ARKIB : 03/01/1998
MERIAM katak, kecilnya seperti
cili api.
KUANTAN - Peralatan lama
berusia ratusan tahun walaupun tidak lagi berfungsi atau digunakan namun tetap
menarik perhatian dan disimpan sebagai kenangan sejarah.
Antara barangan antik tersebut
ialah seterika, gong serta gendang dan meriam yang digunakan dalam peperangan
pada zaman silam.
Tinjauan Utusan ke rumah bekas
Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Besar, Datuk Wan Abdullah Wan Osman, baru-baru
ini mendapati peralatan tersebut masih disimpan dengan baik di sudut khas di
rumahnya di Kuala Kerau.
Beliau begitu prihatin terhadap
barang-barang seumpama itu yang diperolehi sama ada daripada milik keluarganya
mahupun dibeli daripada orang lain.
Berada di rumah Wan Abdullah
seolah-olah berada di sebuah muzium mini kerana pelbagai barang antik
diabadikan di rumahnya yang tersergam besar itu.
Seterika yang menggunakan arang
merupakan alat yang tidak kurang pentingnya untuk berpakaian kemas ketika
bertugas atau ke majlis dan bersiar-siar.
Sebelum menggosok seterika
dipanaskan dengan memasukkan bara api ke dalamnya. Jangan terlalu banyak bara
kerana kain yang digosok akan hangus akibat kepanasannya.
Bagaimanapun seterika yang baru
dimasukkan bara itu mestilah digosokkan ke atas daun pisang sebelum menggosok
kain.Cara ini dilakukan bagi mengelakkan kain daripada hangus dan melicinkan
pergerakan seterika.
Sekitar tahun 80-an, seterika
antik yang menggunakan lambang ayam jantan sebagai alat pengunci penutupnya itu
ditawarkan dengan harga yang tinggi.
Kononnya, bomoh menggunakan
seterika yang berharga RM15 sebuah itu untuk menyempurnakan hajat tertentu.
Manakala gong dan gendang pula
bukan sahaja untuk bermain muzik tradisional atau persilatan, malah berfungsi
menghebahkan maklumat penting.
Misalnya, pada zaman
pemerintahan beraja, alat itu mencanangkan keberangkatan baginda ke satu-satu
kawasan untuk persediaan rakyat menyambutnya dan dipalu apabila berlaku
kematian penduduk setempat.
Selain itu, gong meningkah
pukulan gendang untuk melahirkan irama tarian, nyanyian dan dalam muzik moden
tingkahannya begitu unik didengar.
Begitu juga dengan gendang yang
berbentuk bulat memanjang itu. Pertaliannya begitu erat dengan gong untuk
melahirkan irama Melayu lama seperti joget, zapin, inang dan dangdut.
Meriam memainkan peranan
penting dalam menegakkan kekuatan sesebuah pasukan dalam peperangan dan menjadi
penentu kemenangan dan kekalahan.
Meriam katak yang diperbuat
daripada besi padu yang disimpan di rumah Wan Abdullah ini mempunyai sejarah
kegemilangannya tersendiri.
Ia dikatakan dirampas oleh
Allahyarham Mat Kilau daripada pihak musuh untuk menguatkan serangan terhadap
penjajah Inggeris di satu kawasan di Sungai Lembing.
Meriam tersebut sekalipun agak
kecil, pendek tetapi ledakannya kuat dan jika tepat sasarannya pastinya
menyekat kemaraan pihak lawan.
Meriam ini menggunakan peluru
besi berbentuk bulat berat yang dimasukkan menerusi muncungnya. Api dicucuh
pada lubang kecil di bahagian buntutnya untuk melepaskan bedilan.
Itulah meriam katak, kecilnya
diibaratkan seperti cili api pedas dan berbisa.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4FD7ZlSVg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan