ARKIB : 11/03/1998
Di tebing sungai saya menunggu
untuk mendapatkan perahu penumpang yang masih berada di seberang sungai Perak.
Air sungai Perak yang agak
tenang itu mengandungi banyak ikan loma dan lain-lain ikan air tawar seperti
patin, temoleh, baung, kelah dan sebagainya.
Ikan-ikan tersebut ditangkap
oleh nelayan tempatan dan dijual di pekan Lenggong. Harganya tak usahlah
ditanya, lebih mahal daripada harga daging dan ayam.
Zaman saya budak-budak dulu
orang kampung di tempat saya tidak gemar makan ikan sungai, apatah lagi ikan
keli dan haruan. Mereka lebih suka makan ikan laut. Walaupun ikan itu hampir
separuh busuk, mereka beli juga.
Tapi kini sudah terbalik. Ikan
haruan dikatakan ubat untuk melicinkan pipi dan sebagainya. Jadi walaupun mahal
hingga berbelas ringgit sekati, ikan haruan menjadi pilihan utama.
Setelah menunggu kira-kira 20
minit, perahu penambang yang dipandu oleh seorang pemuda pun tiba. Saya terus
menaiki perahu itu untuk ke seberang.
Di sana ada dua makam yang
pernah saya lawati pada tahun 1968, iaitu hampir 30 tahun lampau.
Adakah makam bersejarah itu
masih wujud ataupun telah dimusnahkan oleh orang-orang untuk berkebun dan
sebagainya.
Setelah membayar 50 sen tambang
perahu tersebut, saya naik ke darat dan terus menuju ke sebuah makam yang
terletak tidak jauh dari tebing kanan mudik sungai Perak.
Makam tersebut terletak hampir
dengan sebuah surau. Itulah makam bersejarah yang dikenali dengan nama Tok
Lalang, iaitu orang besar delapan Perak yang bergelar Seri Adika Raja ke-3,
pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Syah (Sultan Perak ke-3,
1577-1584).
Tok Lalang juga dikenali
sebagai Tok Putih Berolak bin Tok Hilang Dipilih bin Tok Kelalang, iaitu
keturunan Tun Saban, seorang pembesar yang mula-mula membuka Hulu Perak di
zaman sebelum pemerintahan beraja.
Menurut sejarahnya, Tok Lalang
adalah cicit kepada Puteri Merah anak Tun Saban yang diperisterikan oleh Sultan
Muzaffar Syah (Sultan Perak Pertama 1528-1549).
Pada zaman pemerintahan Sultan
Ahmad Tajuddin, Tok Lalang telah diberi kuasa mengutip cukai padi dan
barang-barang hasil hutan seperti damar, cula badak, gading gajah, kayu gaharu
yang terdapat di seluruh Hulu Perak. Hasil itu akan dibahagikan sama banyak.
Ketika saya melawat makam
tersebut, ramai orang kampung datang melihat dan mereka hampir kesemuanya tidak
tahu tentang sejarah makam tersebut. Mereka hanya tahu nama makam tersebut
sebagai makam Tok Lalang.
Begitulah malangnya nasib
tapak-tapak sejarah milik orang Melayu semakin terpinggir oleh masyarakat
Melayu sendiri.
Dari makam Tok Lalang, saya
berjalan lagi ke arah hulu sungai. Saya masih ingat dalam tahun 1968 saya
pernah melawat sebuah makam lagi di sana yang dikenali sebagai Makam Tok
Sendalu atau Tok Sandarulu.
Tok Sendalu adalah adik kepada
Tok Lalang. Beliau dilantik menjadi Seri Adika Raja ke-4, menggantikan abangnya
Seri Adika Raja ke-3. Kuasanya adalah sebagai pemerintah Hulu Perak.
Begitulah sebuah kampung yang
terpencil di hulu, iaitu Kampung Luat yang terletak di seberang sungai Perak.
Selama ini jika hendak ke
kampung tersebut terpaksa menaiki bot penambang tetapi akan berubah wajah
apabila jalan raya terbina dari Kampung Sumpitan ke kampung tersebut tidak lama
lagi.
Kampung Luat dan Kampung Kota
Tampan adalah potensi yang menarik bagi para peminat sejarah bangsa Melayu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4DyfXp74D
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan