ARKIB :
11/01/1998
KESIBUKAN tugas
sebagai Speaker Dewan Rakyat tidak pernah memaksa Tan Sri Mohd Zahir Ismail
menidakkan dirinya daripada melakukan aktiviti kegemarannya.
"Saya
mempunyai dua hobi yang seiringan,'' akui Zahir ketika ditemui di kediaman
rasminya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengambil gambar
dan menulis, itulah hobi seiringan yang dimaksudkan oleh tokoh versatil dari
Kedah ini.
Jika hobi
mengambil gambar menjadikan tokoh kelahiran Titi Gajah, Jitra, Kedah ini tidak
pernah lekang dengan kameranya sementara hobi menulis pula sering membuatkan
dirinya bersendirian untuk melahirkan karyanya.
Kecenderungan
beliau terhadap hobi mengambil gambar tersebut juga menyebabkan diri beliau
menjadi pengumpul setia pelbagai jenis kamera yang masih dijaganya dengan rapi.
Zahir, 74,
mempunyai lebih 20 buah kamera daripada pelbagai jenama seperti Nicon, Canon,
Ricoh dan Yashica daripada model lama hingga terbaru.
"Bagaimanapun
ini sahaja yang masih ada kerana banyak yang sudah hilang ke-rana saya sering
berpindah randah termasuk kamera-kamera lama yang saya miliki dulu,'' cerita
Zahir sambil melahirkan rasa kesalnya terhadap kehilangan kamera yang disayanginya
itu.
Menurut Zahir,
beliau mula mengambil gambar dan mengumpul kamera tersebut ketika berusia
belasan tahun lagi iaitu ketika masih menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid,
Alor Setar, Kedah.
"Minat saya
untuk menulis sebenarnya yang menjadi pendorong untuk saya mendapatkan sebuah
kamera supaya hasil penulisan saya lebih menarik di samping memberikan gambaran
yang lebih jelas tentang rencana saya itu kepada pembaca.
"Ketika itu
saya masih menuntut dan kamera pertama saya daripada jenis Agfa. Saya gunakan
kamera tersebut untuk mengambil gambar bagi setiap hasil penulisan saya pada
masa itu,'' cerita Zahir.
Zahir mengakui
bahawa pada masa itu beliau sering menghantar karya penulisannya kepada majalah
berbahasa Inggeris seperti New Straits Times dan Strait Echo.
Beliau bertambah
ghairah untuk menulis apatah lagi bayaran daripada penulisan itu beliau mampu
meraih pendapatan sambilan untuk menampung perbelanjaan persekolahannya.
"Oleh
kerana saya perlukan wang dan hasil tulisan saya pula di bayar setiap kali
disiarkan, sudah pasti saya menjadi bertambah rajin dan semakin ghairah
menulis.
"Jadi pada
masa cuti sekolah pun saya akan merantau ke seluruh pelosok kampung mencari
bahan rencana yang saya kira menarik bersama kamera saya itu. Biasanya rencana
tulisan saya adalah yang berbentuk 'human interest', pada panda-ngan saya kalau
saya sukakan sesuatu bahan itu pasti pembaca juga menyukainya dan tentu
pengarang akan menyiarkan setelah mereka baca sendiri,'' cerita beliau tentang
pandangannya terhadap sesebuah rencana tulisannya.
Biasanya kata
Zahir lagi, beliau berminat untuk mengambil gambar-gambar dan menulis rencana
tentang kesan peninggalan sejarah negeri Kedah, kerana ceritanya banyak,
sejarahnya menarik dan pembaca juga ingin tahu.
Antara
tempat-tempat yang menjadi kunjungan tetap beliau untuk menda-patkan bahan pada
masa itu, kata Zahir ialah kesan peninggalan sejarah di Lembah Bujang, Kuala
Kedah atau sekitar kehidupan masyarakat kampung.
"Tempat
bersejarah seperti ini mempunyai banyak cerita yang dapat dikupas kembali dan
itulah yang menjadi minat saya,'' kata beliau.
Malang sekali
menurut Zahir, kerana hobi tersebut terpaksa dihentikan setelah Perang Dunia
Kedua meletus dan Jepun menakluki Tanah Melayu.
"Pada masa
itu paling susah untuk mendapatkan filem dan saya terpaksa melupakan terus
minat saya untuk mengambil gambar apatah lagi untuk menulis rencana hinggalah
beberapa tahun selepas perang tamat,'' ujar Zahir lagi.
Bagaimanapun,
setelah bekerja sebagai kerani di Mahkamah Seksyen Alor Setar, Zahir kembali
berpeluang untuk mene-ruskan hobi beliau itu.
"Setelah
bekerja minat saya itu semakin menjadi-jadi, maklumlah sudah ada wang sendiri
untuk digunakan membeli filem. Zaman dulu filem pun mahal juga.
"Namun
setelah berpeluang melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di
Lincoln's Inn, London sekali lagi saya terpaksa melupakan hobi itu kerana mahu
menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran,'' kata beliau.
Kini walaupun
beliau sudah pun berusia 74 tahun dan sering sibuk di Parlimen namun Zahir
tetap setia dengan hobinya itu.
"Mungkin
sudah melekat dalam diri saya rasanya, sehingga ke hari ini saya masih suka
mengambil gambar sendiri walaupun bukan untuk diselitkan dalam karya penulisan
saya lagi sekadar untuk simpanan peribadi saja.
"Hasilnya
sesuatu yang menarik untuk dikongsikan bersama isteri, anak dan cucu saya,''
tambah ayah kepada tujuh orang anak dan datuk kepada 20 orang cucu ini.
Beliau pastinya
tidak akan ketinggalan untuk memotretkan apa saja peristiwa menarik yang
berlaku di hadapan matanya daripada lensa kameranya termasuk keindahan alam
semula jadi.
Sekiranya dulu
sebelum masyarakat berpeluang memiliki teknologi moden dalam bidang fotografi Zahir
mengakui bahawa beliau tidak begitu mementingkan tentang kualiti gambar yang
diambil tetapi hari ini keadaan sebaliknya.
"Dulu
asalkan nampak objek yang ingin digambarkan itu sudah cukup baik dan tidak
perlu lagi memikirkan sama ada cantik atau tidak tetapi hari ini kerana
teknologi moden membolehkan kita memiliki pelbagai kamera yang canggih di
pasaran.
"Saya juga
tidak mahu ketinggalan dan jika berpeluang saya pasti dapatkan kame-ra yang
terkini tetapi saya lebih suka menggunakan kamera automatik berban-ding manual
kerana lebih mudah dan pantas,'' beritahu Zahir.
Zahir juga tidak
pernah berhenti menulis setelah menghasilkan karya pertamanya, Sungai Korok Wan
Mat Saman pada tahun 1988 yang menjadi pendorongnya untuk terus berkarya.
Karya beliau seterusnya
ialah Pendekar Kundur, Secebis Sejarah Sekolah Melayu Hosba dan Sekitarnya,
Bukit Puteri, Cik Siti Wan Kembang, Bukit Tembaga, Mengejar Kebahagiaan dan
Pahlawan Desa. Buku terbaru beliau yang bakal diterbitkan kelak berkisar
tentang cerita-cerita dongeng di Pulau Langkawi, yang dirasakannya pasti
menarik perhatian ramai pembaca.
Kata beliau,
pulau tersebut kaya dengan pelbagai cerita di sebaliknya kerana itu beliau
begitu berminat untuk mengupas kisah-kisah tersebut dan seterusnya dihebahkan
kepada pembaca.
"Ramai
antara kita yang hanya mengetahui tentang cerita-cerita Mahsuri, Telaga Tujuh
ataupun Tasik Dayang Bunting. Sedangkan masih ada lagi cerita yang belum
diketahui seperti cerita buaya putih ataupun cerita sebenarnya tentang legenda
Mahsuri,'' tambah Zahir.
Demi untuk
menyiapkan karya yang di-tulis dalam bahasa Inggeris Zahir telah menghabiskan
masanya bersama dengan penduduk di seluruh Langkawi yang lebih mengetahui
tentang cerita-cerita dongeng itu.
"Siapa yang
lebih mengetahui selain daripada generasi lama penduduk di situ dan selama
beberapa bulan saya tinggal bersama mereka pelbagai cerita menarik berjaya saya
peroleh,'' tambah Zahir. Buku tersebut, kata Zahir, sengaja ditu-lis dalam
bahasa Inggeris kerana dengan cara tersebut cerita-cerita itu akan dapat
disampaikan kepada pelancong.
Apabila ditanya
kenapa beliau tidak berminat untuk menceburi bidang penu-lisan sepenuh masa
kata Zahir beliau tidak suka sekira dirinya begitu terikat dengan bidang
tersebut.
"Sekiranya
dulu saya bekerja sebagai wartawan tentunya saya akan lebih terikat kepada
tugasan yang dikehendaki oleh ketua sedangkan saya lebih suka untuk menulis apa
saja yang saya minat bukannya sesuatu yang diarahkan,'' akui Zahir.
Lagipun, kata
beliau pada masa dulu, satu-satunya bidang yang mempunyai banyak peluang untuk
melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi ialah undang-undang.
Oleh itu selepas
menamatkan pengajian undang-undang di London pada tahun 1955, Zahir terlebih
dahulu bekerja sebagai peguam di firma guaman di Alor Setar.
Sebelum dilantik
menjadi Speaker Dewan Rakyat pada tahun 1982 Zahir juga pernah memegang jawatan
sebagai hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kota Baharu.
Dalam bidang
politik pula, Zahir pernah terpilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar pada
tahun 1972 hingga 1975.
Beliau juga
aktif memegang jawatan dalam pelbagai organisasi seperti Pengerusi Lembaga
Penasihat dan Penyelarasan Pendidikan Islam (LEPAI), Presiden Pertubuhan Antara
Parlimen ASEAN (AIPO) dan Presiden Bersama Persatuan Parlimen Komanwel.
Beliau juga
pernah dilantik menjadi Pro- Canselor bagi Universiti Teknologi Malaysia pada
tahun 1983.
Selain daripada
mengambil gambar dan menulis, tokoh ini juga mempunyai minat untuk berkebun dan
menternak lembu di tempat kelahirannya iaitu Kedah.
"Saya
mempunyai tanah di Kodiang, Kedah dan di situlah tempat saya menanam pelbagai
jenis buah-buahan tempatan dan sekali sekala kami sekeluarga akan pulang
bercuti di kampung itu,'' kata Zahir.
Zahir bersama
isterinya, Puan Sri Halimatun Saadiah Chik juga menanam benih pokok mereka
sendiri di tapak semaian di kediamannya sebelum memindahkan benih tersebut di
kebunnya di Kedah.
"Kalau kita
menanam pokok dari benih yang ditanam sendiri sudah tentu kita pasti benih itu
datangnya dari hasil yang baik. Kerana itu saya berhati-hati untuk memilih
benih pokok,''' cerita beliau lagi tentang hobinya menanam pokok buah-buahan.
Sumber-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_04.htm#ixzz4FEApmgqW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan