Selasa, 26 Julai 2016

Sultan Ali tidak mempunyai negeri

ARKIB : 18/02/1998
Di kompleks makam bersejarah itu hanya Makam Sultan Ali, putera Sultan Husain Syah sahaja yang dapat saya kenal pasti, kerana ada catatan di batu nisan di makam Almarhum.

Yang lain-lain itu, saya fikir adalah makam-makam kaum keluarga Sultan Ali, sultan bagi negeri Johor yang dilantik oleh Inggeris atas nama sahaja. Baginda hanya diberi sebuah kawasan iaitu Muar-Kesang sebagai kawasan pemerintahan baginda. Namun daerah itu juga akhirnya terserah kepada Johor yang dikuasai oleh Temenggung Seri Maharaja Johor.

Suatu peristiwa sedih berlaku di Umbai pada tahun 1877 apabila jenazah Almarhum Sultan Ali hampir seminggu tidak dapat dikebumikan. Begitulah adat raja-raja Melayu sekiranya seseorang sultan mangkat, hendaklah terlebih dahulu dilantik pengganti sultan.

Apabila telah dilantik barulah jenazah Almarhum sultan dapat dikebumikan.

Hal ini berlaku juga ketika Sultan Ali Al-Mukamal, Perak, yang mangkat pada tahun 1871. Hampir sebulan jenazah sultan itu tidak dapat dikebumikan kerana berlaku kekecohan apabila anak-anak raja Perak masing-masing hendak menjadi raja.

Ketika Sultan Husain Syah mangkat pada tahun 1835, putera baginda yang bernama Tengku Ali masih lagi kecil, berumur kira-kira 11 tahun.

Pada tanggal 10 Mac 1855, iaitu ketika berusia 35 tahun, Tengku Ali, putera Almarhum Sultan Husain Syah, telah dilantik oleh Inggeris dengan persetujuan Temenggung Seri Maharaja Johor menjadi Sultan Johor. Perlantikan itu dibuat di Singapura.

Sungguh pun telah dilantik menjadi Sultan Johor, baginda sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kuasa, yang berkuasa di Johor waktu itu ialah Temenggung Seri Maharaja Daing Ibrahim. Sultan Ali hanya diberi sebuah kawasan iaitu Muar-Kesang yang tidak mempunyai apa-apa hasil sebagai kawasan pemerintahannya.

Namun Sultan Ali masih tinggal di istananya di Kampung Gelam, Singapura. Sesekali Sultan Ali melawat Muar-Kesang dan di daerah itu ada pula pembesar Melayu yang berkuasa iaitu Temenggung Muar yang diam di Segamat. Sultan Ali pula melantik seorang pembesar Bugis yang bernama Suliwata untuk mengutip cukai di daerah tersebut.

Nampaknya daerah Muar-Kesang tidak pernah aman kerana daerah pegangan Sultan Ali itu telah dikuasai oleh dua pihak yang bermusuhan. Akhirnya berlakulah pergaduhan antara pengikut-pengikut Suliwata dengan pengikut Temenggung Muar/Segamat dan pengikut-pengikut Temenggung Abu Bakar.

Peristiwa yang berlaku di Muar-Kesang dan Segamat itu telah diceritakan dengan panjang lebar oleh Munsyi Ibrahim yang dititahkan oleh Temenggung Seri Maharaja Abu Bakar untuk meninjau kawasan tersebut.

Dalam tahun 1861, ada khabar-khabar menyatakan Sultan Ali telah dapat mengumpulkan pengikut-pengikutnya berjumlah kira-kira 30,000 orang. Mereka berkumpul di Muar dan bercadang hendak menyerang Johor. Namun pengikut-pengikut Sultan Ali akhirnya tidak jadi menyerang Johor apabila pihak Inggeris memberi amaran. Ketika itulah Sultan Ali terpaksa berhutang dengan ceti sebanyak $53,000 ringgit untuk membeli senjata.

Dalam tahun 1875, didapati Sultan Ali berbaik-baik semula dengan Temenggung Seri Maharaja Daing Abu Bakar dalam satu upacara yang dihadiri oleh Gabenor Sir Andrew Clarks. Mereka berdua pun bersalam dan berdamai. Sultan Ali kemudian pulang semula ke tempat kediaman baginda di Umbai, Melaka.

Pada tanggal 20 Jun 1872, Sultan Ali yang tidak mempunyai negeri pemerintahannya itu akhirnya mangkat di Umbai. Putera almarhum yang bernama Tengku Alam terus memperjuangkan haknya sebagai pemerintah negeri Johor. Sejauh mana kejayaan putera Sultan Ali itu sejarah Johor dapat memberi jawapannya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4FWnkBMez © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan