ARKIB : 23/02/1998
KUALA LUMPUR 22 Feb. -
Kementerian Penerangan mengarahkan Pusat Penyiaran Asia (Astro) supaya
menghentikan program luar negara, terutama berunsur negatif yang boleh
menjejaskan pemikiran dan budaya penduduk di negara ini.
Timbalan Menteri Penerangan,
Datuk Drs. Suleiman Mohamed berkata, kementeriannya akan bertindak segera
sekiranya dakwaan bahawa stesen televisyen satelit pertama itu menyiarkan
program-program yang kurang sihat kepada para penonton.
''Lesen penyiaran yang sudah
diberi kepada stesen televisyen satelit itu tidak boleh ditarik balik kerana
kita menimbang perbelanjaan yang sudah dikeluarkan oleh mereka sepanjang
operasinya,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian
kepada para pemberita selepas merasmikan Pusat Bahasa Inggeris Perdana Corna
Sdn. Bhd. di Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini.
Suleiman mengulas kenyataan
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang meminta
Kementerian Penerangan meneliti semula pemberian lesen kepada Astro ekoran tiga
salurannya menyiarkan program yang berunsur negatif.
Ahmad Zahid yang juga Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO mendakwa tiga saluran berkenaan Astro Ria, Vaanavil dan
Wah Lai Toi kini menyiarkan program-program asing yang mempunyai elemen negatif
yang dikhuatiri boleh mempengaruhi minda terhadap penonton.
Menurut Suleiman, Kementerian
Penerangan akan mengkaji terlebih dahulu mengenai dakwaan tersebut sebelum
sebarang tindakan diambil ke atas Astro.
''Penyiaran rancangan
antarabangsa yang melebihi had yang ditetapkan adalah tidak digalakkan sama
sekali tetapi jika didapati Astro melanggar garis panduan tersebut, pihak
kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,'' katanya.
Suleiman berkata, tindakan tersebut
bertepatan dengan kegawatan ekonomi yang dihadapi negara ketika ini.
''Walaupun bayaran untuk
rancangan antarabangsa lebih murah berbanding tempatan tetapi setakat ini lebih
kurang RM2 juta telah disalurkan ke luar negara,'' katanya.
Tambah beliau, Astro sepatutnya
memperbanyakkan rancangan dalam negeri sebagai usaha mempromosikan negara di
peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau juga
meminta syarikat-syarikat penerbitan tempatan supaya bergabung bagi
mengurangkan kos operasi khususnya ketika krisis ekonomi sekarang.
''Langkah ini amat berguna
sekali dalam usaha membantu memulihkan kembali kegawatan ekonomi yang dihadapi
sebagai langkah berjimat cermat,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_08.htm#ixzz4Fb0L8ZQJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan