Sabtu, 16 Julai 2016

Jesse Owens calarkan ego Hitler

Jesse Owens calarkan ego Hitler
14 Julai 2016 12:25 AM
AKSI Jesse Owens dalam acara 100 meter Sukan Olimpik Berlin 1936 yang menyaksikan dia meraih pingat emas.
SETAHUN sebelum Sukan O­limpik Berlin, atlet kulit hitam Amerika Syarikat (AS), Jesse Owens memberi amaran awal kepada pesaingnya apabila memecah lima rekod dunia dan membuat satu catatan masa yang menyamai rekod dunia.
Salah satu daripada rekod tersebut iaitu 8.13 meter dalam lompat jauh bertahan selama 25 tahun. Namun apa yang benar-benar menjadikan Owens seorang wira ialah menundukkan keegoan Canselor Jerman, Adolf Hitler.
Bagi Hitler dan Nazi, Olimpik Berlin diharapkan menjadi me­dan untuk Jerman mempamer kekuasaan bangsa Aryan. Malah Hitler mencela AS ke­rana menampilkan atlet berkulit hitam.
Owens menutup mulut pengkritik dengan meraih empat pingat emas (100m, lompat jauh, 200m dan 200m berganti-ganti), selain memecah dua rekod O­limpik.
Selepas Owens memenangi acara 100m, Hitler dikatakan amat marah dan meninggalkan stadium dengan tergesa-gesa. Bagaimanapun terdapat laporan mengatakan Hitler mengucapkan tahniah kepada Owens.
Walaupun Owens membantu kemenangan AS di Berlin, kepulangannya tidak benar-benar diraikan sebagaimana yang dijang­ka banyak pihak.
Presiden Franklin D. Roosevelt gagal bertemu Owens dan me­ngucapkan tahniah sebagaimana kebiasaan terhadap atlet Olimpik yang meraih pingat.
Dia tidak menerima pengiktirafan sewajarnya sehinggalah pada 1976 apabila Presiden Ge­rald Ford menganugerahkan Pi­ngat Keamanan Presiden.
Owens sendiri terkejut dengan layanan yang diterimanya dan sikap hipokrit AS. Dia dilaporkan pernah berkata: “Apabila saya kembali ke tanah air, selepas apa yang diperkatakan tentang Hitler, saya tetap tidak boleh duduk di bahagian depan bas.
“Saya perlu menaiki bas melalui pintu belakang. Saya tidak dapat tinggal di tempat yang saya mahu. Memang saya tidak dijemput untuk berjabat tangan de­ngan Hitler namun saya juga tidak dijemput ke Rumah Putih untuk bersalam dengan Pre­siden.”
Owens meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 1980 dan terdapat jalan serta sekolah di Berlin yang dinamakan sempena namanya.
Dua pos AS turut menampilkan gambarnya, manakala taman peringatan dibuka di Alabama bagi mengenang pencapaiannya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/jesse-owens-calarkan-ego-hitler-1.353199#sthash.A490eNpP.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan