Jumaat, 15 Julai 2016

Pembaharuan di Amsterdam

SUSUNAN SAIFUL HAIZAN HASAM (SUKAN@UTUSAN.COM.MY)  |  12 Julai 2016 12:06 AM

AMSTERDAM akhirnya dipilih tuan rumah Olimpik selepas tiga kali membida.
Kejohanan pada 1928 itu bagaimanapun bermula dengan kontroversi apabila Permaisuri Belanda, Ratu Wilhelmina enggan menghadiri majlis pembukaan berikutan bantahan terhadap acara yang berlangsung pada hari Ahad.
Berikutan itu, kejohanan berkenaan dirasmikan oleh Putera Hendrik. Idea mengenai perkampungan sukan tidak re­levan dalam kejohanan tersebut kerana banyak pasukan menyediakan penginapan di dalam kapal mereka yang berlabuh di Pelabuhan Amsterdam.
Kejohanan itu terpahat dalam sejarah Olimpik sebagai yang pertama membenarkan wanita menyertai acara trek dan gimnastik artistik walaupun dibantah bapa Olimpik moden, Pierre de Coubertin yang tidak menghadiri Olimpik Amsterdam 1928 kerana uzur.
Sebelum ini, atlet wanita ha­nya dibenar menyertai acara tenis, golf, memanah, perahu layar, berenang dan lawan pedang.
Jerman yang kembali ke O­limpik selepas 16 tahun tidak menyertainya akibat Perang Dunia I dan sekatan 10 tahun berikutan penglibatan negara itu dalam konflik ber­kenaan turut meraih pingat acara 800 meter wanita menerusi Lina Radke-Batschauer.
Perlumbaan itu bagaimanapun tercemar kerana kebanyakan pesaingnya menamatkan larian dalam keadaan terlalu penat dan selepas itu wanita tidak dibenarkan menyertai acara larian sejauh itu sebelum dibenar semula dalam Olimpik 1960.
Amsterdam 1928 juga merupakan Olimpik pertama mene­rima tajaan Coca-Cola yang menyediakan kapal kargo untuk menghantar pasukan Amerika Syarikat (AS) dan 1,000 bekas minumannya ke Belanda.
Hubungan Jawatankuasa O­limpik Antarabangsa (IOC) dan Coca-Cola berterusan hingga hari ini.
Dalam aspek prestasi kejohanan, Olimpik 1928 menyaksikan tiada atlet tunggal yang berjaya mendominasi kejohanan.
Atlet legenda Finland, Paavo Nurmi umpamanya, kembali ke Olimpik dan berjaya meraih tiga lagi pingat, namun hanya satu yang berwarna emas.
Antara yang berjaya menonjol adalah atlet renang yang kemudiannya menjadi bintang filem Tarzan, Johnny Weissmuller dari AS yang juga kembali ke Olimpik dan sekali lagi memenangi dua pingat emas.

Sumber:http://www.utusan.com.my/sukan/pembaharuan-di-amsterdam 1.352167#sthash.dwzRFWSc.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan