Sabtu, 23 Julai 2016

Universiti pertama guna kad pintar

ARKIB : 09/01/1998
UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti pertama di negara ini menggunakan kad pintar tanpa lekap (contactless) untuk semua pelajar dan kakitangannya.

Kad itu akan menjadi kad pengenalan kakitangan dan pelajar.

Ia mengandungi maklumat seperti nama, alamat, jawatan, nombor pengenalan diri dan nombor kad pengenalan.

UUM, dalam buletin Mutakhirnya baru-baru ini memaklumkan bahawa kad ini mempunyai ciri-ciri yang boleh digunakan untuk kawalan keluar masuk kampus, pejabat mahupun premis dalam kampus.

Sesuai dengan ciri-ciri ini, ia boleh digunakan untuk merakam waktu bekerja yang membolehkan ketua jabatan atau dekan memantau keluar masuk kakitangan melalui komputer di mejanya.

Pihak Jabatan Keselamatan UUM pula boleh menggunakan kad ini untuk mengawal keluar masuk orang yang tidak dikenali di premis-premis terkawal di dalam kampus.

Penggunaan kad pintar itu juga dijangka akan memudahkan urusan kakitangan dengan jabatan lain di dalam UUM.

Ia juga berguna untuk proses peminjaman dan pemulangan bahan-bahan perpustakaan dan ini akan mempercepatkan proses tersebut berbanding kad perpustakaan yang digunakan sebelum ini.

Di samping itu, kad ini juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan UUM kerana ia juga mengandungi maklumat kesihatan bagi rujukan doktor.

Perlaksanaan kad ini bermula dengan kad matrik pelajar pada semester Disember 1995 dan kemudiannya dikembangkan kepada semua pelajar pada tahun berikutnya dan kepada kakitangan pada tahun lalu.

Penggunaan kad pintar untuk kakitangan ini adalah sebagai menggantikan kad pekerja yang telah digunakan sejak penubuhan universiti pada tahun 1984.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_06.htm#ixzz4FDwKGkNR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan