27 Julai 2016 12:13 AM
Jaguh tenis Amerika Syarikat,
Andre Agassi merangkul pingat emas pada ulang tahun ke-100 Olimpik.
SUKAN Olimpik Atlanta 1996
merupakan edisi yang istimewa kerana ia merupakan ulang tahun ke-100
penganjuran Olimpik moden sejak temasya di Athens, Greece pada 1896.
Ia juga merupakan temasya kali
keempat yang dianjurkan di Amerika Syarikat (AS) selepas St. Louis (1904) dan
Los Angeles (1932, 1984).
Keputusan pemilihan tuan rumah
itu diumumkan pada September 1990 di Tokyo selepas undian memihak kepada
Atlanta (51 undi) berbanding Athens (35 undi).
Perkara itu bagaimanapun
menjadi kontroversi kerana Athens merupakan tuan rumah pilihan atas alasan ia
adalah lokasi penganjuran temasya moden pertama pada 1896.
Tambahan pula mereka tidak
pernah menjadi tuan rumah sejak 1896 dan kerana itu Greece berpendapat temasya
sempena ulang tahun ke-100 itu sepatutnya menjadi milik mereka memandangkan
Athens adalah lokasi kelahiran Olimpik.
Apabila kalah dalam bidaan,
orang Greek menjadi marah kerana merasakan temasya itu telah dicuri daripada
mereka.
Mereka juga menuduh Atlanta dan
The Coca-Cola Company yang merupakan syarikat penaja utama Olimpik yang
berpangkalan di Atlanta telah ‘membeli’ temasya.
Kerana itu, Greece
mempertimbangkan untuk memboikot Olimpik 1996 itu, selain enggan membenarkan
Atlanta menggunakan api Olimpik yang dinyalakan di Olympia.
Namun campur tangan daripada
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berjaya menghalang perkara itu daripada
berlaku.
Keuntungan yang diraih dalam
Sukan Olimpik Los Angeles 1984 turut mendorong banyak pihak untuk
mengkomersialkannya dalam segenap aspek. Bandar raya Atlanta sendiri dibanjiri
peniaga yang menjual cenderamata Olimpik untuk mendapatkan keuntungan segera.
Tindakan mengkomersialkan
temasya itu tidak digemari oleh pergerakan Olimpik dan mereka beranggapan
Atlanta telah ‘terlajak’ dalam aspek berkenaan.
Namun masalah yang lebih besar
berlaku pada hari Sabtu, 27 Julai sejurus selepas tengah malam apabila bom
meletup di Centennial Olympic Park, tempat di mana penonton dan peminat
berkumpul dan berpesta sepanjang malam.
Bom berkenaan meragut dua nyawa
dan mencederakan beberapa yang lain.
Bagaimanapun taman tersebut
bukanlah berada dalam parameter lokasi rasmi Olimpik yang mempunyai kawalan
keselamatan yang tinggi.
Isu penggunaan bahan terlarang
juga berlaku di Atlanta, namun majoriti daripadanya membabitkan dadah kontroversi,
bromantan.
Dadah berkenaan menggabungkan
amphetamine dan steroid anabolic tetapi baru sahaja dimasukkan dalam senarai
pengharaman pada masa itu. Berikutan status itu, semua penyingkiran terhadap
atlet yang menggunakan bormantan ditarik balik.
Dalam aspek pertandingan,
pemenang pingat terbesar di Atlanta adalah perenang tuan rumah, Amy Van Dyken
yang memenangi empat emas. Dia dicabar sengit oleh perenang Ireland, Michelle
Smith yang menang tiga emas.
Bagi acara trek dan padang,
atlet AS, Michael Johnson menepati ramalan apabila menjuarai acara 200 meter
dengan rekod dunia dan menambah emas kedua dalam acara 400m.
Secara keseluruhan, temasya di
Atlanta dijuarai oleh AS yang mengumpul 101 pingat dengan 44 daripadanya adalah
emas.
Jerman yang berada di tangga
kedua meraih 65 pingat (20 emas), diikuti Rusia yang mengumpul 63 pingat (26
emas) dan China dengan 50 pingat (16 emas).
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/ulang-tahun-ke-100-olimpik-moden-1.362724#sthash.7VfS4Uty.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan