ARKIB : 16/01/1998
KATA 'Nuzul al-Quran' mempunyai
dua makna (1). Turunnya al-Quran dari Lauh al-Mahfuzh ke suatu tempat yang
bernama Bait al-'Izzah. (2) Dari Bait al-'Izzah kepada Rasulullah s.a.w.
Berdasarkan kepada sebuah hadis
yang dikeluarkan oleh al-Hakim, al-Baihaqiy, an-Nasai, bahawa al-Quran
diturunkan dari Lauh al-Mahfuzh ke Bait al-'Izzah pada malam lailatulqadar,
iaitu suatu malam yang menurut surah al-Qadr ayat 2-5 di antaranya mengandungi
empat keistimewaan. (1) Pada malam itu al-Quran diturunkan. (2) Malam itu lebih
baik daripada 1,000 bulan (lebih kurang 83 tahun). (3) Pada malam itu para
melaikat dan roh-roh turun ke muka bumi, mengucapkan selamat dan sejahtera kepada
orang-orang yang beriman. (4) Malam tersebut adalah malam yang penuh dengan
kesejahteraan.
Tentang bila waktu terjadinya
lailatulqadar, majoriti 'ulama' berpendapat bahawa ia terjadi pada salah satu
malam daripada malam-malam ganjil setelah Ramadan yang ke-20 iaitu pada 21, 23,
25, 27 dan 29.
Imam Syafii misalnya lebih
menekankan malam yang ke-21 dan 23 lailatulqadar memang merupakan suatu malam
yang dirahsiakan oleh Allah s.w.t. agar kita lebih giat beribadah pada
malam-malam 10 yang terakhir daripada bulan Ramadan, yang mana pada waktu-waktu
tersebut semangat ibadah lazimnya telah berkurangan dikeranakan perhatian yang
tidak lagi sepenuhnya tertumpu kepada ibadah puasa.
Tentang turunnya al-Quran
pertama kali kepada Rasulullah, menurut kebanyakan para ulama seperti Ibn
Ishak, Thabari dan al-Qashthalani, terjadi pada 17 Ramadan.
Yang tidak ada perbezaan
pandangan padanya ialah bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, kerana
al-Quran menegaskan demikian (al-Baqarah: 85).
Al-Quran diturunkan Allah
adalah untuk menjadi ''petunjuk'' (hudan) bagi orang-orang yang bertakwa
(al-Baqarah: 2) sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan
daripada petunjuk itu dan pembeza antara yang benar dan yang salah (yang hak
dan yang batil) (al-Baqarah: 85). Untuk mengeluarkan manusia daripada kesesatan
kepada kebenaran (Ibrahim: I). Untuk menjadi ubat (syifa') dan juga rahmat bagi
orang-orang yang beriman (al-Isra': 82). Dan untuk tujuan-tujuan lainnya.
Begitu juga surah al-Maidah
ayat 3 diwahyukan kepada Rasulullah sebagai ayat yang terakhir sekali
diturunkan. Al-Quran telah menetapkan aturan-aturan umum pada suatu aspek
kehidupan, untuk menjadi 'petunjuk' bagi manusia, agar mereka terkeluar
daripada kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang. Aturan-aturan tersebut
meliputi: Apabila (hal-hal yang berhubung kait dengan keimanan), ibadah
(hal-hal ayng berkaitan dengan perkara-perkara pengabdian diri kepada Allah),
muamalah (hal-hal yang berkenaan dengan perkara-perkara hubungan manusia dengan
manusia dan makhluk-makhluk lainnya).
Aturan-aturan umum yang telah
ditetapkan oleh al-Quran tersebut kemudian dijelaskan oleh sunah Rasulullah.
Adapun perkara-perkara yang tidak diperbincangkan oleh al-Quran secara jelas,
Rasulullah memberi penjelasan tentangnya. Mengenai hal-hal yang al-Quran dan
assunah berdiam diri tentangnya, maka perkara itu diserahkan kepada akal
manusia (ijtihad) untuk mencari penyelesaian dengan sentiasa berpegang teguh
kepada prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh al-Quran dan as-sunah
(al-Quran: 59).
Al-Quran memang tidak ada keraguan
padanya, baik keasliannya mahupun kandungannya. Hal ini di antaranya kepada
firman Allah ''fKitab itu tidak ada keraguan padanya''(al-Baqarah: 2) dan
Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya.
(Al-Hijr: 9).
Kemurnian al-Quran daripada
kepalsuan dan kata-kata manusia telah dibuktikan dengan alasan-alasan yang
kuat, di antaranya adalah (1) Rasulullah adalah seorang yang ummi (tidak tahu
tulis baca). (2) Di masa Rasulullah, banyak para sahabat yang menghafal
al-Quran di samping juga menuliskannya di pelbagai tempat, seperti
pelepah-pelepah kurma, tulang-tulang, kayu-kayu, daun-daun dan lain-lain. Di
masa khalifah yang pertama, Abu Bakar, setelah terjadinya peperangan Yamamah
yang menyebabkan banyak penghafal al-Quran terkorban (syahid), 'Umar Ibn Khatab
memberi usulan kepada Abu Bakar agar al-Quran yang tercatat di pelbagai tempat
tersebut disalin ke dalam satu musyhaf. Abu Bakar setuju dengan usulan tersebut
dan dimintanya salah seorang sahabat Nabi, Zaid bin Tasbit untuk melaksanakan
tugas tersebut. Musyhaf tersebut kemudian disimpan di rumah Abu Bakar, kemudian
di rumah 'Umar bin Khattab. Di masa Khalifah ketiga 'Utsman bin 'Affan diadakan
penulisan kembali untuk penyeragaman penulisan dan bacaan. Kemudian dari
sinilah seluruh al-Quran diperbanyak dan disebarkan ke seluruh dunia. Tidak ada
keraguan historis tentang kemurnian al-Quran.
Tentang kandungan al-Quran pula
telah diuji keagungannya daripada pelbagai disiplin ilmu. Kerana itu tidak
hairanlah jika George Benard Shaw, seorang pujangga Inggeris pernah mengusulkan
agar kerajaan Inggeris menganut ajaran al-Quran. Dan tidak merupakan sesuatu
yang aneh jika Monsieur David Forte mengatakan bahawa al-Quran merupakan
peraturan dasar kemasyarakatan yang dinamis, mengatasi semua peraturan yang ada
di muka bumi ini.
Yang jelas al-Quran mengatakan:
''Dan jika kamu tetap dalam
keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad),
barulah satu surah (sahaja) yang semisal al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu
selain Allah, jika kamu orang-orang yang memang benar'' (al-Baqarah: 23).
''Jika kamu tidak dapat membuat
(nya) dan pasti kamu tidak dapat membuat (nya) peliharalah dirimu dari neraka
yang bahan bakarnya manusia dan batu yang disediakan bagi orang-orang yang
kafir'' (al-Baqarah: 24).
Kesimpulannya, al-Quran tidak
ada keraguan padanya, dan ia adalah petunjuk bagi umat mansuia untuk
keselamatan mereka di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda yang maksudnya
''Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang kepada
keduanya, maka kamu tidak akan pernah tersesat, ialah Kitabullah dan Sunah
Rasulullah.''
Kerana itu, al-Quran mestilah
terus dibaca, kerana membaca sahaja pun menurut Rasulullah adalah ibadah, mesti
terus dipelajari kandungannya, diamalkan isinya serta sentiasa berupaya untuk
mewariskannya generasi-generasi berikutnya.
Kandungan sabda Rasulullah
s.a.w. berikut perlu untuk kita renungkan bersama:
Sesungguhnya rumah yang di
dalamnya dibaca al-Quran, lapanglah kehidupan penghuninya, banyak kebajikannya,
malaikat hadir dan setan-setan keluar melarikan diri dari rumah itu. Sebaliknya
rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya, sempitlah kehidupan penghuninya,
sedikit kebajikan, keluar malaikat dan hadir setan-setan di rumah tersebut.
Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda ''Hiasilah rumah kamu dengan bacaan
al-Quran.''
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4FPx89I9I
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan