Sabtu, 9 Julai 2016

SEMPENA 1998 DIISYTIHARKAN TAHUN LAUTAN -- Pemuliharaan ekosistem marin


 

ARKIB : 10/03/1998

INILAH tukun tiruan yang boleh memuliharakan semula ekosistem perairan negara kita.

TAHUN 1998 telah diisytiharkan ''Tahun Lautan'' oleh Badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ini kerana 75 peratus daripada planet bumi diliputi laut dan pengisytiharan ini sungguh bererti kerana ia memperingatkan manusia sejagat betapa pentingnya laut dan hubungan rapatnya dengan perkembangan tamadun manusia.

Dan pengisytiharan ini juga secara tidak langsung berpeluang memberi ingatan kepada manusia agar mengambil berat soal laut dari aspek fisikal dan biologikalnya serta pemuliharaan ekosistem yang berhubung kait dengan laut seperti ekosistem pantai, perairan bakau, rumput laut dan juga batu karang.

Bersempena 1998 sebagai ''Tahun Lautan'' (Year of the Ocean) yang diisytiharkan itu, Sektor Pembangunan dan Pengurusan Sumber Perikanan Marin Terengganu (MFRDMD), Jabatan Perikanan Malaysia telah mempertingkatkan aktiviti pemuliharaan ekosistem marin.

Pemuliharaan perlu diutamakan sejajar dengan pembangunan yang begitu pesat di dalam negara sekarang. Bagi menjamin ekosistem negara terpelihara, langkah-langkah perlu diambil bagi memastikan bahawa alam sekitar terus terjaga.

MFRDMD Terengganu, Jabatan Perikanan Malaysia, telah melaksanakan dua program utama berhubung pemuliharaan ekosistem. Kedua-dua program tersebut ialah;

* Penyelidikan ke arah baik-pulih kawasan karang yang telah rosak melalui program pertumbuhan semula karang.

* Pengawasan dan pemuliharaan organisma marin yang terancam iaitu kima melalui program pewujudan sebuah santuari.

Pembangunan yang pesat dalam negara bukan hanya berlaku di kota-kota besar bahkan ia juga tersebar luas di negara ini, merangkumi ekosistem teresterial seperti hutan hinggalah kepada ekosistem perairan seperti pulau-pulau peranginan negara.

Antara ekosistem perairan yang terdedah kepada pembangunan secara tidak langsung ialah batu karang.

Ekosistem karang hidup subur di kawasan perairan antara garis lintang 30 pi9036U dan 30 pi9036S. Perairan Asia Tenggara merupakan antara kawasan perairan marin yang kaya dengan hidupan dan tumbuhan karang.

Suhu airnya yang rata-rata di dalam 20 celcius serta cahaya matahari yang cukup telah membuatkan perairan rantau ini berupaya menampung hidup berbagai jenis hidupan laut.

Di perairan negara kita, terdapat berpuluh-puluh spesies batu karang dan ikan karang yang bukan sahaja menarik minat para pelancong untuk berkunjung bahkan juga penyelidik-penyelidik marin dari serata dunia.

Sehingga kini kerajaan telah mewartakan 38 buah pulau di Malaysia sebagai Taman Laut Negara berasaskan kepelbagaian dan mutu ekosistem karangnya yang tidak ternilai. Pewartaan dan pengisytiharan ini telah membantu kita memelihara dan mengekalkan kecantikan dan keunikan ekosistem batu karang kerana dengan pengisytiharan tersebut pengambilan batu-batu karang di pulau-pulau taman laut adalah satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Pengisytiharan pulau-pulau taman laut ini juga menjadikan Malaysia di antara beberapa negara di dunia yang prihatin dan mengambil berat ekosistem marinnya dan jauh mendahului beberapa negara di dalam perihal pengurusan dan pemuliharaan kawasan karang.

Batu karang terdedah kepada faktor-faktor kemusnahan umpamanya bencana alam seperti ribut taufan, contohnya El-Nino, perubahan suhu dan kemasinan air yang mendadak, pemendakan dan perubahan faktor biologikal, tetapi ancaman yang paling serius ialah tindakan dan aktiviti manusia.

Bertambahnya bahan terampai dalam air dan kadar mendakan yang tinggi, terhasil daripada kesan pembukaan kawasan-kawasan baru untuk pembinaan di daratan yang kemudiannya di bawa hujan ke sungai-sungai yang mangalir ke dalam perairan pantai, akan menambahkan lagi tekanan kepada ekosistem karang.

Kerosakan kawasan karang sangat sukar dipulihkan kerana batu karang memakan masa yang begitu lama untuk hidup dan membiak. Namun dari banyak penyelaman dan penelitian yang dilakukan di kawasan kemusnahan karang, terdapat karang yang berupaya untuk tumbuh semula tetapi perlu diberi bantuan dan pengawasan.

Untuk permulaan, di dalam usaha membantu pertumbuhan semula karang, MFRDMD telah melancarkan sebanyak 75 unit tukun pertumbuhan semula karang di kawasan Teluk Tekek, Pulau Tioman. Kawasan ini yang telah terdedah kepada kesan sampingan projek pembangunan, terdapat banyak kawasan karang di pergigian pantainya rosak dan mati. Struktur tukun ini diharap dapat menjadi tapak asas di mana karang akan mula tumbuh dan membiak.

Tukun ini berukuran 1.0 meter tinggi dan 1.3 meter lebar, dan keseluruhannya diperbuat daripada bahan konkrit. Setiap satu tukun ini boleh menampung pertumbuhan karang seberat 2000 kg di atasnya.

Sekiranya projek ini berjaya, ia dapat mengembalikan semula pertumbuhan karang di kawasan karang yang selama ini mati segan hidup tak mahu. Pertumbuhan yang berlaku di atas setiap tukun yang disusun berdekatan antara satu sama lain itu nanti secara keseluruhan akan mewujudkan keadaan sepertimana kawasan semula jadi karang sekiranya kesemua tukun itu ditumbuhi karang.

Reka cipta bentuk struktur tukun bagi projek yang julung-julung kali ini adalah hasil daripada usaha sama tiga institusi tempatan iaitu MFTDMD, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Zen Concrete, sebuah syarikat swasta. Projek ini di bawah perbelanjaan Jabatan Perikanan Malaysia yang menelan belanja sebanyak RM45,000.

Banyak kaedah telah dicubagunakan di rantau Asia Tenggara dalam usaha mengembalikan pertumbuhan karang yang telah musnah bagi mewujudkan semula karang dan mengekalkan kecantikan sesuatu perairan.

Antaranya ialah kaedah penanaman semula karang seperti yang dijalankan di Indonesia, dan Thailand. Dalam kaedah ini kelompok-kelompok karang dari kawasan karang yang hidup subur diambil dan dipindah tanam di kawasan yang mana karangnya telah mati. Sekiranya berjaya, karang yang dipindahkan tadi akan tumbuh subur dan susulan itu akan membiak dan akhirnya kawasan yang tadi tandus akan segar dengan pertumbuhan karang yang berbagai jenis.

Tetapi kaedah ini mempunyai risiko yang tinggi. Tidak semua yang diubah dan dipindah dari kawasan asal ke tempat baru dapat tumbuh subur. Banyak perpindahan seumpama yang dijalankan telah mengalami keadaan di mana karang-karang yang dipindahkan itu mati akibat tidak dapat menyesuaikan diari dengan keadaan sekelilingnya yang asing.

Apabila ini terjadi, bukan saja kawasan yang mana karangnya telah rosak terus terbiar tetapi kawasan di mana kelompok karang diambil untuk tujuan perpindahan juga akan rosak nilai estetiknya.

Untuk mengelak situasi yang sedemikian berlaku, program tukun pertumbuhan semula karang ini telah dilancarkan dengan harapan ia akan membawa senario baru kepada kawasan karang yang telah menjadi tandus akibat kesan-kesan yang negatif dari aspek pembangunan, tanpa mengorbankan mana-mana kawasan asli karang melalui kaedah pindah tanam. Kawasan yang dulunya segar dengan karang kembali pulih.

Di samping pelaksanaan projek tukun pertumbuhan karang, satu lagi projek yang diimplementasi ialah mewujudkan kawasan bebas gangguan terhadap organisma kerang gergasi atau kima.

Pewujudan kawasan seumpama ini bertujuan membantu memberi perlindungan dan mengekalkan kewujudan organisma ini secara semula jadi.

Terdapat beberapa spesies kima di dalam perairan Malaysia antaranya ialah Tridacna squamosa, T. maxima dan T. gigas.

Kima adalah satu daripada organisma yang lazimnya hidup di dalam habitat batu karang dan ia adalah antara organisma marin yang kini diancam kepupusan. Ini terjadi dari tindakan manusia secara tidak langsung terhadap habitat batu karang seperti pemusnahan dan kerosakan karang, ataupun secara langsung seperti diambil untuk makanan atau perhiasan.

Akibatnya kehidupan kima banyak terancam. Dari itu satu usaha perlu dilaksanakan untuk menentukan bahawa kima yang terdedah kepada kesan negatif di sesuatu kawasan dipindahkan ke kawasan yang selamat untuk terus hidup.

Satu kawasan yang telah dijadikan kawasan penempatan semula kima yang terdedah kepada ancaman kematian ialah Teluk Pasir Akar, di Pulau Pinang iaitu satu daripada gugusan pulau-pulau Taman Laut Redang, Negeri Terengganu.

Ia merupakan satu kawasan yang telah ditutup dari segala aktiviti termasuk berenang dan menyelam. Kawasan ini yang dijadikan kawasan penempatan semula kima yang terdedah kepada kesan-kesan negatif lebih tiga tahun yang lalu kini bukan sahaja terus mengekalkan kehidupan kima-kima yang telah dipindahkan ke situ tetapi terdapat juga anak-anak kima yang dipercayai lahir dari kima-kima yang diletakkan di kawasan tersebut.

Cubaan awal untuk menjadikan kawasan ini sebagai santuari kima telah berjaya kerana kima-kima yang diletakkan di sini dapat menyesuaikan diri dengan alam sekelilingnya. Dalam alam semula jadi, kima dapat menyesuaikan diri sekiranya perubahan dari segi fisikal air atau cahaya matahari tidak berubah secara drastik.

Dan kima juga, setelah mencapai umur yang tertentu tidak akan berpindah tempat. Dari segi pemakanan pula, kima tidak mempunyai masalah kerana secara amnya kima ini, terutamanya jenis tridac squamosa, mendapat makanan daripada bahan organik yang terlarut dalam air laut, nanoplankton dan juga bahan produk fotosintesis yang terhasil daripada zooxanthellae yang terdapat dalam tisu badan kima itu sendiri.

Buat masa ini terdapat lebih daripada 50 ekor kima dewasa yang majoritinya terdiri daripada spesies Tridacna squamosa yang hidup di dasar teluk ini. Ia hidup sihat di kawasan air yang sentiasa jernih, di dalam kawasan kedalaman tidak lebih 15 meter.

Setiap satu kima ini telah ditanda dengan nombor-nombor tertentu di atas kekerangannya untuk mengenalinya dan juga bagi tujuan pengawasan oleh renjer Taman Laut Redang dan penyelidik-penyelidik dari sektor penyelidikan Jabatan Perikanan Malaysia.

Kawasan kima ini juga boleh dilawati oleh mereka yang prihatin terhadap organisma yang diancam kepupusan ini dengan memohon kebenaran dari pihak pengurusan Taman Laut Negara, Jabatan Perikanan Malaysia.

Sudah tentulah kawasan ini merupakan kawasan terhad dan hanya bilangan tertentu sahaja dibenarkan untuk melawat pada sesuatu masa. Kawalan ketat ini adalah perlu bagi menjamin program pemuliharaan organisma kima ini berjalan dengan licin untuk penghayatan kima oleh generasi masa depan negara.

* Dr. Mohd. Khushairi Mohd. Rajuddin ialah Ketua Program Penyelidikan Pemuliharaan Ekosistem, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4DybW0uiS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan