ARKIB :
08/01/1998
ONG Beng Hee
mencatat sejarah arena skuasy negara apabila menjadi pemain Malaysia pertama
dan yang keempat di Asia menjuarai kategori lelaki Bawah 19 tahun selepas
menewaskan pemain tuan rumah, John Russell pada perlawanan akhir Kejohanan
Skuasy Remaja Terbuka Britain di Sheffield, semalam.
Begitupun, Beng
Hee yang berkongsi tempat sebagai pemain pilihan ketiga terpaksa
bertungkus-lumus selama 97 minit untuk mengatasi Russell dari England dengan
kemenangan 9-6, 5-9, 9-1, 4-9, 9-5 pada perlawanan akhir di Abbeydale Sports
Club itu.
Dia sebelum ini
pernah berdepan dengan Russell yang juga pilihan ketiga kejohanan ini iaitu
pada kejohanan Terbuka Remaja Jerman 1994 dan Terbuka Remaja Britain 1995.
Beng Hee turut
mempamerkan keunggulannya apabila meraih juara Bawah 19 Tahun Remaja Terbuka
Scotland di Edinburgh minggu lalu.
Kejayaan ini
meletakkannya pemain keempat Asia yang menguasai kategori itu, selepas A. Naya
dari India (1965), Mohibullah Khan dan Sohail Qaiser dari Pakistan pada 1971
dan 1981.
Begitupun,
pemain wanita harapan negara, Leong Siu Lynn terpaksa tunduk kepada kehebatan
pemain tuan rumah, Tania Bailey yang juga juara remaja dunia pada perlawanan
akhir kategori wanita bawah 19 tahun.
Siu Lynn, pemain
pilihan ketiga tumpas 7-9, 1-9, 4-9 dalam masa 29 minit kepada Tania, pemain
pilihan pertama kejohanan itu.
Ia adalah
kekalahan kedua Siu Lynn kepada Bailey dalam masa lima bulan. Dia sebelum itu
tewas kepada Tania ketika beraksi pada kejohanan berpasukan remaja wanita dunia
di Rio de Janeiro, Ogos tahun lalu, serta kecundang pada peringkat separuh
akhir dengan straight set.
Dalam pada itu,
Nicol David yang juga pilihan pertama bagi kategori wanita bawah 16 tahun,
menepati ramalan apabila mencatat kemenangan straight set ke atas Amina Helal
dari England dengan 9-3, 9-0, 9-0.
Dia hanya
mengambil masa 19 minit untuk mengetepikan pemain pilihan ketiga itu. Kejayaan
ini menambah koleksi emas buat Nicol yang juga merupakan juara bawah 14 tahun
kejohanan ini tahun lalu.
Ini adalah
gelaran pertama buat dirinya bagi kategori bawah 16 tahun dan dia masih
berpeluang untuk mempertahankan gelaran tersebut tahun depan.
KEPUTUSAN
(Akhir):
LELAKI Bawah 14
- Yasser El Halaby (MES) mn Eslam El Homosany (MES) 9-1, 9-0, 9-1.
Bawah 16 -
Alberto Manso (SEP) mn Gregory Gaultier (PER) 4-9, 9-1, 9-5, 9-3.
Bawah 19 - Ong
Beng Hee (MAS) mn John Russell (ENG) 9-6, 5-9, 9-1, 4-9, 9-5.
PEREMPUAN Bawah
14 - Omneya El Kawy (MES) mn Alison Waters (ENG) 6-9, 9-1, 9-4, 9-6.
Bawah 16 - Nicol
David (MAS) mn Amina Helal (ENG) 9-3, 9-0, 9-0.
Bawah 19 - Tania
Bailey (ENG) mn Leong Siu Lynn (MAS) 9-7, 9-1, 9-4.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FDtGkiq7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan