ARKIB : 13/02/1998
Fandi Ahmad gantung but
FANDI AHMAD
BINTANG bola sepak Singapura,
Fandi Ahmad akhirnya membuat keputusan untuk bersara daripada arena bola sepak
antarabangsa.
Keputusan yang dianggap sudah
dijangkakan itu diumumkan oleh pemain yang pernah beraksi dengan pasukan
bolasepak Kuala Lumpur itu, dalam temuramah dengan stesen televisyen Premier
12, semalam, lapor ZULKIFLEE BAKAR.
Mengulas lebih lanjut
keputusannya, Fandi berkata, beliau berpendapat sudah tiba masanya untuk beliau
mengakhiri penglibatannya dengan skuad Temasik tersebut.
''Sebenarnya keputusan ini
tidak ada kaitan dengan tahap persembahan saya yang dikatakan merosot sejak
akhir-akhir ini,'' kata pemain berusia 35 tahun itu.
Sebaliknya, kata beliau,
rancangan untuk bersara pernah disuarakan kepada rakan sekelabnya dalam Geylang
United FC, Kadir Yahaya dua tahun lalu.
Selain itu, sekembalinya dari
Sukan SEA yang lalu, Fandi juga telah membayangkan kepada sebuah media di
Singapura bahawa sukan yang berlangsung dua tahun sekali itu adalah Sukan SEA
yang terakhir baginya.
Di samping melahirkan rasa
senang dengan sokongan media massa yang telah membantunya meningkatkan nama dan
permainannya di peringkat antarabangsa, Fandi juga turut melahirkan rasa kesal
dengan sesetengah kritikan yang dianggap bersifat peribadi dan tidak mempunyai
kaitan dengan bola sepak.
Dengan nada kesal Fandi
berkata, ''Saya sering menjadi sasaran komen pedas andainya ada pihak akhbar
yang gagal mendapatkan berita-berita eksklusif daripada saya...ini merupakan
satu tindakan yang cukup menyakitkan.''
Bagaimanapun, sebagai seorang
pemain yang sering ditonjolkan selaku pemain contoh kepada pemain-pemain muda
lain, Fandi tidak mahu mendabik dada dengan segala sumbangan yang telah
dicurahkan untuk Singapura selama ini.
''Segala kemahiran dan
kelebihan yang ada pada saya adalah pemberian Allah. Saya hanya mahu
mencurahkan dan berkongsi kemahiran dan kelebihan itu sedaya upaya saya,''
katanya.
Mengulas masa depan kerjayanya,
Fandi berkata,''saya akan melihat dengan lebih dekat peluang saya. Seandainya
saya dapati penglibatan dengan bola sepak lebih baik jika dibandingkan
sekiranya saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan, maka saya akan terus
melibatkan diri dengan bola sepak.''
Dalam pada itu, Fandi juga
menyatakan beliau akan mengambil kursus kejurulatihan bola sepak lesen 'A'
anjuran Gabungan Bola sepak Asia (AFC) bagi mempersiapkan diri andainya tenaga
beliau diperlukan bagi melatih pemain-pmain di peringkat nasional.
Fandi turut mendedahkan beliau
telah menerima beberapa tawaran untuk menjadi jurulatih.
''Bagaimanapun buat masa ini,
saya perlu menumpukan perhatian dalam satu bidang pada suatu masa,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FVQA25b2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan