Jumaat, 29 Julai 2016

Lenggong bandar kecil bersejarah

RKIB : 01/04/1998
Lenggong bandar kecil bersejarah
Daerah kecil Lenggong terbentang dari utara, iaitu dari Kenering yang terletak 25 kilometer dari pekan Lenggong, sehingga ke Pulau Kemiri di selatan, yang juga terletak kira-kira 25 kilometer dari pekan Lenggong. Jarak sejauh 50 kilometer itu adalah mengikut jalan raya yang bengkang bengkok.

Lenggong juga dikelilingi oleh banjaran gunung yang indah pemandangannya. Sesekali kita dapat melihat kabus tebal menutup puncak banjarannya. Jika menaiki kereta dari Kuala Kangsar, satu-satunya jalan raya dari bahagian selatan, akan kelihatan Banjaran Gunung Bintang di sebelah kiri jalan.

Gunung Bintang merupakan puncak tertinggi di banjaran tersebut. Tinggi puncak gunung tersebut melebihi 1,860 meter. Di sebelah kanan, terdapat pula Banjaran Gunung Titiwangsa yang agak jauh ke timur letaknya. Dari banjaran ini mengalir Sungai Perak.

Kerana dilingkungi oleh banjaran gunung itulah daerah kecil ini dinamakan 'Lenggong', yang berasal daripada perkataan 'lengkung'. Lengkung bermakna kawasan yang dilingkungi banjaran gunung. Akhirnya perkataan itu disebut 'Lenggong' oleh orang luar, terutamanya orang Siam yang datang dari utara.

Terdapat juga cerita lisan yang menyatakan perkataan 'Lenggong' disebut oleh orang putih yang masuk ke daerah Lenggong pada zaman awal penjajahan Inggeris di Perak. Orang putih sukar menyebut 'lengkung'.

Kerana pelat, orang putih menyebut 'lengkung' sebagai 'Lenggong'. Inilah cerita tentang asal usul 'Lenggong'.

Ada satu cerita lain pula, kononnya terdapat kayu yang terselit di celah batang sebuah pokok besar.

Kedudukan batang kayu yang terpanggung itulah bermulanya perkataan 'lengkung', kemudian disebut 'Lenggong'. Sebagai mengingati perkara itu, satu replika kedudukan kayu itu dibuat di Taman Rekreasi Kg. Raban dekat Lenggong.

Di daerah kecil Lenggong ini terdapat ratusan kampung Melayu tradisional. Ada kampung yang terletak di sepanjang tebing Sungai Perak. Ada pula di sepanjang jalan raya, bermula dari Kampung Pulau Kemiri di selatan hinggalah ke Kampung Sumputan di sebelah utara.

Saya hanya ingat beberapa buah kampung yang terletak di sepanjang tebing Sungai Perak, seperti Kampung Bukit Sapi, Chepor, Kampung Beng, Kampung Luat dan Kampung Temelong.

Di sepanjang jalan raya, beberapa kampung yang mempunyai ramai penduduk ialah Kampung Chain, Kampung Kota Tampan, Kampung Changkat Berangan, Kampung Banggul Belimbing, Kampung Gelok, Kampung Sekolah Lama (atau disebut juga Kampung Masjid Lama), Kampung Kubang Jambu, Kampung Senerelai, Kampung Sira, Kampung Telok Batu, Kampung Labit, Kampung Kota, Kampung Bukit Nangka, Kampung Lohor, Kampung Tasik, Kampung Hulu Lenggong, Kampung Hulu Jepai, Kampung Sumpitan dan kampung-kampung lain.

Kampung Masjid tempat saya dilahirkan mempunyai sejarah yang tersendiri. Di kampung inilah masjid pertama di daerah kecil Lenggong didirikan. Dikatakan masjid itu didirikan pada pertengahan abad ke-19 oleh sekumpulan orang Melayu dari Patani, di Selatan Thailand. Mereka datang ke kampung saya kerana berundur daripada serangan kerajaan Siam.

Kampung Masjid juga dikenali Kampung Sekolah, kerana di kampung inilah juga sekolah Melayu pertama didirikan, iaitu pada tahun 1880. Di sekolah inilah orang tua saya mula dididik pada 1916.

Ketika Inggeris mula-mula menjajah Perak, Kampung Masjid menjadi pusat pentadbiran daerah kecil Lenggong. Sebab itulah Kampung Masjid Lama Lenggong dipilih bagi didirikan Sekolah Melayu pertama dan masjid pertama. Di kampung ini juga didirikan rumah kadi daerah Lenggong. Kadi Lenggong pada zaman Inggeris, Haji Hashim, pernah tinggal di rumah kadi yang terletak berhadapan Sekolah Melayu Lenggong. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Sufian Hashim, anak Haji Hashim, pernah tinggal di rumah tersebut semasa kecil.

Berdekatan dengan rumah saya ada gunung kecil, iaitu gunung Tasik dan Gunung Gajah. Tidak jauh dari kedua-dua gunung itu, terdapat pula banjaran gunung yang bersambung dengan Banjaran Gunung Bintang.

Semua penduduk kampung tahu bahawa gunung kecil di belakang rumah saya yang terletak kira-kira 300 meter dari ruang dapur rumah mempunyai gua yang boleh dimasuki. Di pintu selebar kira-kira tiga meter lebih terdapat pula sebuah batu sebesar badan kerbau yang terbujur ke luar dari dindingnya.

Pada zaman dahulu kala, menurut cerita orang tua kampung saya, batu itu dianggap keramat. Sesiapa sahaja yang mempunyai hajat dan memohon kepada batu itu, seperti meminjam pinggan mangkuk dan kuali, biasanya hajatnya akan dipenuhi.

Kononnya, menurut orang kampung saya lagi, kerana ada orang yang meminjam tidak memulangkan apa yang dipinjamkan, lama kelamaan batu yang dianggap keramat itu tidak dapat memenuhi permintaan yang dipohon kepadanya.

Tidak jauh dari Gua Tasik, terdapat pula gua Gunung Runtuh. Padanya terdapat dinding batu yang sentiasa retak dan runtuh, lalu orang kampung menamakannya sebagai 'Gunung Runtuh'. Profesor Datuk Siti Zarina Abdul Majid, seorang pakar kaji purba (Arkeologi) dari USM, Pulau Pinang pernah membuat kajian di gua Gunung Runtuh. Khabarnya satu rangka manusia telah ditemui di situ.

Di Banjaran Gunung Gajah, terdapat banyak pokok paku aji yang agak ganjil kerana tumbuh di celah-celah batu dan tidak pula tumbang ketika hujan lebat. Ada orang kampung mencari rezeki di gunung tersebut dengan mengambil pokok paku aji untuk dijual. Pokok paku aji yang tingginya tidak lebih satu atau dua meter dijual dengan harga antara RM100.00 hingga RM300.00 sebatang.

Menurut cerita pencari pokok paku aji, kebanyakan pembeli datang dari Kuala Lumpur. Mereka berminat dengan pokok yang rupa daunnya semacam pokok paku, dan batangnya seperti batang kelapa. Tumbuhan ini ada juga ditanam di beberapa buah taman di Kuala Lumpur, Ipoh, dan Pulau Pinang. Barangkali tempat asalnya ialah di Gunung Gajah.

Banjaran Gunung Bintang terletak sekitar tiga empat kilometer dari rumah saya. Sewaktu bersekolah, saya menatapi banjaran itu dengan penuh perasaan. Pada waktu pagi, puncak banjaran itu sentiasa diselaputi kabus. Jika terdapat kabus, minyak nyiur yang digunakan oleh emak saya untuk menggoreng ikan menjadi beku. Kabus dari banjaran yang sejauh itu sampai juga ke kampung saya.

Ramai penduduk kampung dan orang luar yang datang ke Lenggong mengetahui tentang beberapa buah gunung kecil yang bersambung dengan Banjaran Bintang. Agak jauh sedikit dari Gunung Tasik dan Gunung Gajah, ada beberapa buah gua yang bersejarah. Ahli-ahli sejarah dan kaji purba amat tertarik dengan Gua Gendang, Gua Badak, Gua Puteri, Gua Kajang, Gua harimau, Gua Ular, Gua Tukang dan puluhan gua lagi yang terdapat di sekitar rumah saya.

Saya masih ingat, beberapa pakar arkeologi dari Barat pernah datang mengkaji gua tersebut. Kononnya, gua tersebut tempat tinggal manusia zaman purba.

Bukan Orang Putih sahaja datang mengkaji gua tersebut, bahkan para penyelidik tempatan pernah juga datang membuat kajian. Gua Puteri dan Gua Kajang yang jauhnya kira-kira dua kilometer dari kampung kelahiran saya sangat istimewa bagi penduduk kampung. Kononnya pada zaman dahulu Gua Puteri ialah sebuah dewan istana yang sangat indah dengan segala macam perhiasan.

Menurut cerita lisan yang tersebar luas di kalangan ahli masyarakat kampung saya pada masa dahulu ada seorang yang sangat masin mulutnya, bernama 'Sang Kelembai'. Jika dia menegur sesuatu pastinya yang ditegur itu akan menjadi batu.

Kononnya pada suatu hari Sang Kelembai sampai ke istana raja. Ketika itu upacara perkahwinan seorang puteri raja sedang berlangsung. Semasa puteri raja sedang bersanding di atas pelamin Sang Kelembai tiba serta menegur puteri raja yang sedang bersanding itu.

Serta merta puteri raja dan suaminya bertukar menjadi batu. Hingga sekarang lembaga puteri bersanding dalam istana itu masih ada di dalam gua yang sekarang dipanggil Gua Puteri.

Gua Puteri itu selalu saya lawati. Lembaga atau tuan puteri yang sedang bersanding itu telah dirosakkan oleh pelawat yang tidak bertanggungjawab. Sebahagian hidung, telinga, tangan dan jari kaki telah dipatah-patahkan.

Berhampiran Gua Puteri itu terdapat sebuah lagi gua, iaitu Gua Kajang. Menurut orang tua saya, mulut gua itu menjadi tempat kami sekeluarga berlindung semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Gua ini tidaklah begitu besar. Namun gua tersebut juga menjadi tapak kajian purba oleh Profesor Datuk Dr. Siti Zarina Abdul Majid.

Beliau menemui bermacam-macam artifak seperti kapak batu, periuk, belanga dan berbagai-bagai lagi.

Terdapat beberapa gua lagi yang ada hubung kait dengan zaman purba. Sebuah gua yang terletak jauh sedikit dari kampung ialah gua Lognai. Letaknya kira-kira 25 kilometer ke utara dari kampung saya. Menurut cerita orang kampung, Sang Kelembai terkurung di dalam gua itu dan tidak dapat keluar kerana pintu gua sekonyong-konyong tertutup oleh seketul batu besar.

Dekat rumah saya terdapat sebuah tasik yang terletak di kaki Gunung Tasik. Orang tua saya pernah mengatakan kepada saya bahawa tasik kecil di belakang rumah itu banyak menyimpan legenda. Selain beberapa jenis ikan yang tidak terdapat di tempat lain, di dalam tasik itu juga terbenam pinggan mangkuk dan barangan antik. Artifak itu ada yang dibuang oleh orang tertentu atas sebab tertentu pula.

Orang tua saya juga pernah menceritakan kepada saya sewaktu tentera Jepun masuk ke Hulu Perak, ramai orang kampung lari ke hutan. Ada yang bersembunyi di dalam gua, termasuk keluarga saya yang berlindung di Gua Kajang.

Seorang pegawai Melayu yang bekerja di Pejabat Tanah Lenggong, daripada keluarga Diraja Perak, terpaksa meninggalkan rumah sewanya yang terletak berdekatan dengan masjid lama Lenggong.

Pemilik rumah tersebut ialah Haji Hamid yang sudah lama bermastautin di Mekah. Beberapa orang pencuri memasuki rumah yang ditinggalkan itu. Mereka mencuri pinggan mangkuk dan perkakas rumah milik keluarga Diraja tersebut. Pinggan mangkuk tersebut semuanya ada lambang diraja Perak.

Atas beberapa sebab tertentu, pencuri tersebut membuang segala pinggan mangkuk yang dicuri itu ke dalam tasik. Orang tua saya melihat sendiri bagaimana pencuri tersebut membaling satu demi satu pinggan mangkuk ke dalam tasik. Tentulah segala khazanah antik itu masih tersembunyi di dasar tasik tersebut.

Tetapi orang tua saya juga memberitahu bahawa di dasar tasik itu terdapat banyak banyak bom tangan dan segala macam peluru, senapang yang dibuang oleh tentera Jepun sebelum menyerah diri pada 1945.

Berhampiran kampung saya, ada sebuah kampung, Kampung Jambu. Jauhnya kira-kira satu kilometer dari rumah kelahiran saya. Kampung Kubang Jambu ialah tempat moyang dan datuk sebelah ibu saya bermastautin.

Di Kampung Kubang Jambu juga terdapat sebuah tasik. Di dalamnya tumbuh sejenis pokok yang kayunya lembut dan boleh dibuat penyumbat (tutup botol). Orang kampung menamakannya pokok jambu laya. Daripada nama pokok itulah tasik tersebut diberi nama Kubang Jambu, tanpa disebut tasik. Mengapa demikian halnya tidaklah pula saya ketahui dengan jelas.

Nama 'kubang' lebih sesuai kerana banyak kerbau yang berkubang di situ ketika panas terik. Kubang yang luas kira-kira satu ekar dan dipenuhi pokok jambu itu ada penumpangnya, iaitu sejenis ikan yang panjangnya sampai dua meter. Orang kampung menyebutnya ikan limbat, tetapi bukan seperti ikan limbat yang pernah saya lihat di pasar pekan Semenyih, Selangor.

Saya pernah mengail ikan di Kubang Jambu. Rupanya seperti ikan keli sebesar lengan dan ada yang panjang hampir 1 1/2 meter. Ikan ini suka menggigit.

Jadi saya berhati-hati apabila kail mengena ikan berwarna kuning seperti ular tedung selar itu. Orang kampung tidak makan ikan yang serupa ular itu. Kata mereka, haiwan tasik makan bangkai ayam yang dibuang ke dalam tasik.

Air Kubang Jambu tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau. Kononnya Kubang Jambu adalah milik sekeluarga Orang Bunian. Menurut seorang penduduk yang tinggal hampir tasik tersebut, dia sering melihat Orang Bunian mandi di tasik itu. Saya anggap cerita tersebut cerita rakyat zaman dahulu kala.

Oleh: N.A HALIM

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4FqGjHGWw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan