Anggota Unit Pemusnah Bom
melakukan persiapan untuk memusnahkan periuk api yang ditemui.
Mohd Sah Mudaam@hmetro.com.my
Mersing: “Saya sangka ia besi
buruk, tetapi selepas diperhatikan dengan lebih dekat ia sebutir bom lama,”
kata seorang nelayan, Zaidi Daud, 43, yang menjumpai sembilan bahan letupan itu
di kawasan persisiran pantai Kampung Teluk Iskandar, Sri Pantai, kelmarin.
Kira-kira jam 5 petang, dia
melihat beberapa objek seperti besi buruk di celah batu ketika air laut surut,
sebelum membuat keputusan untuk melihat secara lebih dekat lagi.
“Objek berkenaan dilihat
seperti bom dan keadaannya sudah berkarat. Tanpa berfikir panjang saya dan
seorang lagi rakan, Idzhar Tahar, 47, membuat keputusan untuk memaklumkan
penemuan ini kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.
“Saya dan rakan yang lain
bersyukur kerana selalu melalui kawasan berkenaan setiap kali pulang daripada
menangkap ikan dan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua
Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Hamka Mohamad, ketika dihubungi
mengesahkan perkara berkenaan dan berkata, periuk api itu dipercayai digunakan
ketika Perang Dunia Kedua.
Katanya, pihaknya juga
mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor
bagi tujuan pemusnahan sembilan periuk api berkenaan yang dijalankan petang,
semalam.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:47 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan