ARKIB : 19/03/1998
KAWASAN Tasek Bera ini masih
terpelihara.
SELAMATKAN tanah lembap,
kekalkan alam anugerah Tuhan, demi masa depan kehidupan sejagat dan anak-anak
generasi akan datang.
Siapakah lagi yang perlu
menangani perkara itu jika tidak kita? Bertindaklah sekarang sebelum segalanya
terlambat.
Mungkin masej itu nampak mudah
dan sudah terlalu biasa, tetapi itulah yang terus dilaung dan diulang oleh
mereka yang mengerti akan pentingnya mengawal kemusnahan alam anugerah Tuhan
untuk keperluan hidupan seluruh umat masa kini dan akan datang.
Namun, laungan dan slogan
sahaja tidak akan ke mana jika ia tidak disertakan dengan tindakan dan usaha
berterusan untuk mengingat dan terus mengingat golongan yang melihat alam
sekeliling hanya untuk keuntungan atas nama pembangunan dan kemajuan.
Lazimnya pula, setiap kali
berlaku pertukaran pemimpin kawasan, daerah mahupun negeri, setiap kali itulah
berlaku sedikit demi sedikit 'penghapusan' ke atas kawasan yang dikategorikan
sebagai 'hutan simpan' dan alam semula jadi.
Dan saban tahun juga akan
menyaksikan taman-taman hidupan liar dan pusat-pusat yang digazetkan sebagai
taman rekreasi serta 'hutan simpan' akan melalui proses pengecilan terutama
untuk 'dibandarkan' dengan pembinaan resort mewah yang serba lengkap.
Keaslian alam dengan kebebasan
habitat flora dan fuana yang menjadi penghuninya disingkir samada dengan
sengaja atau pun tidak, meskipun hidupan itu sebenarnya tersimpan berjuta
nikmat dan bertimbun khasiat bagi keperluan untuk menangani segala macam
'penyakit manusia' dan sekutunya yang terwujud oleh pasca kemodenan global.
Menyedari hakikat semakin
terhapusnya bertimbun kepentingan dari sumber alam semula jadi itulah, Wetlands
International Asia-Pasifik (WTAP) melalui skim DANCED yang dibiaya oleh
kerajaan Denmark tampil meneruskan misi menyelamatkan flora dan fuana serta
keasliannya demi masa depan manusia sejagat.
Dengan kerjasama Kerajaan
Negeri Pahang di bawah Projek Pengurusan Bersepadu Tasek Bera (PPBTB) melalui
kontrak tiga tahun bersama WTAP, Tasek Bera sejak tahun 1994 telah diwartakan
sebagai kawasan tanah lembap untuk kepentingan antarabangsa.
Sebagai sebuah badan gabungan
pertubuhan antara kerajaan (Inter-Goverment Organisation - IGO), WTAP
dipertanggungjawabkan mengetuai projek kaji selidik bagi mencari, mengenal
pasti dan mempertahan serta mengekalkan habitat spesies di situ dari kemusnahan
serta mengeksploitasikannya secara terkawal untuk kepentingan manusia.
Malah, WTAP yang turut
beroperasi di Australia, Kemboja, China, Indonesia, Jepun dan Thailand adalah
badan pertubuhan yang punya kepakaran dalam pelbagai rancangan pemuliharaan
serta pengawalan ekologi, taksiran kesan persekitaran, hidupan air, perhutanan,
limnologi serta latihan dan kependidikan.
Tasek Bera adalah satu-satunya
rangkaian tasek semula jadi terbesar dan terpanjang yang menakung keaslian air
tasek di Malaysia dengan keluasan 61,000 hektar.
Daripada jumlah keluasan
tersebut, 6,150 hektar kawasan tasek berkenaan dilingkungi timbunan tanah-tanah
lembap yang kini menjadi sasaran utama dalam projek kelolaan WTAP.
Sebagai pertubuhan antara badan
kerajaan, WTAP bergerak melaksanakan vision biodiversiti untuk menjaga dan
mengekalkan seluruh jenis babitat dalam komuniti dan ekosistem yang terwujud
oleh pengaruh air dan kawasan asli sekitarnya.
Projek sulong WTAP di bawah
skim DANCED di Malaysia yang dikendalikan menurut konvesyen Ramsar yang berpangkalan
di Gland, Switzerland itu mencangkupi kepentingan mengekal dan menjaga kumpulan
habitat tanah lembap dan peranan tasek serta kawasan pinggirnya untuk
kepentingan manusia.
Ia juga turut berperanan dalam
membantu pelbagai masalah yang dihasil manusia pasca kemajuan global serta
ancaman alam terutama kejadian banjir.
Melalui agenda konvesyen Ramsar
yang dibawa oleh WTAP dengan Crawford Prentice sebagai ketua projek, PPBTB
telah mengklasifikasikan kawasan yang berkeluasan 61,000 hektar itu kepada lima
zon.
Zon teras (utama) atau core
zone yang tertumpu kepada kawasan tanah lembap seluruh pinggir tasek melibatkan
keluasan 26,000 hektar diikuti zon penahan (zone buffer) di sekeliling kawasan
tanah lembap dan tasek seluas 27,500 hektar.
Bakinya adalah untuk zon hutan
simpan di bahagian utara yang bersempadankan zon penahan disamping zon
penempatan dan zon simpanan Orang Asli di timur dan barat kawasan tengah
pinggir tasek (dalam kawasan tanah lembap).
Dengan pelbagai hidupan habitat
air (tasek) yang hanya terdapat di Tasek Bera, kawasan berkenaan juga telah
dikenal pasti mengandungi sekurang-kurangnya 106 jenis spesies ikan selain
pelbagai spesis buaya serta hidupan liar darat termasuk harimau dan gajah yang
hidup berkeliaran di hutan berkenaan.
''Tasek Bera adalah punca
terpenting dalam menentukan kawalan limpahan air sungai di musim tengkujuh
serta pembekal sumber keaslian terpenting pada kehidupan manusia khususnya
pendudukan tempatan,'' kata Prentice.
Selaras dengan konsep dan
matlamat dalam perlaksanaan di bawah konvesyen Ramsar yang ditubuh pada 3
Februari 1971 dengan penyertaan 102 buah negara sedunia, Tasek Bera kini telah
menjadi pusat penyelidikan dan pengkajian spesis habitat pertama negara untuk
para saintis, ahli geologis serta para pelajar institusi pengajian tinggi
antarabangsa membuat kajian.
Kerajaan Negeri Pahang melalui
Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) juga turut terlibat dalam melicinkan
usaha WTAP dan PPBTB itu dengan membina sebuah jeti serta beberapa kemudahan
awam di Sungai Bera untuk kemudahan perjalanan bot menyusuri sungai ke tasek.
Tanpa mengetepikan hak dan
kepentingan penduduk asal Tasek Bera yang terdiri daripada Orang Asli dari suku
Semelai pula, zon penempatan dan zon simpanan diperuntukkan khusus untuk
mereka.
Penempatan dan zon simpanan
Orang Asli merupakan salah satu usaha membendung kegiatan penerokaan hutan dan
pemusnahan hidupan tanpa kawalan.
Selain itu, beberapa buah calet
dan tapak perkhemahan turut disediakan bagi tujuan destinasi percutian kepada
masyarakat yang gemarkan persekitaran alam semula jadi. Terletak ke barat laut
daerah Temerloh dan bersempadankan daerah Bahau di Negeri Sembilan, Tasek Bera
yang turut tersimpan pelbagai lagenda di dalamnya antara destinasi pelancongan
unik untuk yang mencintai keunikan alam.
Malah ia seharusnya menjadi
pusat eko-pelancongan yang kekal demi kepentingan khazanah alam yang tidak
ternilai untuk keperluan hidup manusia akan datang.
Oleh: WAN RAHIMAH DERAMAN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4Fi6VjGUD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan