Ahad, 17 Julai 2016

Penantian 52 tahun berakhir

SAIFUL HAIZAN HASAM  |  18 Julai 2016 12:22 AM

Pelumba basikal Denmark, Knud Enemark Jensen yang terjatuh dan meninggal dunia dalam acara 100km ujian masa berpasukan.

ROM sebenarnya telah di­pilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 1908 namun letusan gunung berapi Vesuvius menyebabkan kerajaan Itali menarik diri kerana terpaksa menggunakan peruntukan kewangan untuk tujuan pembangunan semula kawasan yang terjejas.
Peluang untuk menganjurkan temasya sukan terbesar dunia itu hanya diperoleh semula oleh Itali selepas 52 tahun iaitu pada 1960.
Menariknya, temasya itu menggabungkan unsur moden dan masa silam dalam aspek pemilihan venue pertandingan.
Banyak acara berlangsung di venue yang berusia ribuan tahun seperti gusti yang diadakan di Basilica, Massenzio di mana acara yang sama diadakan di zaman silam.
Gimnastik pula diadakan di Terme di Caracalla yang merupakan taman mandian awam atau spa dalam era silam.
Kemudahan moden turut dibina untuk mengimbangi elemen klasik iaitu seperti Stadio Olimpico yang merupakan kompleks acara padang dan trek.
Temasya berkenaan boleh ditakrif sebagai hampir bebas daripada isu politik yang pada masa itu kerap menjejaskan penganjuran Olimpik kecuali satu protes daripada Formosa (Taiwan).
Temasya Rom 1960 juga yang pertama disiarkan oleh televisyen di Amerika Syarikat (AS) secara rakaman selepas membeli hak penyiaran dengan harga AS$394,000.
Ia juga menjadi temasya terakhir buat Afrika Selatan sebelum tidak dibenarkan menyertainya selama 32 tahun. Negara itu ha­nya kembali ke Olimpik pada 1992 selepas dasar aparteid berakhir.
Antara insiden yang tidak diingini ialah kematian kedua atlet Olimpik (kematian pertama pada temasya 1912).
Ia membabitkan pelumba basikal lebuh raya Denmark, Knud Enemark Jensen yang terjatuh dalam acara 100km ujian masa berpasukan sehingga mengalami keretakan kepala.
Bedah siasat mendapati atlet berusia 23 tahun itu turut mengambil amphetamine dan raniacol. Laporan rasmi menyatakan kepanasan melampau menjadi punca kejadian itu.
Pengadilan acara renang gaya bebas 100 meter pula tercemar apabila atlet Australia, John Devitt dan Lance Larson (AS) menamatkan perlumbaan serentak.
Kebanyakan penonton, wartawan sukan dan para perenang sendiri percaya Larson memenangi perlumbaan itu namun tiga hakim memutuskan Devitt sebagai pemenang.
Walaupun catatan masa rasmi menunjukkan Larson lebih pantas, keputusan hakim dikekalkan.
Kejutan terbesar ialah apabila ‘dinasti’ AS dalam acara olahraga secara relatifnya sudah runtuh.
AS hanya menang sembilan emas dalam olahraga lelaki berbanding 15 sewaktu di Melbourne empat tahun sebelumnya.
Kegagalan terbesar AS ialah gagal memenangi acara 100 meter, 200 meter dan 4x100m berganti-ganti untuk kali pertama dalam sejarah Olimpik.
Secara keseluruhannya, Kesa­tuan Soviet sekali lagi menduduki tangga teratas pungutan pingat iaitu 103 dengan 43 daripadanya adalah emas. AS pula mengumpul 71 pingat dengan 34 daripadanya adalah emas.

-sumber-http://www.utusan.com.my/sukan/penantian-52-tahun-berakhir-1.354723#sthash.Pl8pOuLf.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan