Rabu, 27 Julai 2016

Dr. Anuwar dilantik Naib Canselor UKM

ARKIB : 06/03/1998
KUALA LUMPUR 5 Mac. - Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, Profesor Datuk Dr. Anuwar Ali, 52, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ketujuh, berkuatkuasa 1 Mei depan.

Dr. Anuwar, pakar ekonomi dengan pengkhususan dalam bidang polisi pembangunan industri menggantikan Profesor Datuk Mohd. Sham Sani yang akan bersara wajib pada 31 Mac ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, buat sementara waktu, Timbalan Naib Canselor (Akademik) UKM, Profesor Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid akan memangku jawatan naib canselor sehingga 30 April.

Ini bagi membolehkan Dr. Anuwar menyelesaikan tugas-tugas rasmi beliau ketika ini sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, yang disandangnya sejak Oktober 1995.

Najib yang menyifatkan pelantikan Dr. Anuwar sebagai satu kenaikan pangkat berkata, Dr. Anuwar, yang memiliki reputasi sebagai pakar ekonomi dan pentadbir yang cekap mampu mempergiatkan lagi usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Dr. Sham untuk meletakkan UKM sebagai salah sebuah universiti cemerlang di rantau ini.

''Mengenai kedudukan Dr. Sham, saya percaya beliau akan terus memberi sumbangan kepada dunia pendidikan dalam kapasiti yang sesuai memandangkan beliau (Dr. Sham) merupakan seorang pakar terkemuka menangani isu alam sekitar khususnya pencemaran udara,'' kata beliau di pejabatnya di sini hari ini.

Dr. Anuwar, anak kelahiran Jasin, Melaka memperolehi ijazah B.Sc. (Ekonomi) daripada Queen's University of Belfast pada 1970, Sarjana Ekonomi (Leicester of University) pada 1975 dan Doktor Falsafah (PhD) daripada University of Kent (1982).

Bapa kepada tiga orang anak ini memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Industri di Kementerian Perdagangan dan Industri pada Julai 1970.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi UKM pada Ogos 1983 hingga Mei 1984; Ketua Jabatan Pembangunan dan Perancangan (Jun 1984); Dekan Fakulti Ekonomi (April 1993) dan Timbalan Naib Canselor (Akademik) UKM (April 1994).

Dr. Anuwar turut diberi penghormatan oleh Pertubuhan Pembangunan Industri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan dilantik menganggotai jawatankuasa bagi merangka pelan induk perindustrian Malaysia (1986 hingga 1995).

Beliau, yang telah menghasilkan lima buku dan 70 makalah yang terbit dalam pelbagai jurnal dan prosiding merupakan penasihat dasar pembangunan industri kepada Kerajaan Bhutan pada 1991.

Beliau juga dilantik sebagai perunding oleh Pusat Pembangunan Asia Pasifik (APDC) untuk merangka peluang pelaburan di negara-negara Asia dan Pasifik.

Dr. Anuwar ketika ditemui berkata, beliau berazam memperbaiki dan mengukuhkan program-program lepasan ijazah universiti tempatan, sebagai alternatif berkesan menangani pengaliran keluar pelajar menuntut di luar negara.

Menurut beliau, mekanisme dari segi penyeliaan pelajar program lepasan ijazah tempatan perlu diperkuatkan kerana hasil penelitian oleh naib-naib canselor universiti negara ini bersama Kementerian Pendidikan mendapati output dalam program pengajian itu kurang memberangsangkan.

''Matlamat untuk memperbaiki program lepasan ijazah bukan sahaja akan diamalkan di UKM malah akan diikuti oleh semua universiti tempatan supaya tenaga akademik dan pelajar yang dihasilkan dalam program ini boleh memperolehi ijazah dalam masa yang sesuai,'' katanya.

Menurut Dr. Anuwar, matlamat utamanya apabila memulakan tugas kelak ialah memupuk potensi tenaga akademik UKM daripada bidang pengajaran dan pembelajaran kepada aspek penyelidikan melalui penghasilan bahan penerbitan bermutu tinggi.

''Budaya penyelidikan ini sebenarnya telah lama disemai di bawah pentadbiran Dr. Sham tetapi ia boleh dipertingkatkan, lebih-lebih lagi selaras dengan keperluan negara untuk menghasilkan penerbitan yang baik dan bermutu dalam bahasa Melayu dan semua bahasa yang diterima pakai,'' katanya.

Beliau yang berharap terus mendapat sokongan daripada tenaga akademik dan pelajar UKM, yakin universiti itu mampu menjana program-program baru mengikut keperluan semasa dan mengeluarkan graduan yang kompetitif, berdaya saing dan mempunyai budaya yang baik apabila menamatkan pengajian kelak.

''UKM yang berkembang sejak 25 tahun lalu mempunyai tenaga akademik yang baik. Harapan saya ialah memupuk potensi itu dan saya percaya apa yang dibuat oleh Dr. Sham dalam beberapa tahun lalu, melalui program-program akademik yang diwujudkan boleh dianggap sebagai satu landasan yang betul,'' katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4Fd49KinT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan