Isnin, 25 Julai 2016

ITM lahirkan graduan sulung Sains Sukan

ARKIB : 15/01/1998
INSTITUT Teknologi Mara (ITM) akan mengeluarkan 30 graduan sulung yang mengikuti program Sarjana Sains Sukan sejak 17 bulan lalu apabila mereka tamat pengajian pada Februari nanti.

Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Datuk Dr. Sabree Salleh berkata, pengambilan kedua akan bermula dengan tamatnya kursus untuk kumpulan pertama tersebut dan permohonan kini dibuka untuk sesiapa yang berminat.

"Permohonan untuk pengambilan kedua masih terbuka.

"Mereka yang berminat serta mempunyai kelayakan boleh terus menghubungi fakulti untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut sebelum membuat permohonan terus kepada fakulti,'' katanya kepada Utusan Pendidikan baru-baru ini.

Menurut Dr. Sabree, ITM adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian Sarjana Sains Sukan di Malaysia dan ia dijalankan secara modular untuk tempoh pengajian selama 18 bulan.

Katanya, program Sarjana Sains Sukan sememangnya memberi peluang kepada bumiputera mendapat kelulusan dan kepakaran yang lebih tinggi di dalam bidang sains sukan selaras dengan kemajuan sukan tanah air.

"Program Sarjana Sains Sukan yang terulung di Malaysia itu sememangnya memberi peluang kepada bumiputera untuk menjadi tenaga pakar dalam pelbagai cabang sukan di tanah air yang sememangnya memerlukan kepakaran.

"Ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan tanah air selaras dengan perkembangan semasa,'' ujar beliau lagi.

Tambah Dr. Sabree, jangka masa program selama 18 bulan itu merangkumi 28 jam syarahan setiap mata pelajaran dan antara 26 jam hingga 56 jam secara tutorial untuk melengkapkan pengajian.

Program berkenaan merangkumi sembilan mata pelajaran termasuk Kaedah Penyelidikan di dalam Pentadbiran Sukan, Strategi Pentadbiran Sukan, Isu Semasa dalam Pentadbiran Sukan, Ujian Senaman dan Penilaian Kecergasan.

"Program itu juga turut menawarkan mata pelajaran. Peningkatan Psikologi Dalam Sukan, Isu-isu Sukan di Malaysia, Psikologi dan Pemakanan Untuk Program Sukan dan Projek Penyelidikan Akhir dalam Sains Sukan.

"Mereka juga juga dikehendaki memperuntukkan masa yang sama bagi kerja projek antara 54 jam hingga 84 jam sepanjang tempoh pengajian,'' katanya.

Pelajar akan dikenakan yuran sebanyak RM10,000 sepanjang tempoh pengajian untuk melengkapkan program sarjana berkenaan dan jumlah tersebut adalah lebih rendah jika dibandingkan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Untuk menampung yuran pengajian, bakal pelajar juga berpeluang untuk membuat pinjaman pengajian di beberapa buah bank tempatan termasuk sebuah cawangan di ITM dan Shah Alam.

Jelas Dr. Sabree, program berkenaan akan menggunakan tenaga pengajar yang didatangkan khas dari Universiti Staffordshire dan pensyarah-pensyarah berpengalaman di ITM. Ia sesuai untuk diikuti oleh guru-guru dan pensyarah pendidikan jasmani serta sains sukan, pegawai-pegawai Kementerian Belia dan Sukan, pengawai kelab-kelab sukan dan golf serta mereka yang terlibat dengan aktiviti berkaitan.

"Program Sarjana Sains Sukan yang dijalankan secara berkembar dengan Universiti Staffordshire, United Kingdom itu turut memberi peluang kepada mereka yang sedang bekerja untuk mengikutinya.

"Ia sememangnya memberi peluang cerah untuk graduan menggunakan kelulusan mereka dalam bidang sains sukan yang semakin penting di Malaysia,'' ujar beliau lagi.

Terdapat pelbagai kemudahan makmal sains sukan yang disediakan di fakulti berkenaan seperti Makmal Latihan Psikologi dan Biomekanik, Makmal Komputer dan Makmal Latihan Kekuatan yang serba lengkap dengan peralatan terkini untuk pelajar membuat penyelidikan.

Dr. Sabree menambah, kemudahan sukan di ITM Shah Alam adalah yang terbaik dan bertaraf antarabangsa serta pernah digunakan pada kejohanan sukan universiti ASEAN beberapa tahun lalu.

Kemudahan sukan dibahagikan kepada beberapa zon iaitu zon satu merangkumi stadium ITM, dua padang bola, trek sintetik, tempat duduk dan padang ragbi.

Zon kedua pula merangkumi dewan serbaguna, lapan gelanggang badminton, empat gelanggang bola keranjang, dua bola tampar, enam skuasy, empat sepat takraw, lima tenis, dua bola jaring dan padang pelbagai guna, bilik kuliah serta pejabat.

Sementara zon ketiga terdiri daripada stadium tertutup renang bersaiz Olimpik dengan kemudahan kantin, kedai pro, bilik solat serta trek joging.

Zon empat pula merangkumi satu padang hoki, enam gelanggang tenis, sepak takraw, bola jaring, bilik angkat berat, gelanggang bola keranjang, bola tampar, bilik aerobik serta empat gelanggang badminton.

Kemudahan e-mail untuk semua pelajar dan pensyarah juga disediakan termasuk kemudahan teknologi terkini di perpustakaan serta auditorium sidang video.

Sehubungan itu, Dr. Sabree memberitahu kepada calon yang berkelayakan menyertai program itu menghubungi talian 03-5563002 untuk maklumat lanjut.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_06.htm#ixzz4FPQH6a00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan