SUSUNAN SAIFUL HAIZAN HASAM
(SUKAN@UTUSAN.COM.MY) | 17 Julai 2016 12:09 AM
Permulaan perlumbaan acara
jalan kaki 50 kilometer sempena Sukan Olimpik Melbourne 1956.
SUKAN Olimpik
Melbourne-Stockholm 1956 merupakan sebuah temasya yang unik kerana terpaksa
melanggar piagam Olimpik buat kali pertama dalam tempoh 100 tahun
penganjurannya ekoran tidak mematuhi masa dan venue penganjuran sebagaimana
kebiasaan.
Perkara itu berlaku kerana
undang-undang kuarantin yang ketat di Australia sehingga menjejaskan proses
kemasukan kuda yang digunakan dalam acara ekuestrian.
Bagi mengatasi masalah itu,
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) memutuskan acara ekuestrian diadakan
secara berasingan dan lebih awal di Stockholm, Sweden pada bulan Jun.
Semua acara lain diadakan di
Melbourne bermula pada bulan November kerana musim panas di Australia yang
terletak di Hesmifera Selatan baharu sahaja bermula.
Dengan itu, temasya pada tahun
berkenaan memiliki keunikan tersendiri kerana berlangsung di dua bandar, dua
negara, dua benua iaitu Eropah dan Oceania dan musim yang berbeza (Jun dan
November).
Bagaimanapun, temasya berkenaan
menyaksikan jumlah penyertaan atlet merosot teruk kerana tindakan memboikot
oleh beberapa negara selain lokasi Australia sendiri yang jauh.
Pemboikotan tersebut berlaku
kerana antara bulan Jun hinggalah temasya berlangsung, dunia berdepan dengan
kekacauan.
Ia bermula dengan pencerobohan
Israel ke atas Semenanjung Sinai di Mesir diikuti pencerobohan oleh 200,000
tentera Kesatuan Soviet ke atas Budapest, Hungary pada 4 November 1956 dengan
alasan untuk mematahkan pemberontakan politik di negara itu.
Berikutan itu, Mesir, Lebanon
dan Iraq menarik diri sebagai protes terhadap tindakan Israel manakala Belanda,
Sepanyol dan Siwtzerland berbuat demikian bagi membantah tindakan Kesatuan
Soviet.
Protes berkenaan merupakan
pemboikotan sebenar buat kali pertama dalam sejarah Olimpik moden. China juga
enggan menghantar kontinjen kerana membantah penyertaan Taiwan. Konflik ini
mengambil masa 28 tahun untuk diselesaikan.
Gold Coast, Guatemala dan
Panama turut tidak menyertai temasya, namun motif mereka tidak dapat
dipastikan sama ada ia sebahagian daripada boikot yang dirancang atau berikutan
lokasi yang jauh dengan Australia.
Temasya itu juga menyaksikan
dua olimpian terkemuka Australia membuat penampilan pertama dalam Olimpik.
Salah seorang daripada mereka
ialah Murray Rose, perenang gaya bebas yang berusia 17 tahun pada masa itu.
Dalam penampilan buat kali
pertama itu, Rose meraih emas dalam acara 400 dan 1,500 meter serta 4x200m gaya
bebas berganti-ganti.
Secara keseluruhan, Sukan
Olimpik 1956 dikuasai oleh Kesatuan Soviet yang mengumpul 98 pingat, manakala
Amerika Syarikat di tempat kedua dengan 74 pingat.
Sumber:http://www.utusan.com.my/sukan/olimpik-diboikot-buat-kali-pertama-1.354494#sthash.aogB444Q.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan