ARKIB : 17/02/1998
PENUBUHAN Tabung Pendidikan Negara (TPN) masih lagi di
peringkat kajian.
Matlamat utama penubuhan TPN adalah bagi membantu pihak
Kementerian Pendidikan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang sedang hebat
melanda negara.
Seperti yang kita sedia maklum, dalam usaha menangani
masalah ekonomi ini, jumlah belanjawan untuk setiap kementerian dan agensi
kerajaan telah dipotong.
Bagi menjayakan tabung ini, golongan guru diminta
melakukan "sedikit'' pengorbanan. Setiap orang guru akan dipotong gajinya
sebanyak RM10, sama ada daripada Elaun Khidmat Awam (EKA) ataupun daripada
Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) setiap bulan.
Sebagaimana isu-isu terdahulu, cadangan ini juga mendapat
reaksi yang berbeza. Pelbagai hujah dan sandaran dikemukakan bagi menguatkan
pendapat masing-masing.
Dalam suasana ekonomi negara yang agak muram ketika ini,
hasrat murni lagi terpuji daripada sekelompok warga guru untuk membantu
meringankan beban kerajaan, seharusnya mendapat bukan sedikit kredit.
Komitmen dan keprihatinan golongan tersebut membuktikan
bahawa guru sanggup berkorban apa sahaja demi negara tercinta.
Kata orang, untuk mengenali rakan atau lawan, tunggulah
semasa kita sedang dilanda kesusahan.
Hanya rakan sahaja yang sanggup menangis dan ketawa
bersama.
Menurut pendapat sesetengah pihak di kalangan guru yang
menyokong penuh kewujudan tabung ini, apa sangatlah RM10 yang bakal
disumbangkan jika ingin dibandingkan dengan apa yang telah negara berikan
kepada golongan guru.
Di sinilah menurut mereka, masanya untuk menguji sejauh
mana rasa kesetiaan dan semangat patriotik para guru semua.
Jika selama ini kita sebagai seorang guru sentiasa
menekankan dan melaung-laungkan semangat cinta kepada negara semasa mengajar di
dalam bilik darjah, nah! Sekarang giliran kita-para guru, "mengotakan apa
yang dikata''.
Di negara-negara yang menerima "pukulan ekonomi''
yang lebih teruk seperti Thailand, Indonesia dan Korea Selatan, berduyun-duyun
golongan kaya mendermakan barang kemas dan barang berharga lainnya bagi
membantu negara.
Berbeza dengan kita di Malaysia, golongan kaya bukan
sahaja kurang menunjukkan rasa yang sedemikian, malah mereka dikatakan
berduyun-duyun ke luar negara untuk memindahkan wang ringgit dan harta mereka
ke sana.
Mungkinkah "tugas'' golongan kaya inilah yang cuba
diambil-alih oleh para guru di negara kita? Namun begitu, dalam keghairahan
diiringi semangat yang berkobar-kobar sesetengah golongan guru untuk membantu
negara, terdapat juga suara-suara yang menegaskan usaha tersebut sememangnya
baik, tetapi ia perlu berpijak di bumi nyata.
Seperti kata seorang pengetua, RM10 mungkin tidak menjadi
masalah kepada guru, tetapi apakah jaminan daripada segi pengurusan tabung itu
sendiri? Apakah tabung yang jumlahnya begitu besar sehingga dikatakan boleh
menjangkau kira-kira RM2.8 juta sebulan, mampu dikendalikan dengan baik oleh
badan amanah yang dilantik? Kita tidak boleh menyalahkan guru-guru andainya ada
di antara mereka yang agak sangsi dengan pengurusan wang yang sebegitu besar.
Satu demi satu kes pecah amanah yang dibawa ke muka
pengadilan di negara ini, mungkin menjadi asas kepada kebimbangan mereka.
Selain daripada itu, sewajarnyalah nilai sumbangan
berdasarkan gaji guru itu sendiri.
Di dalam profesion perguruan, terdapat kelompok guru
siswazah dan bukan siswazah.
Lebih adil rasanya sumbangan guru dipecahkan kepada dua
skim berkenaan.
Umpamanya, guru siswazah DG1 dan DG2 mungkin boleh
menyumbang sehingga RM15, guru DG3 sebanyak RM10 dan bukan siswazah RM5
sebulan.
Bagi guru-guru yang baru memulakan karier, apakah ada
sebarang pengecualian buat mereka, sekurang-kurangnya sehingga suatu tempoh
tertentu? Tempoh sumbangan tersebut juga seharusnya difikirkan dengan mendalam.
Apakah tempohnya sehingga ekonomi benar-benar pulih atau
sebagaimana yang dirancangkan oleh pihak yang membuat cadangan iaitu berterusan
walaupun masalah ekonomi negara telah kembali "ceria''? Di samping itu,
kita juga perlu melihat kepada pelbagai pemasalahan yang menghimpit golongan
guru sejak sekian lama.
Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan
Pulau Pinang golongan guru sentiasa tertekan dalam melayari kehidupan yang
begitu laju.
Dengan kos sewa rumah yang begitu tinggi dan kenaikan
mendadak harga barang, memaksa para guru membuat kerja sampingan bagi menambah
pendapatan.
Tidak hairanlah siang mereka bergelar guru, tetapi
malamnya bertukar watak menjadi pemandu teksi, jaga atau pembantu di stesen
minyak.
Bagi golongan guru di atas, pemotongan RM10 mungkin
sangat dirasai akan kesannya.
Bagi guru-guru yang membuat pinjaman bank, kesannya sudah
mula dirasai dengan kenaikan nilai faedah pinjaman "sempena'' krisis
ekonomi.
Seperti kata seorang tokoh guru yang begitu lantang
suaranya dalam memperjuangkan nasib guru, guru sebenarnya boleh menyumbangkan
wang mereka secara langsung kepada kerajaan tanpa perlu melalui badan-badan
tertentu.
Ini untuk mengelakkan sebarang penyelewengan yang
ditakuti akan berlaku.
Bentuk sumbangan guru sebenarnya bukanlah berupa wang
tunai semata-mata.
Para guru boleh membantu kerajaan dengan cara menyahut
kempen berjimat cermat yang telah digariskan.
Jika dahulu kita membuat soalan ujian dengan menggunakan
10 helai kertas, sekarang mengapa tidak dikurangkan kepada 8 helai kertas
sahaja, tetapi tanpa menjejaskan kualiti dan kuantiti soalan itu sendiri.
Biar pun begitu, setiap orang mungkin mempunyai pandangan
masing-masing.
Mungkin kita memilih jalan yang berbeza namun yang
penting matlamat tetap sama.
kita perlu membantu kerajaan dalam menangani masalah
ekonomi ini dengan cara dan kemampuan kita sendiri.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_04.htm#ixzz4FVrnh5xg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan