ARKIB : 04/03/1998
TEBING sungai Perak dekat tapak
arkeologi, Kota Tampan.
Di Kota Tampan kita dapat
melihat tasik yang bersambung dengan Sungai Perak. Ini disebabkan oleh limpahan
air Sungai Perak kerana terbinanya sebuah empangan hidro di sebuah pergunungan
berdekatan dengan Sauk.
Ramai para pelancong yang
pernah singgah untuk minum teh tarik ataupun membeli ikan air tawar yang ada
dijual di Kota Tampan mengetahui tentang latar belakang sejarah tempat tersebut
mengapa ia dinamakan Kota tampan dan apa hubung kait pula dengan nama Kota
Tampan yang terkenal di seluruh dunia sebagai tempat manusia purba ditemui.
Kota Tampan mengambil sempena
berlaku peperangan antara orang Melayu yang cuma berlainan suku atau etnik.
Orang Melayu dari selatan Thailand yang dikenali sebagai Melayu Reman telah
datang menyerang orang-orang Melayu di Hulu Perak, iaitu kira-kira pada
pertengahan abad ke-19.
Banyak tempat yang telah dapat
ditawan oleh angkatan perang Melayu Reman bermula di lapang Nenering, Kerunai,
Gerik, dan Selarong. Mereka terus menawan kubu-kubu Melayu di Kampung Kubu,
Lenggong, Kampung Kota dan akhir sekali mereka sampai ke Banggul Belimbing yang
letaknya tidak jauh dari tebing sungai Perak.
Sekumpulan orang Melayu telah
membina kota di situ. Angkatan perang Reman tidak dapat mengalahkan kota
pertahanan di situ, dan akhirnya mereka pulang ke Thailand. Selepas peristiwa
itu kota tersebut disebut sebagai kota tampan yang bermaksud tampan, iaitu
tersekat atau tertampan. Begitulah kisah dulu-dulu orang Melayu suka berperang
antara mereka kerana tidak ada bangsa lain untuk berperang.
Semasa musim raya tahun ini
saya berkesempatan melawat Kota Tampan dan tempat yang saya lawati itu ialah
sebuah tempat yang baru dijalankan penyelidikan arkeologi oleh Prof. Datin Dr.
Zarina Majid. Tempat ini terletak di dalam kawasan ladang kelapa sawit
berdekatan dengan sebuah kampung baru Kota Tampan.
Pada tahun 60-an dulu
pakar-pakar arkeologi telah membuat cari gali di beberapa lokasi di Kota Tampan
dan mereka telah menemui berbagai-bagai alat seperti kapak batu dan periuk
belanga yang membuktikan kehidupan mereka lebih 800 tahun lampau.
Alat-alat purba yang dijumpai
di Kota Tampan itu disebut sebagai kebudayaan tampan. Maka dengan terjumpa alat
purba itu di Kota Tampan, lalu nama tempat itu terkenal di seluruh dunia
arkeologi.
Beberapa tahun kebelakangan ini
beberapa orang pakar arkeologi telah cuba menjalankan kajian di beberapa tempat
di sekitar Lenggong.
Antaranya ialah Prof. Datin Dr.
Zarina Majid. Beliau memilih sebuah tempat di dalam kawasan ladang kelapa sawit
yang hampir dengan Kampung Laut, iaitu tidak jauh dari Kampung Baru Luat.
Saya berkesempatan melawat
tapak yang dibuat cari gali oleh beliau. Beberapa lubang telah digali dan
banyak artifak seperti kapak batu telah ditemui.
Kemungkinan besar telah ada
masyarakat purba yang hidup di situ sekitar sepuluh ribu tahun lampau, dan
kehidupan mereka di situ tidaklah begitu sukar kerana Sungai Perak terletak
berhampiran untuk mendapatkan sumber ikan yang banyak.
Oleh: N.A. HALIM
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4FcDVVaGL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan