Manap (Melaka) untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Melaka.
Jonathan dan Badrul yang melakukan catatan masa 10.36s pada perlumbaan tersebut, masing-masing mendapat perak dan gangsa.
Dalam aksi saringan pada sebelah pagi semalam, Khairul sekadar melakukan catatan masa 10.46s yang sudah cukup untuknya layak ke final.
Lariannya pada perlumbaan akhir itu ternyata berbeza apabila melakukan permulaan yang kemas dan pada pertengahan saingan, langkahnya semakin kemas untuk terus memecut tanpa dapat dicabar sehingga ke garisan penamat.
“Saya langsung tak jangka dapat pecahkan rekod (kebangsaan). Saya hanya berlari untuk mengejar masa, pencapaian ini memang tak pernah saya sangka.
“Gembira, memang gembira sebab rekod kebangsaan berusia 18 tahun sudah saya atasi,” ujar atlet Melaka tersebut ketika ditemui pemberita sejurus selepas pihak teknikal Sukma mengeluarkan catatan rasmi bagi acara berkenaan.
Ditanya mengenai faktor yang mendorongnya untuk melakukan catatan di luar jangkaan, Khairul berkata, beliau tidak pernah melupakan kewajipan mendirikan solat.
“Solat adalah kekuatan. Menghormati ibu bapa, jurulatih dan orang yang lebih tua juga menjadikan saya tidak berasa tertekan.
“Badrul juga antara pendorong terhadap keinginan saya untuk mencapai kejayaan. Dia banyak memberi dorongan kepada saya untuk buat yang terbaik. Saya anggap dia seperti abang kandung sendiri,” tambah pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor itu lagi.
Pada bulan Jun lalu, Khairul turut melakar nama selaku raja pecut Remaja Asia apabila meraih pingat emas acara 100m dengan catatan 10.36s pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2016 di Vietnam.
Dia juga merupakan satu-satunya wakil negara yang berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir acara 100m pada kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland minggu lalu dengan catatan masa 10.58s.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4FiWtRQvD Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan