ARKIB : 18/01/1998
SHAH ALAM - Network Seven Sdn.
Bhd. (NTV7), stesen televisyen swasta terbaru di negara ini akan menggunakan
sistem penyiaran digital sepenuhnya apabila siaran itu mula dipancarkan ke
seluruh negara, April ini.
Pengerusi NTV7, Datuk Efendi
Norwawi berkata, dengan penggunaan sistem tercanggih itu membolehkan pihaknya
menyiarkan rancangan dengan menggunakan visual laser dan bunyi audio cakera
padat (CD). Menurut beliau, sehubungan dengan itu, pihaknya telah mewujudkan
Pusat Penyiaran Digital NTV7 yang bukan saja dilengkapi peralatan produksi
digital tetapi juga semua fungsi termasuk sistem automasi, pengurusan penyiaran
untuk jadual rancangan, pengurusan sumber serta pengaturcaraan.
"Buat masa sekarang, kami
membuat persiapan dari segi proses teknikal dengan tumpuan diberikan kepada
pembinaan pusat penyiaran digital NTV7. Ia merupakan salah satu sistem
penyiaran digital tercanggih di negara ini,'' katanya kepada pemberita di sini,
baru-baru ini.
Efendi memberitahu, pihaknya
telah membangunkan dua pusat penyiarannya masing-masing di Shah Alam untuk
liputan di Semenanjung dan di Kuching untuk liputan di Sarawak dan Sabah.
Beliau berkata, NTV7 yang melibatkan pelaburan RM115 juta itu juga sebagai
usaha pihaknya membuat persiapan dan pembangunan infrastruktur untuk menguasai
teknologi maklumat dan penyiaran televisyen untuk masa depan.
Katanya, NTV7 juga merupakan
pengguna Sony Digital Beta SX pertama di negara ini sebagai format rakaman
video digital untuk transmisi selain menggunakan Digital Betacam.
Sistem format Beta SX itu,
jelas beliau, membolehkan pihaknya menyepadukan keupayaan penyuntingan tanpa
pita untuk menghasilkan output berkualiti tinggi serta ciri kelajuan main
semula yang pantas.
Tambah beliau, NTV7 juga sudah
siap memasang perisian pengurusan penyiaran untuk sistem pengurusan siaran dan
iklan yang mampu mengendali pesanan iklan semasa untuk kemudahan pihaknya dan
pengiklan.
"Dengan menyepadukan
perisian ini dengan stesen sistem automasi kami, ia membolehkan kami
mengendalikan pesanan iklan serta menjana seberapa banyak pada masa akan
datang,'' katanya.
Efendi berkata, pihaknya juga
mendapatkan khidmat nasihat kepakaran daripada jurutera mahir serta para
penyiar digital bertaraf antarabangsa bagi memastikan segala penggunaan
teknologi dan peralatan canggih digunakan sebaik mungkin.
Sehubungan dengan itu, NTV7
telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan beberapa agensi penyiaran luar
negara termasuk Pearson TV London, BCL New Zealand serta Frank Magid
Consultants. "Kerjasama dengan perunding cara ini membolehkan pemindahan
latihan dan teknologi dapat dilakukan ketika membuat persiapan untuk fasa
pertama,'' katanya.
NTV7 kini di peringkat akhir
dan sedang membuat percubaan transmisi sebelum ia memulakan siaran percubaan
pada Mac dan pelancaran siaran keseluruhannya pula akan bermula 7 April ini.
Stesen televisyen bumi swasta
kedua itu akan menggunakan 10 stesen pemancar di seluruh negara yang
ditempatkan bersebelahan dengan stesen pemancar RTM dan TV3 dijangka mampu
meliputi 80 peratus kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=bs_02.htm#ixzz4FQCySQbm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan