ARKIB : 21/02/1998
SULTAN Selangor melawat ke
khemah masakan di Jambori Pengakap Selangor tidak lama dulu. - Gambar hiasan.
SIAPA pun tidak menyangka,
bermula dengan usaha Baden Powell mengumpulkan budak-budak terbiar dan melepak
kemudiannya mengadakan perkhemahan pertama di Pulau Brownsea (1907) berjaya
menarik minat kanak-kanak mendewasakan diri dan berdikari.
Tahun perkhemahan pertama itu
bermula Sejarah Pengakap Dunia yang dipelopori oleh Robert Stephenson Lord
Baden Powell of Gilwell (1857-1941) mudah disebut sebagai BP (Bapa Pengakap).
Sehingga hari ini pengakap
genap 91 tahun. Satu-satunya organisasi belia tertua di dunia.
Walaupun BP sudah meninggal
lebih setengah abad (1941) tetapi jasanya mendisiplinkan anak-anak melalui ilmu
pengakap tetap dikenang. Tarikh lahirnya (22 Februari 1857 telah dijadikan Hari
Pengakap di seluruh dunia.
Seluruh dunia mengakui dan
menerima ciri-ciri latihan dan kepimpinan pengakap. Dapat menyedar dan
membimbing seseorang untuk menjadi warga negara yang berguna.
Di Malaysia, pergerakan
pengakap mula wujud sejak 89 tahun lalu (1909). Kumpulan pertama ditubuhkan di
Sekolah Victoria Kuala Lumpur, kemudian diikuti Sekolah St John dan Methodist
Boys School.
Sementara Pandu Puteri, mula
diwujudkan di Selangor sekitar 1916. Kumpulan pertama oleh YMCA di Kuala
Lumpur.
Ternyata awal penubuhan
pengakap di Malaysia hanya di sekolah-sekolah Inggeris. Tahun 1920 baru
ditubuhkan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebagai mendorong anak-anak
Melayu menyertai pengakap.
Maktab Perguruan Sultan Idris
Tanjung Malim menubuhkan Kumpulan Latihan pertama. Guru-guru pelatih dari
seluruh Semenanjung, Singapura dan Brunei dibimbing menjadi pemimpin pengakap
di bawah kelolaan Allahyarham Mohd. Yusof Ahmad, Allahyarham Abdul Kudus
Mohamad dan Ahmad Murad Nasharuddin.
Hasil latihan ini,
pelajar-pelajar maktab tersebut menyibarkan ilmu pengakap ke sekolah-sekolah di
mana mereka ditugaskan mengajar. Berkembanglah pergerakan pengakap di
sekolah-sekolah Melayu sehingga pelusuk kampung.
Menjelang tahun-tahun mencapai
Kemerdekaan (1957) terdapat anggota pengakap di Semenanjung 42,000. Selepas
Merdeka kian bertambah. 1964 berjumlah 48,267. Dua tahun kemudian (1966)
58,000. Kini anggota pergerakan pengakap mencapi 300,000.
Malaysia berjaya mengadakan
Jambori Nasional (JAMNAS) sebagai 7 kali, Jambori pertama (1966) di Telok
Bahang, Pulau Pinang disertai 2,000 pengakap seluruh Malaysia. Sementara ke 7,
di Besut, Terengganu (Ogos 1997) disertai 17,000 pengakap dari Malaysia dan
negara-negara Asia Pasifik.
Pergerakan pengakap menyediakan
aktivitinya kepada budak-budak dari umur 8 tahun ke peringkat belia dengan
menitik-beratkan terhadap 4 konsep diluluskan Persidangan Pengakap se Dunia.
Pertama, Perkembangan
keperibadian, kedua, latihan kewarganegaraan, ketiga ,kemahiran untuk berdikari
dan keempat khidmat kepada masyarakat.
Mensesuaikan dengan peningkatan
belia 60 peratus di Malaysia, pengakap Malaysia menyediakan latihan ke arah
menjadi warga negara yang baik, berdisiplin dan sihat dengan menekankan 4
prinsip:
Setiap pengakap harus dapat
mengembangkan kebolehan yang sedia ada pada dirinya. Berdikari agar mendapat
halal bagi diri dan keluarga. Membekalkan pengalaman yang cukup agar dapat
membantu diri sendiri dan memberi sumbangan kepada orang lain.
Pengakap dilatih berjimat
cermat dan tidak membazir. Jadi, ternyata masalah kegawatan ekonomi negara
sekarang dengan mudah dapat diatasi oleh setiap anggota pengakap Malaysia.
Undang-undang pengakap ke 9, telah mendisiplinkan mereka berjimat dan tidak
boros.
Menjadi amalan pengakap
menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang-orang di bawahnya. Sama ada melalui
kegiatan peringkat kumpulan, daerah dan negeri.
Ada waktu-waktunya digalakkan
menyertai kegiatan antarabangsa, tidak sahaja melalui perkhemahan besar di
Jambori. Tetapi dapat melalui Jambori di Udara, Jamboree on the Air (JOTA).
Terkini tersedia pula Jamboree
on the Internet (JOTI) dapat digunakan melalui alamat: http://www.scout
org/joti.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4FZTdqWj1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan