Sabtu, 9 Julai 2016

4 universiti awam dikorporatkan serentak

ARKIB : 14/03/1998
KUALA LUMPUR 13 Mac - Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan pengkorporatan serentak empat lagi universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkuatkuasa 15 Mac ini.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Fong Chan Onn, lima universiti awam yang lain termasuk Institut Teknologi Mara (ITM) diharap dapat dikorporatkan pada 1 April ini.

Bagaimanapun, pengkorporatan tersebut hanya dari segi pengurusan dan pentadbiran universiti tanpa melibatkan pelaksanaan skim gaji baru kepada kakitangan dan kenaikan yuran pengajian.

''Semua urusan penyediaan kertas-kertas pengkorporatan keempat-empat universiti itu telah selesai di peringkat kementerian dan keempat-empat universiti itu akan dikorporatkan serentak pada 15 Mac ini.

''Bagaimanapun soal gaji baru kakitangan akademik dan bukan akademik universiti-universiti berkenaan akan ditangguhkan seperti mana yang berlaku di Universiti Malaya (UM),'' katanya ketika dihubungi.

Dengan pengkorporatan itu, keempat-empat universiti tersebut - sama seperti UM yang dikorporatkan pada 1 Januari lalu - akan mempunyai kuasa yang lebih luas dalam membuat keputusan-keputusan sendiri terutama yang berkaitan dengan penjanaan keuntungan.

Sementara itu, sumber rasmi di USM memberitahu, universiti itu sedang memilih tarikh yang sesuai untuk memberikan penerangan mengenai pengkorporatan pentadbiran USM kepada Canselornya, Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Di UPM pula, Utusan difahamkan keanggotaan Senatnya kini telah dikecilkan.

Mengikut Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan 1995), pengkorporatan universiti awam akan menyebabkan keanggotaan Senat universiti dikecilkan.

Majlis universiti pula akan digantikan dengan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang akan dianggotai oleh lapan ahli berbanding 16 ahli sebelum ini.

LPU dicadangkan akan dianggotai oleh pengerusi, Naib Canselor dan dua orang yang mewakili kerajaan, seorang yang mewakili rakyat tempatan di mana universiti itu ditubuhkan.

Di samping itu, LPU juga akan dianggotai oleh lebih daripada tiga orang yang pada pandangan Menteri Pendidikan mempunyai pengetahuan atau pengalaman yang dapat disumbangkan kepada lembaga dan salah seorang daripadanya hendaklah daripada sektor swasta.

LPU hanya boleh bersidang setelah Menteri Pendidikan membuat pengumuman rasmi mengenai tarikh pelaksanaan pengkorporatan.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Dr. Fong berkata, kementeriannya yakin proses pemberian pengiktirafan kursus bagi program 3+0 (pengajian sepenuhnya di dalam negara) kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menjalankan program francais dengan universiti luar negara akan dijalankan dengan adil dan tidak berat sebelah.

Katanya, walaupun keanggotaan badan pengiktirafan program-program ini juga terdiri daripada badan-badan profesional yang akan menubuhkan kolej dan universitinya sendiri, kementerian tidak melihat ini sebagai masalah.

Menurut Dr. Fong, pemberian pengiktirafan itu sebenarnya dibuat berdasarkan persetujuan bersama dan bukan semata-mata keputusan satu pihak.

''Saya rasa soal pengiktirafan ini tidak akan menimbulkan sebarang masalah kerana perkara ini telah lama dilakukan sebelum ini,'' katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Pameran Antarabangsa Pendidikan dan Bahasa ke-9 di sini, hari ini.

Beliau mewakili Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr. Fong mengulas kebimbangan sesetengah pihak mengenai kemungkinan berlakunya pilih kasih dan pembuatan keputusan yang berasaskan kepentingan peribadi semasa meluluskan kursus-kursus dalam program pengajian 3+0.

Ini kerana beberapa badan profesional yang menganggotai Lembaga Akreditasi Negara (LAN) juga kini dalam proses menubuhkan kolej dan universiti mereka sendiri.

Oleh: ZALINA YAHAYA

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4Dym3Ogxg © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan