ARKIB : 22/02/1998
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah menyifatkan perbuatan Persatuan Bola Sepak
Sabah (SAFA) mengenakan yuran perpindahan sebanyak RM9.95 terhadap Bobby Chua
untuk berhijrah ke Sarawak sebagai memalukan.
Menurut baginda, perbuatan itu
tidak sepatutnya dilakukan semata-mata untuk memalukan pemain berkenaan dalam
era bola sepak profesional hari ini.
''Saya sendiri fikir ia satu
penghinaan yang tidak sepatutnya dibuat tambahan dalam bola sepak negara
memasuki era profesional,'' kata baginda ketika memberi pandangan peribadi
beliau mengenai isu tersebut.
Sultan berkata demikian selepas
menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Mohd. Zahidi
Zainuddin di Istana Abu Bakar di Pekan, semalam.
FAM akan mengadakan pertemuan
dengan SAFA dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi membincangkan masalah
tersebut.
Yuran perindahan RM9.95 itu
telah mencatatkan jumlah yang terendah dalam sejarah bola sepak profesional dan
dianggap bertujuan bagi memalukan Bobby.
Bagaimanapun, penghinaan
tersebut tidak mematahkan semangat pemain itu yang telah secara rasmi menyarung
jersi Sarawak 8 Februari lalu.
Bobby dilaporkan menjadikan
tindakan SAFA sebagai pembakar azamnya untuk membuktikan bahawa beliau bukannya
pemain yang tidak berharga sekali gus membantu Sarawak mencapai kejayaan.
Sementara itu ketika diminta
mengulas mengenai kes seorang lagi pemain Sabah, Jelius Ating, Sultan Ahmad
Shah berkata, FAM akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua persatuan bagi
menyelesaikan masalah berkenaan.
Kelmarin, akhbar melaporkan FAS
menolak tawaran SAFA untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan masalah
tersebut dan sebaliknya menyerahkan kepada FAM untuk membuat keputusan tentang
status Julius.
Presiden FAM berkata, persatuan
tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap Persatuan Bola Sepak Sabah
kerana mereka tidak melanggar sebarang peraturan FIFA mahupun FAM.
Beliau turut menafikan FAM
terlalu berlembut dengan SAFA walaupun pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh
persatuan bola sepak itu.
''Masalah yang timbul adalah
masalah dalaman dan tidak melanggar peraturan FIFA atau FAM, jadi tiada
sebarang tindakan yang boleh diambil,'' tegas baginda.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FaypixVc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan